- Iklan -
Berita

Banyak faktor lain di sebalik kenaikan harga, pakar ekonomi beritahu Rafizi

Carmelo Ferlito berkata kerajaan harus meneliti dasar fiskal, memetik lebihan wang dalam pasaran berikutan pelaksanaan pakej bantuan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pengguna membeli bahan mentah, dan sayuran segar di Pasar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Pengguna membeli bahan mentah, dan sayuran segar di Pasar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Seorang pakar ekonomi menggesa supaya “penghujahan ekonomi" yang kukuh dibuat ketika warga Malaysia masih bergelut dengan kenaikan harga barang, mengatakan inflasi berpunca bukan hanya akibat daripada perbelanjaan pengguna susulan kenyataan kerajaan baru-baru ini berhubung kadar inflasi yang tidak berubah.

Terdahulu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata permintaan akan menurun apabila wujud kenaikan harga.

“Permintaan tidak turun walaupun harga meningkat, khususnya dalam kategori makanan dan minuman bukan alkohol, yang juga merupakan pemacu utama Indeks Harga Pengguna (CPI),” kata Rafizi pada sidang media minggu lepas.

Ahli Parlimen Pandan itu juga berkata bahawa "sewajarnya kalau harga ayam itu dah mahal sangat, kita patut kurangkan makan," walaupun beliau kemudiannya berkata di Twitter bahawa beliau merujuk kepada "keperluan untuk sama-sama menangani ‘demand & supply’ side supaya permintaan pengguna yang lebih anjal menjadi satu kuasa untuk mempengaruhi juga kadar harga barang naik."

CPI ialah indeks yang menjadi indikator perubahan dalam kos pembelian barangan dan perkhidmatan tertentu.

Kenyataan Rafizi itu dibuat ketika Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan kadar inflasi bulan lepas kekal pada 4%.

Bagaimanapun, Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran (CME) berkata tekanan inflasi dalam pasaran dan kenaikan harga barang didorong oleh pengembangan dasar fiskal yang diambil oleh kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata inflasi yang berlaku ketika ini adalah disebabkan jumlah wang yang berlebihan dalam pasaran berikutan pelaksanaan pakej bantuan berjumlah RM305 bilion pada 2020 dan RM225 bilion tahun lepas.

Sementara itu, katanya, penggunaan swasta meningkat sebanyak 1.9%, manakala penggunaan kerajaan meningkat sebanyak 6.6% pada 2021.

"Walaupun kami memahami matlamat untuk menyedarkan pengguna dengan kenyataan sebegini, kami juga percaya bahawa kementerian boleh menghantar mesej yang jelas tanpa menjejaskan ketepatan dalam mengemukakan alasan ekonomi," katanya.

Beliau juga berkata kesan pengembangan monetari tidak dapat dilihat sepenuhnya dalam indeks CPI disebabkan oleh tekanan deflasi.

“Sebaliknya, di peringkat harga pengeluar, kenaikan menjadi lebih tinggi bukan sahaja disebabkan kejutan dari segi penawaran, malahan turut berpunca daripada harga pengeluaran yang menjangkakan apa yang berlaku pada tahap penggunaannya,” katanya.

Warga Malaysia masih bergelut untuk berdepan kenaikan harga yang sebahagiannya dikaitkan dengan gangguan dalam rantaian bekalan akibat pandemik Covid-19 dan operasi ketenteraan Rusia di Ukraine.

Pada April, harga ayam mencecah RM10 sekilo.

Carmelo berkata Rafizi dilihat seakan tidak mempertimbangkan konsep keanjalan dalam kenyataannya.

"Apabila harga barang meningkat, individu dan perniagaan akan kurang membuat belian. Tetapi kurangnya bagaimana? Banyak atau sedikit?

"Menteri sebut isu makanan, namun mengabaikan bahawa keanjalan permintaan cenderung lebih rendah - tindak balas minimum kuantiti permintaan ketika berdepan perubahan harga - untuk barangan yang menjadi keperluan di mana pengganti barangan itu tidak banyak, khususnya dalam jangka pendek.

"Membetulkan tabiat kepenggunaan memerlukan masa," katanya.