- Iklan -
Berita

MoU sokong kerajaan Anwar cetus persoalan perundangan, Perlembagaan

Seorang peguam memberi amaran pemimpin parti boleh melanggar Perlembagaan jika memaksa ahli Parlimen dalam pengundian, manakala seorang ahli Parlimen Bersatu membandingkan langkah kerajaan itu seperti diktator Korea Utara.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tengah) bersalaman dengan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Hajiji Noor, Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg dan Presiden Warisan Shafie Apdal dalam majlis pemeteraian persefahaman di Putrajaya semalam. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tengah) bersalaman dengan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Hajiji Noor, Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg dan Presiden Warisan Shafie Apdal dalam majlis pemeteraian persefahaman di Putrajaya semalam. Gambar: Bernama

Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pemimpin-pemimpin parti bagi memastikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kekal berkuasa semalam boleh disifatkan sebagai melanggar undang-undang dan tidak selari dengan Perlembagaan, di mana seorang peguam memberi amaran mereka boleh disiasat berkait jenayah kerana memaksa ahli Parlimen dalam pengundian di Dewan Rakyat.

Haniff Khatri Abdulla berkata klausa dalam MoU tersebut yang mengatakan seseorang ahli Parlimen boleh hilang kelayakan jika tidak mengundi usul kerajaan bukan sahaja bercanggah dengan pindaan Perlembagaan baru-baru ini berhubung lompat parti, bahkan ia juga tidak selari dengan perlembagaan pelbagai parti politik yang terlibat dalam perjanjian tersebut.

Beliau berkata walaupun selepas Perkara 49A Perlembagaan melarang ahli Parlimen bertukar parti, namun tiada mana-mana parti politik meminda perlembagaan dalam memperincikan apa yang dibolehkan dan larangan yang boleh menjejaskan status mereka sebagai wakil rakyat.

"Sama ada perkara itu disukai atau tidak oleh parti, menjadi tanggungjawab parti untuk memasukkannya dalam perlembagaan atau peraturan-peraturan mereka jika mereka mahu, tetapi tidak dilakukan pada masa itu secara khusus oleh mana-mana parti.

"Tidak ada peruntukan dalam perlembagaan parti masing-masing yang mengatakan seandainya ahli parti yang menjadi ahli Dewan Rakyat melakukan A, B atau C, atau tidak melakukan X, Y atau Z, akan dipecat dari parti," kata Haniff dalam sebuah program dalam talian malam tadi, di samping turut menambah peruntukan akta anti lompat parti yang dipinda dalam Perlembagaan baru-baru ini jelas menyatakan bahawa ahli Parlimen yang dipecat daripada partinya tidak akan kehilangan kerusi.

Perkara 49A Perlembagaan tersebut antara lain menyatakan  seorang ahli Parlimen akan kekal sebagai anggota Dewan Rakyat jika dia dipecat daripada partinya.

Oleh itu, Haniff berkata walaupun MoU ditandatangani, seorang ahli Parlimen tidak akan kehilangan kerusinya walaupun pengundiannya bercanggah dengan arahan parti kerana ia sudah dijamin Perlembagaan.

Beliau juga memberi amaran disebabkan wujud konflik dengan Perlembagaan ini, ahli Parlimen yang terjejas boleh membawa perkara itu ke mahkamah.

Semalam, Anwar mengetuai pemimpin Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan menandatangani MoU yang dimeterai bagi memastikan kerajaan campurannya kekal berkuasa, di mana ia turut memasukkan klausa kontroversi mengatakan mana-mana ahli Parlimen daripada parti yang tidak menyokong usul kerajaan akan dianggap hilang kelayakan dan kerusi mereka akan dikosongkan bagi memberi laluan pilihan raya kecil diadakan.

MoU yang dimeterai menjelang usul undi percaya terhadap Anwar minggu depan, turut menyatakan setiap parti bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap ahli Parlimen mereka yang mengundi bercanggah dengan keputusan parti.

Pemimpin parti berkata MoU itu akan memastikan kestabilan dan perpaduan kerajaan gabungan dalam tempoh lima tahun akan datang, berikutan Parlimen yang tergantung akibat kemelut pelantikan perdana menteri selepas pilihan raya umum November lalu di mana Anwar terpaksa membentuk kerajaan gabungan yang rapuh bersama parti-parti pesaingnya.

