- Iklan -
Berita

Pemandu treler dalam nahas di Putrajaya didakwa memandu secara melulu

Muhammad Izzatul Shafik Mozahari mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Muhammad Izzatul Shafik Mozahari didakwa memandu secara melulu di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Muhammad Izzatul Shafik Mozahari didakwa memandu secara melulu di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Pemandu lori treler yang terlibat dalam kemalangan merempuh 14 kenderaan lain di KM5.8 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong pada 20 September lepas sehingga menyebabkan dua penunggang motosikal maut, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Putrajaya hari ini.

Muhammad Izzatul Shafik Mozahari, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aima Nabila Muhammad Azhar.

Dia didakwa memandu secara merbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Faris Haziq Abu Bakar, 25, dan Yuswar Mohd Uyus, 39, di KM 5.8 Jalan Persiaran Utara di sini, pada 10.14 pagi 20 September lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman penjara antara lima tahun hingga 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Amalina Abu Hanifah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Wan Nurul Amalina memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 berserta seorang penjamin namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 25 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada Rabu lepas, dua penunggang motosikal maut dan tujuh cedera apabila  sebuah treler muatan batu pasir merempuh kenderaan yang sedang berhenti dalam barisan di laluan terbabit termasuk sebuah motosikal polis trafik.