- Iklan -
Editorial

Benarkah PRN boleh bawa perubahan di Putrajaya?

Perlembagaan tidak menyebut begitu, tetapi ia juga tidak menyebut banyak perkara lain.

Abdar Rahman Koya
2 minit bacaan
Kongsi

Ia tidak memerlukan pakar perlembagaan untuk memahami kesan besar enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang ini terhadap kerajaan campuran yang dibentuk secara tergesa-gesa di Putrajaya, kira-kira sembilan bulan lalu.

Tetapi nampaknya perdana menteri dan orang yang dilantiknya sebagai menteri undang-undang pun tidak dapat memahami realiti ini, meskipun ia boleh juga disebabkan perasaan pedih mengenai kemungkinan ia boleh berlaku sehingga mereka memilih untuk tidak mengakuinya.

Boleh difahami sekiranya ia terbit daripada kebimbangan yang kerajaan persekutuan ini bakal menjadi yang tersingkat dalam sejarah Malaysia.

Begitu juga dengan kemungkinan satu hari nanti, sejarah akan merakamkan kisah bagaimana seorang pemimpin paling lama berusaha untuk menduduki jawatan perdana menteri, akhirnya hanya mampu memegang jawatan itu untuk tempoh yang paling singkat.

Apa pun, kebimbangan ini pun bukanlah alasan untuk menafikan hakikat mengenai amalan demokrasi moden yang kita pegang selama ini. 

Ada juga seorang pemimpin menunjukkan kebodohannya apabila memetik akta yang menghalang wakil rakyat lompat parti sebagai sebab mengapa keputusan enam pilihan raya negeri ini tidak boleh memberi apa-apa kesan terhadap kerajaan persekutuan.

Manakala Menteri Undang-undang Azalina Othman Said, dalam menyokong kenyataan perdana menteri, berkata tidak ada apa-apa disebut dalam perlembagaan di mana keputusan PRN memberi kesan kepada kerajaan pusat!

Kepada Azalina, kalau ikutkan logik itu, perlembagaan juga tidak menyebut kerajaan pusat akan kekal jika gabungan yang didukungnya kalah pada PRN nanti. 

Dan perlembagaan juga tidak menyebut wanita tidak boleh pakai seluar panjang!

Bergantung kepada pihak mana anda sokong, bersedialah untuk kebenaran pahit ini. 

Akta anti-lompat parti tidak boleh menghalang kemungkinan kerajaan persekutuan bertukar di luar kerangka pilihan raya umum. 

Mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang wakil rakyat berhak menyokong mana-mana wakil rakyat lain untuk jawatan perdana menteri, tanpa mewajibkan mereka untuk mengikut keputusan parti atau presiden mereka.

Akta anti-lompat parti juga tidak menjejaskan peruntukan perlembagaan ini.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, kesemua 26 ahli Parlimen Umno memilih untuk mengikut keputusan presiden mereka untuk menyokong Anwar Ibrahim.

Ini mungkin terbit daripada pendirian bahawa dengan menjadi sebahagian daripada kerajaan meskipun ditolak oleh pengundi, sekurang-kurangnya Umno boleh dibina semula.

Kini, semua tumpuan adalah terhadap Umno, dan apakah nasib yang bakal menimpanya pada PRN akan datang.

Sekiranya Umno sekali lagi berdepan penolakan pengundi, ia akan menyedarkan ramai wakil rakyatnya bahawa sokongan mereka kepada Anwar selama ini tidak mampu mengubah nasib parti mereka, tetapi ia hanya membawa Umno menjadi pupus, walaupun nampaknya itulah yang sudah pun berlaku. 

Dalam senario sebegitu, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Ahmad Zahid Hamidi. 

Ya, PRN ini akan mendatangkan kesan terhadap kerajaan persekutuan.

Anwar lebih arif tentang ini, itulah sebabnya beliau ke hulu ke hilir merentas Semenanjung dengan helikopter kerajaan, dalam usaha memastikan panggilan “PMX” bukan bermaksud PM selama 10 bulan.