- Iklan -
Berita

Agong harap Anwar PM terakhir di bawah pemerintahannya

Jika Mahathir tidak letak jawatan, Sultan Abdullah percaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada PRU15 dapat dielakkan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 13 Februari. Gambar: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 13 Februari. Gambar: Bernama

Yang di-Pertuan Agong hari ini menzahirkan harapan supaya Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri terakhir yang dilantik di bawah pemerintahannya.

Menurutnya, sejak memegang tampuk pemerintahan negara bermula 31 Januari 2019, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menggalas amanat berat untuk memilih dan melantik empat perdana menteri berbeza bermula dengan perdana menteri ke-7 Dr Mahathir Mohamad; Muhyiddin Yassin; Ismail Sabri Yaakob dan Anwar.

"Beta telah bersemayam di atas takhta singgahsana kerajaan Malaysia bermula pada 31 Januari 2019. 

"Sehingga ke hari ini, beta telah melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman yang sukar untuk beta lupakan.

“Beta berharap Perdana Menteri yang ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta sebelum beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur.

"Namun ini semua ketentuan Allah. Manusia merancang, Allah menentukan segalanya," menurutnya pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 hari ini.

Sultan Abdullah juga mengaku tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara mahupun mengatur percaturan landskap politik tanah air.

Namun, tambah Agong, jika Dr Mahathir tidak meletak jawatan sebagai perdana menteri ke-7, kemelut politik yang berterusan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lepas, mungkin dapat dielakkan.

Justeru Sultan Abdullah menggesa semua wakil rakyat supaya menjaga nama baik dan kehormatan Parlimen, berkhidmat seikhlas hati dengan mengutamakan rakyat dan masa depan negara.

Agong juga mahu wakil rakyat ketepikan agenda politik sempit dan bersatu atas nama perpaduan kerana kestabilan landskap politik harus dijadikan ruang dalam membentuk bangsa Malaysia dan era Malaysia baharu yang gemilang.

Pada 24 Februari 2020, Mahathir meletak jawatan selepas 22 bulan memimpin kerajaan, menyebabkan tumbangnya pentadbiran Pakatan Harapan.

Selepas menemubual semua ahli Parlimen bagi menentukan individu yang memiliki majoriti sokongan tertinggi di Parlimen, Sultan Abdullah akhirnya melantik Muhyiddin.

Pada 1 Mac tahun sama, pengerusi Perikatan Nasional itu mengangkat sumpah dan memimpin negara sehingga Ogos 2021 sebelum meletak jawatan selepas kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.

Pada 21 Ogos, Ismail diangkat sebagai perdana menteri oleh Agong, menjadi perdana menteri paling singkat dalam sejarah Malaysia, sehingga Parlimen dibubarkan pada Oktober 2022 bagi membuka jalan kepada PRU15.

Keputusan PRU15 bagaimanapun mengakibatkan Dewan Rakyat tergantung selepas tiada parti yang mendapat majoriti untuk mebentuk kerajaan sendiri.

Sultan Abdullah akhirnya melantik Anwar sebagai perdana menteri selepas presiden PKR itu mendapat sokongan Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah.