Polis digesa siasat ketua polis KL selepas kenyataan 'mengelirukan dan tidak tepat' kematian tahanan lokap
Peguam Latheefa Koya berkata polis sudah pun diberikan taklimat terperinci mengenai kecederaan dan punca kematian Noorizwan Zulkefly.
Terkini
Polis diminta menyiasat Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, susulan beberapa kenyataan "mengelirukan dan tidak tepat" oleh beliau mengenai kematian seorang lelaki berusia 42 tahun ketika dalam tahanan lokap awal bulan ini.
Dalam laporan polis hari ini, Latheefa Koya, peguam yang mewakili keluarga Noorizwan Zulkefly yang meninggal dunia selepas 10 hari ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, mempersoalkan kenyataan Fadil pada sebuah sidang media semalam yang mendakwa punca kematian anak guamnya belum dimuktamadkan.
Sebaliknya, Latheefa berkata pihak polis sudah diberikan butiran kecederaan dan sebab kematian Noorizwan.
"Saya mempunyai bukti bahawa kenyataan yang dibuat semasa sidang media tersebut adalah mengelirukan dan tidak tepat," kata Latheefa, yang juga bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dalam laporan polisnya di Petaling Jaya.
Latheefa berkata ini kerana dua pegawai polis dari Bukit Aman telah hadir ketika sesi taklimat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) oleh pakar patologi, Dr Faridah Mohd Nor.
"Semasa taklimat, Dr Faridah telah menunjukkan gambar-gambar autopsi dan menerangkan setiap kecederaan yang dipaparkan dalam gambar autopsi tersebut.
"Setelah selesai proses ini, Dr Faridah telah meminta supaya kesemua yang hadir untuk mengambil gambar berkumpulan dan telah bersalaman dengan ahli keluarga dan peguam-peguam wanita."
Dalam laporannya, Latheefa menyenaraikan 21 jenis kecederaan yang dikenal pasti pada badan mangsa, seperti yang diperincikan oleh Dr Faridah.
Ia termasuk bengkak teruk pada lebih 10 bahagian badan, pendarahan otak dan usus serta luka koyakan.
Semalam, Fadil mempertahankan pihak polis dengan mendakwa semua prosedur dipatuhi sepanjang penahanan Noorizwan.
Menurutnya, punca kematian belum dapat disahkan dan pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kimia.
Beliau turut berkata kes itu disiasat sebagai “kematian mengejut”, walaupun peguam sebelum ini bertegas ia perlu diklasifikasikan sebagai siasatan kes bunuh berdasarkan bukti yang didedahkan.
Fadil juga mengulangi peringatan yang sering dikeluarkan, iaitu supaya orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kematian itu atau menyebarkan “maklumat yang tidak sahih” yang boleh “mengelirukan”.
Kenyataan itu mengundang kecaman dua lagi peguam yang mewakili keluarga Noorizwan, yang menyifatkan Fadil tidak menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
“Ini merupakan satu kenyataan yang keterlaluan dan mengelirukan kerana pakar patologi telah pun memaklumkan kepada pihak polis mengenai kecederaan yang meluas di seluruh tubuh, termasuk pendarahan menyeluruh di dalam otak,” kata peguam Dina Zamri dan Rania Aljunied.
Noorizwan ditangkap polis pada 20 September sebelum dibawa ke IPD Cheras, di mana dia ditahan di lokap untuk 10 hari berikutnya.
Keluarganya berkata mereka tidak dimaklumkan mengenai penahanan atau lokasi Noorizwan sepanjang dia berada dalam lokap.
Dalam satu sidang media anjuran kumpulan peguam Lawyers for Liberty pada 7 Oktober, abangnya, Nooranis, berkata pihak keluarga hanya menerima panggilan daripada Bukit Aman kira-kira jam 8 malam pada 1 Oktober, memaklumkan bahawa Noorizwan meninggal dunia dalam tahanan polis pada jam 1.52 pagi hari yang sama, iaitu kira-kira 18 jam sebelumnya, dan mayatnya berada di HUKM.
Peguam N Surendran kemudiannya menuntut penjelasan daripada ketua polis negara dan kerajaan kepada pihak keluarga serta orang ramai.
“Ini tidak boleh diterima di Malaysia pada tahun 2026. Ini adalah salah satu kematian dalam tahanan polis yang terburuk yang pernah saya lihat dalam bertahun-tahun,” katanya, sambil berkata sebarang siasatan polis mesti dikendalikan oleh pasukan bebas peringkat tinggi dari Bukit Aman.
Sementara itu, sebuah himpunan bagi menyatakan solidariti kepada keluarga Noorizwan dan menuntut siasatan penuh kematiannya akan diadakan pada 17 Oktober, jam 10 pagi di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
