- Iklan -
Berita

Kebimbangan memuncak berhubung usaha perangi rasuah kerajaan ketika nasib badan anti rasuah masih tak menentu

Kebimbangan tercetus selepas pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri selain langkah kerajaan yang mungkin membubarkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media di Putrajaya pada 5 Disember. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media di Putrajaya pada 5 Disember. Gambar: Bernama

Kebimbangan mengenai bagaimana kerajaan dapat menangkis dakwaan bahawa pentadbirannya bersungguh-sunguh dalam usaha memerangi rasuah susulan pelantikan kontroversi Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri ketika beliau masih berdepan pelbagai pertuduhan rasuah.

Kebimbangan itu dilihat semakin memuncak apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa sebuah badan anti rasuah yang mempunyai bidang kuasa yang luas di bawah Jabatan Perdana Menteri sejak 2018 mungkin dibubarkan, MalaysiaNow difahamkan.

Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), yang ditubuhkan di bawah perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai badan yang melengkapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dilihat sebagai teras kepada Pelan Pencegahan Rasuah Nasional (NACP) yang dilancarkan pada 2019.

Antara lain, GIACC berperanan dalam merangka gerak kerja dan dasar mengenai integriti dan tadbir urus yang baik, selain memantau semua aktiviti yang menjurus kepada matlamat untuk memastikan tiada toleransi terhadap jenayah rasuah dalam pentadbiran negara.

Satu sumber memberitahu MalaysiaNow bahawa kakitangan GIACC diberitahu untuk mengosongkan meja mereka dan menunggu arahan lanjut mengenai pertukaran tempat perkhidmatan.

Pusat itu diterajui pertama kali oleh bekas ketua pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed, yang merupakan salah seorang daripada pasukan petugas yang menyiasat skandal 1MDB sebelum ia kemudiannya dibubarkan secara tiba-tiba oleh Najib Razak yang merupakan perdana menteri ketika itu.

GIACC juga ditubuhkan untuk menempatkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara, Institut Integriti Malaysia, Biro Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.

Ketika penubuhannya diumumkan pada 2018, Mahathir berkata semua kementerian diarahkan untuk mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga kelemahan dalam undang-undang dan dasar sedia ada, dan mengemukakan cadangan untuk mengurangkan jenayah rasuah, yang kemudiannya akan dikemukakan kepada GIACC.

Langkah terbaru kerajaan diterajui Anwar bagi membubarkan GIACC dibuat ketika pentadbiran baru terpaksa beroperasi namun di samping itu, perlu memastikan kesinambungan kerajaan campuran yang rapuh bersama Barisan Nasional (BN), di mana sokongan daripada pemimpin yang bersekutu dengan Najib adalah penting bagi mengekalkan pentadbiran yang dibentuk selepas Parlimen tergantung sebaik sahaja pilihan raya umum selesai bulan lalu.

Sejak menjadi perdana menteri, Anwar mengambil langkah kontroversi apabila melantik Zahid sebagai timbalan perdana menteri ketika presiden Umno itu masih berdepan pelbagai pertuduhan rasuah membabitkan jutaan ringgit.

Sumber yang sama memberitahu MalaysiaNow pelantikan sedemikian akan menunjukkan “percanggahan sepenuhnya dengan keseluruhan idea penubuhan GIACC".

"Tugas utama GIACC adalah untuk memperbaiki persepsi rasuah Malaysia di luar negara setelah bertahun-tahun mencatatkan kedudukan rendah di bawah Indeks Persepsi Rasuah (CPI). 

“Pelantikan Zahid, yang menghadapi pertuduhan rasuah ke jawatan kanan kerajaan, sudah tentu tidak akan meningkatkan kedudukan kita," kata sumber.

Malaysia berada di kedudukan ke-62 dari 180 negara dalam skor CPI tahun lepas, turun daripada kedudukan ke-51 pada 2019 dan tangga ke-57 pada 2020.