- Iklan -
Berita

China komited labur RM170 bilion di Malaysia, kata Anwar

Ini termasuk dalam industri petrokimia dan automotif, kata perdana menteri.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap di Dewan Rakyat, 28 Mac. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap di Dewan Rakyat, 28 Mac. Gambar: Bernama

China akan melabur kira-kira RM170.07 bilion (AS$38.64 bilion) di Malaysia, termasuk dalam industri petrokimia dan automotif, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam. 

Rongsheng Petrochemical Co Ltd akan melabur kira-kira RM80 bilion dalam kilang penapisan petrokimia di selatan Malaysia, kata Anwar di Parlimen. 

Katanya, pengeluar kereta Geely akan melabur RM2 bilion pada peringkat awal dan kemudian meningkatkan pelaburan sehingga RM32 bilion. 

Anwar, yang melakukan lawatan rasmi ke China minggu lepas, bagaimanapun tidak memberikan tempoh masa untuk jumlah komitmen pelaburan itu. 

Perdana menteri juga berkata beliau berbincang dengan China untuk mengurangkan pergantungan Asia kepada dolar Amerika Syarikat (AS). 

Bank Negara sedang mengusahakan inisiatif untuk membenarkan Kuala Lumpur dan China menjalankan perdagangan menggunakan ringgit dan renminbi, katanya. 

"Tiada sebab untuk negara seperti Malaysia terus bergantung kepada dolar AS," kata Anwar. 

Anwar berkata beliau mencadangkan penubuhan "Tabung Kewangan Asia" di Forum Boao di China minggu lalu, dan dalam mesyuarat dua hala Presiden China Xi Jinping menyambut baik idea itu untuk dibincangkan dengan lebih lanjut.