Haniff berkata kestabilan Parlimen harus berdasarkan kematangan dan kesedaran wakil rakyat.

“Ianya tidak boleh dipaksa, dipengaruhi atau menjadi satu tekanan untuk membuang kerusi selagi itu tidak dinyatakan dalam perlembagaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin memberi amaran bahawa MoU yang dimeterai semalam bakal membawa negara kepada pemerintahan diktator kerana memaksa ahli Parlimen menyokong kerajaan.

Mas, yang merupakan bekas timbalan menteri dalam hal ehwal undang-undang, berkata Perlembagaan memberikan kebebasan mutlak kepada ahli Parlimen untuk mengundi mengikut kesedaran sendiri.

Beliau memetik keputusan Mahkamah Agung pada 1983 yang mengisytiharkan sebarang perjanjian yang menghalang ahli Parlimen daripada mengundi berbeza daripada keputusan parti sebagai tidak sah.

"Ugutan serta intimidasi yang dibuat melalui perjanjian MoU terhadap ahli Parlimen dari parti-parti kerajaan ini adalah satu permulaan kepada pemerintahan ala diktator," katanya.

Mas berkata ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) juga menyokong kerajaan yang stabil tetapi bukan "dengan melanggar Perlembagaan dan undang-undang".

"Perjanjian ini adalah haram, tidak berpelembagaan, merbahaya dan tidak boleh dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau mengingatkan Anwar mengenai laporan jawatankuasa pilihan Parlimen mengenai undang-undang anti lompat parti yang dikeluarkan pada Julai, menyatakan bahawa ahli Parlimen yang tidak mengundi mengikut keputusan parti tidak akan kehilangan kerusinya di bawah Perkara 49A.

"Ini boleh didapati di dalam perenggan 21.4 laporan jawatankuasa piilhan tersebut. 

"Jelas, mereka secara tidak jujur memilih untuk mengendahkannya dalam satu tindakan terdesak untuk menakutkan dan mengugut ahli Parlimen mereka sendiri untuk menurut kehendak parti, walaupun ianya membawa kepada kemudaratan terhadap demokrasi berparlimen."

Tindakan jenayah

Sementara itu Haniff memberi amaran pemimpin parti boleh disiasat dalam ruang lingkup jenayah, memetik peruntukan dalam Kanun Keseksaan terhadap tindakan memaksa ahli Parlimen berhubung pengundiannya di Dewan Rakyat.

Seksyen 124 Kanun Keseksaan menjenayahkan perbuatan "memujuk atau memaksa atau cuba untuk mendorong atau memaksa ahli Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan Negeri atau mana-mana Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk menjalankan atau menahan diri daripada menjalankan kuasa yang sah dalam apa jua cara".

Haniff berkata unsur jenayah itu adalah terpulang kepada mahkamah dalam membuat keputusannya.

"Sekiranya ada aduan dibuat oleh ahli Parlimen yang berkenaan di bawah Seksyen 124 (Kanun Keseksaan), maka pihak polis wajar membuka kertas siasatan. 

"Sekiranya ahli Dewan Rakyat tidak boleh dipaksa untuk mengikut perkara yang belum dimasukkan dalam Perlembagaan persekutuan mahupun perlembagaan parti, ianya mungkin mendedahkan ketua-ketua parti kepada siasatan jenayah."

Mas berkata MoU itu menandakan "despotisme jenis baru“ yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah Parlimen Malaysia.

"Pemaksaan ahli Parlimen untuk mengundi menurut arahan  adalah sama seperti dalam system di Korea Utara, atau negara China. Ianya tiada tempat dalam system demokratik Malaysia. 

“MoU yang dijana oleh Anwar Ibrahim dan PH-BN ini akan disemadikan  selamanya sebagai titik hitam di dalam sejarah negara dan tindakan subversif terhadap demkorasi berparlimen serta struktur asas Perlembagaan," tambahnya.

Haniff turut berkata tidak ada keperluan MoU sedemikian dibuat, selain menambah bahawa beliau percaya Anwar masih boleh mendapatkan sokongan tanpanya.

“Apabila wujud Parlimen tergantung, ia sepatutnya mematangkan ahli Dewan Rakyat dan pucuk pimpinan politik.

“Kalau kita nak buat klausa seperti itu, kita menunjukkan seolah-olah kerajaan ini hendak mengugut orang menyokongnya. Itu merupakan perkara yang tidak sihat."