- Iklan -
Berita

Khairy perlu kekuatan dana untuk bangkit dalam politik, kata penganalisis

Penganalisis berpendapat tanpa sumber penajaan, karier Khairy tidak akan bergerak ke mana-mana pun dalam arena politik tanah air.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.
Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Bekas pemimpin Umno yang baru dipecat Khairy Jamaluddin memerlukan sokongan dana yang besar untuk bangkit semula dalam politik, kata seorang penganalisis veteran.

Shamsul Amri Baharuddin dari Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, apa yang penting kini adalah Khairy memerlukan tajaan daripada tauke-tauke kaya raya tanpa mengira latar belakang kaum untuk menyuntik dana.

Katanya, tanpa faktor ini, karier Khairy tidak akan bergerak ke mana-mana pun dalam arena politik tanah air. 

“Sebelum beliau masuk mana-mana parti beliau perlu ada pembiaya. 

“Kerana masuk mana-mana parti tanpa modal dia akan terbatas pengaruhnya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Shamsul lagi, sejak sekian lama analisis politik Malaysia juga tidak boleh dipisahkan daripada faktor “deep pocket” atau elemen pembiayaan dana politik.

Sebagai contoh, katanya, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memiliki pembiaya dana politik dengan tiga orang bilionair. 

Atas sebab itu, beliau mampu membiayai parti Pejuang dalam tempoh yang amat singkat meskipun akhirnya dilihat gagal untuk menawan rakyat.

“Khairy mesti cari pelabur politiknya dan hal-hal lain akan selesai.”

Sejak dipecat daripada Umno, Khairy menerima banyak tawaran dan jemputan terhadap peluang baru dalam kerjaya politik dan bidang yang paling sinonim dengannya iaitu sukan. 

Sebelum menjadi ahli Parlimen, Khairy sudah terlibat rapat dalam sukan bola sepak.

Bahkan beliau turut memegang beberapa jawatan tinggi dalam arena bola sepak Malaysia.

Pada 2006, Khairy menjadi salah seorang pengasas bersama untuk rancangan realiti televisyen mencari pemain bola sepak di sekolah dikenali sebagai MyTeam.

Pada 2007, Khairy dipilih menang tanpa bertanding sebagai naib presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di kongres FAM ke-44 bagi tempoh khidmat dari 2007 hingga 2010 menggantikan Tengku Mahkota Pahang ketika itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. 

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Khairy dilantik menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS). 

Selepas kekalahan pada PRU15 November lepas, beliau hanya aktif sebagai presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan. 

Bagaimanapun, bekal pengalaman dan rekod kerjanya itu menyaksikan beberapa tawaran penting kepada Khairy.

Antaranya Pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan Khairy untuk menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab bola sepak tersebut.

“CEO masa depan JDT dan penasihat pembangunan anak muda Johor,” tulis Tunku Ismail di laman Instagramnya sehari selepas Khairy dipecat Umno.

Selain itu, pemimpin utama parti politik turut membuka pintu parti mereka kepada Khairy.

Antaranya Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sedia membuka ruang dan mempertimbangkan sekiranya ada pemimpin Umno yang dipecat mahu menyertai mereka.

Manakala Presiden PKR Anwar Ibrahim menyatakan akan meneliti dan mendapatkan pandangan pimpinan parti sekiranya terdapat mana-mana permohonan oleh individu dipecat Umno. 

Bagaimanapun, menerusi kenyataannya baru-baru ini, Anwar memberi bayangan untuk menutup pintu kepada Khairy bagi menjaga kerukunan dan kedamaian kerajaan campuran yang diketuainya itu. 

Sebelum ini, ramai pihak melihat langkah pemecatan dan penggantungan beberapa nama pemimpin sebagai usaha Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk menyingkirkan seterunya dan mengukuhkan kedudukannya dalam parti.

Zahid menjadi watak utama dalam kerajaan campuran Anwar apabila diangkat menjadi timbalan perdana menteri selepas PRU15 lalu.

Peranan Zahid juga amat signifikan dalam mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Parti Rakyat Sabah (GRS).

Dalam pada itu, penganalisis politik Mazlan Che Soh yang dekat dengan pemerhatian politik di Negeri Sembilan pula melihat Khairy seakan tidak berminat untuk menerima mana-mana tawaran daripada kedua-dua parti tersebut.

Bercakap kepada MalaysiaNow, katanya, Khairy sudah pun menolak jemputan-jemputan itu secara diplomatik. 

Pada masa sama, beliau tidak merasakan Khairy akan menyertai PAS manakala penyertaan ke PKR pula dikhuatiri tidak akan disenangi oleh pihak tertentu dalam parti itu.

Atas sebab itu, beliau berpandangan Khairy akan melakukan “hiatus” atau rehat sementara waktu daripada arena politik.

Katanya ini kerana, Khairy jelas menunjukkan beliau masih menaruh harapan untuk kembali kepada Umno suatu hari nanti.

“Buat masa sekarang beliau mungkin sedang mempertimbangkan beberapa alternatif lain yang akan dilanjutkan oleh beliau.”