- Iklan -
RencanaBaru Terbit

‘Bayangkan Tun Razak raikan Pol Pot’ – Tangan Anwar berlumuran darah Rohingya yang diusir ke medan maut

Semua ini ketika kerajaan membiarkan kumpulan vigilante menjalankan kempen kebencian yang menyasarkan lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohingya.

Latheefa Koya
3 minit bacaan
Kongsi

Pada 18 November 2026, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap Rohingya. Renungkan hakikat itu.

Kampung dibakar. Keluarga dibantai. Wanita dan kanak-kanak perempuan dirogol. Lebih 700,000 orang diusir dalam tempoh hanya beberapa bulan.

Inilah kekejaman terburuk yang disaksikan rantau kita sejak medan pembunuhan Pol Pot pada 1970-an – dan kini mahkamah tertinggi dunia mengesahkan kekejaman itu sebagai genosid di sisi undang-undang.

Pemimpin junta Myanmar, Min Aung Hlaing, mengetuai tentera yang menjalankan operasi genosid itu. Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah memohon penangkapannya atas jenayah terhadap kemanusiaan.

Walaupun begitu, baru enam minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyambutnya di Putrajaya dengan kawalan kehormat ketika kes genosid itu masih belum diputuskan.

Tidak dapat dibayangkan Tun Razak Hussein membentang permaidani merah untuk Pol Pot pada 1970-an. Apa yang Tun Razak tidak lakukan ketika itu, kini dilakukan Anwar.

Anwar_MyanmarKini, tangan Anwar berlumuran darah. Anwar dan kerajaan Madaninya menghantar orang Rohingya kembali ke medan pembunuhan. Beberapa hari sebelum lawatan itu, Malaysia menghantar pulang 1,476 warga Myanmar dengan kapal tentera laut Myanmar, tiada senarai nama, tiada pengesahan bebas, tiada ketelusan.

Malah, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak dibenarkan menemui mereka. Kerajaan Myanmar sendiri memilih siapa yang dihantar pulang. Lebih 400 orang dilaporkan dikurung dalam tahanan tentera sebaik tiba.

Adakah Anwar dan kerajaan peduli siapa mereka, termasuk wanita dan kanak-kanak? Dan apa yang berlaku kepada mereka?

Sementara itu, di negara sendiri, Rohingya sedang diburu. Kempen kebencian yang bermula dalam talian telah merebak ke jalanan. Golongan yang bertindak sebagai penguat kuasa (vigilante) menghalang lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohingya di tempat awam, merakam mereka, mengaibkan mereka dan mengusir keluarga daripada rumah sewaan mereka.

Namun, kerajaan terus membisu. Tiada tindakan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau polis terhadap gangguan, ugutan dan kempen kebencian itu. Tiada tindakan terhadap golongan yang bertindak sebagai vigilante itu.

Sebaliknya, kerajaan Madani menganggap pelarian sebagai beban kewangan, sosial dan keselamatan, serta masalah yang perlu dihantar keluar.

Kini, mahkamah tertinggi dunia memutuskan mereka mangsa genosid yang terselamat. Jadi, apa yang kerajaan akan lakukan untuk Rohingya di Malaysia?

Adakah kerajaan akan terus melayan mangsa genosid yang terselamat sebagai “pendatang tanpa izin” yang boleh diserbu, ditahan dan dihantar pulang?

Adakah kerajaan akan terus menutup mata ketika puak vigilante memburu mereka di jalanan?

Atau adakah kerajaan akan melakukan perkara yang betul dan akhirnya memberikan status undang-undang serta perlindungan yang selayaknya diterima mangsa genosid yang terselamat?

Sesungguhnya, adalah hipokrit bagi Malaysia untuk mendakwa kepimpinan moral dalam isu Palestin, pada masa sama bekerjasama dengan rejim yang melakukan genosid dan mengabaikan mangsanya di negara sendiri. Seseorang tidak boleh mengutuk genosid di Gaza tetapi berjabat tangan dengan pelaku genosid di Rakhine.

Tindakan menghantar mereka kembali ke tangan sebuah rejim yang melakukan genosid tanpa sebarang saringan, yang jelas melanggar kewajipan kita di bawah prinsip larangan penghantaran pulang (non-refoulement), dan kemudian berdiam diri ketika vigilante menakut-nakutkan Rohingya di sini, menjejaskan reputasi Malaysia di mata dunia untuk jangka panjang.

Non-refoulement merupakan prinsip undang-undang antarabangsa yang melarang negara menghantar pulang atau memindahkan seseorang ke sesuatu wilayah jika terdapat alasan kukuh bahawa mereka berisiko mengalami kemudaratan yang tidak dapat dipulihkan, seperti penganiayaan, penyeksaan, layanan buruk atau ancaman terhadap nyawa dan kebebasan.

Oleh sebab prinsip itu sebahagian daripada undang-undang adat antarabangsa, semua negara terikat dengannya – termasuk negara yang belum meratifikasi perjanjian seperti Konvensyen Pelarian 1951.

Kerajaan ini tidak boleh berselindung di sebalik alasan tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian untuk mewajarkan tindakan keji menghantar pulang Rohingya.

Kita pernah menjadi negara yang membuka pintu kepada golongan yang melarikan diri daripada genosid. Di bawah Anwar dan kerajaan Madaninya, reputasi itu kini berkecai.

Satu-satunya cara kerajaan boleh memulihkan reputasi Malaysia ialah dengan memastikan keselamatan dan kebajikan Rohingya yang masih berada di negara ini, tidak bersubahat dengan junta dalam melaksanakan apa-apa lagi bentuk penghantaran pulang terselindung, serta melayan mereka mengikut norma hak asasi manusia antarabangsa.

Latheefa Koya ialah penasihat Lawyers for Liberty dan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.