- Iklan -
Berita

Ketua parti akan tandatangan perjanjian sokong pembentukan kerajaan, kata Fadillah

Timbalan perdana menteri berkata ia akan ditandatangani esok.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Satu majlis menandatangani perjanjian antara ketua-ketua parti bagi menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan akan diadakan esok, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga ketua whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata perjanjian itu akan ditandatangani ketua-ketua parti yang bersetuju untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan perpaduan.

"Esok akan ada upacara menandatangani satu perjanjian antara semua parti yang bersetuju untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Di situ nanti (media) boleh bertanya apakah kandungan perjanjian tersebut dan fokusnya," katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) hari ini.

Ditanya manifesto parti mana yang akan dipilih untuk dilaksanakan dalam kerajaan, Fadillah secara ringkas berkata tiada perbincangan berhubung perkara itu kerana kerajaan sekarang bukan berasaskan parti.

"Satu daripada keutamaan kita adalah berhubung kait dengan kos sara hidup," katanya yang juga menteri perladangan dan komoditi.

Mengenai fokus perjanjian tersebut, Fadillah berkata beliau tidak pasti kerana tidak terlibat dan hari ini beliau akan menghadiri mesyuarat di peringkat GPS untuk melihat kandungan perjanjian itu.

Sementara itu, mengenai pemotongan gaji, beliau berkata pemotongan gaji yang diputuskan hanya melibatkan jemaah menteri sahaja.

“Setakat ini diputuskan hanya menteri. Saya tak pasti sama ada merangkumi timbalan menteri,” katanya.

Pada 5 Disember lepas, jemaah menteri dalam mesyuarat Kabinet bersetuju untuk memotong gaji sebanyak 20% setiap bulan, yang akan dilaksanakan sehingga ekonomi negara kembali pulih.