Ribuan pesara rancang himpunan di Dataran Merdeka selepas kerajaan enggan akur perintah mahkamah pelarasan pencen
Ia bakal mencatat sejarah pertama kali pesara kerajaan berkumpul secara besar-besaran membantah kerajaan yang berkuasa.
Terkini
Keengganan kerajaan mematuhi keputusan mahkamah membenarkan pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara, berserta layanan berbeza kepada hakim bersara, mendorong sekumpulan pesara kerajaan kini giat memobilasikan ribuan bekas penjawat awam yang terkesan.
Mereka menyasarkan 10,000 orang bagi menghadiri perhimpunan besar-besaran di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 19 April nanti, menuntut kerajaan melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi pada bulan lalu berhubung hak mereka menerima bayaran penyelarasan pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara mengikut pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016 berkuat kuasa mulai Januari 2022.
Jurucakap kumpulan itu, Rafique Ahmad Nordin berkata dalam tempoh 10 hari hebahan dibuat, pihaknya sudah mengumpul lebih 1,000 orang pesara, dengan rancangan menyusun bantahan secara teratur apabila mencapai sekurang-kurangnya 5,000 orang.
Kesungguhan Rafique amat jelas apabila beliau berkata himpunan itu tidak akan dibatalkan walaupun jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju mengadakan pertemuan.
Katanya, pihaknya tidak akan melayan janji mulut tanpa komitmen secara bertulis.
"Kalau cakap-cakap sahaja, tak cukup. Sekurang-kurangnya mesti ada dokumen hitam putih mengatakan pihak kerajaan akan buat sesuatu ataupun beliau sendiri mengeluarkan kenyataan media rasmi mengenai perkara ini," tambahnya.
Menurutnya, pihaknya telah memohon secara bertulis untuk bertemua Anwar tetapi masih tidak mendapat respon.
Sekiranya diadakan, perhimpunan itu bakal mencatat sejarah pertama kali pesara kerajaan berhimpun secara besar-besaran untuk menyatakan bantahan terhadap pentadbiran semasa.

Rasa tidak puas hati itu susulan langkah kerajaan pada 23 Januari memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Rafique berkata pesara mahu kerajaan kembali menggunakan formula asal yang termaktub dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 (PAA 1980) sebelum pindaan dibuat pada Seksyen 3 dan 7 akta tersebut pada 2013.
Di bawah skim lama, amaun pencen disemak berdasarkan gaji penjawat awam dalam gred yang berkenaan.
Selepas pindaan 2013, amaun pencen tertakluk kepada kenaikan rata 2% setiap tahun.
"Secara asasnya, kita nak kerajaan ikut balik formula asal itu," Rafique memberitahu MalaysiaNow.
"Sebab pada 2013, mereka mengenepikan semua undang-undang ini dan menggantikannya dengan kenaikan 2% tiap tahun sejak 2013," katanya.
Pada Januari tahun lalu, bekas penjawat awam di Kementerian Luar Negeri, Aminah Ahmad, memfailkan permohonan semakan kehakiman mewakili beliau dan 56 pesara perkhidmatan awam lain.
Aminah memohon perintah mandamus bagi memaksa responden mempercepatkan pelarasan pencen kepada jumlah yang layak mengikut formula yang terkandung dalam PAA 1980 sebelum ia dipinda pada 2013.
Aminah juga memohon mahkamah memerintahkan kerajaan membayar tunggakan pencen dalam tempoh 14 hari, selain perisytiharan bahawa kegagalan membayar melanggari Perlembagaan Persekutuan.
Permohonan itu dibuat selepas Mahkamah Persekutuan pada Jun 2023 mengisytiharkan pindaan terhadap PAA 1980 sebagai tidak sah dan terbatal, sambil menyifatkannya kurang memihak kepada pesara dan melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Rafique mempersoalkan tindakan kerajaan memberi layanan berbeza apabila hanya bekas hakim dibayar penyelarasan pencen.
"Bukan sahaja bayar (amaun) pencen yang betul, mereka (pesara hakim) menerima bayaran tertunggak yang mencecah RM200,000 dari tahun 2015.
"Bagi kami, ini tidak adil," kata Rafique, seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia.
Pada Januari 2022, kerajaan disaman 35 pesara hakim termasuk beberapa hakim kanan kerana gagal melaraskan kenaikan pencen dan faedah yang diterima sejak tahun 2015.
Mereka antara lain memohon mahkamah memerintahkan kerajaan membayar amaun yang berhak ke atas mereka sejak 1 Julai 2015 dengan memakai peratusan kenaikan lebih tinggi berbanding 2% setiap tahun ke atas pencen dan faedah lain.
Rafique berkata kebanyakan pesara turut kecewa apabila Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam menafikan berlakunya kenaikan gaji yang sepatutnya memberi kesan kepada penyelarasan pencen.
"Apabila KP mengatakan tiada kenaikan gaji, itu seolah-olah menghina mahkamah kerana mahkamah telah memutuskan bahawa bayaran perlu dibuat.
"Mahkamah telah mengesahkan bahawa memang terdapat kenaikan pada tahun 2016," katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.