- Iklan -
Berita

Muda umum keluar gabungan kerajaan

Parti berasaskan belia itu berkata langkah tersebut adalah permulaan kepada 'menormalisasikan rasuah’

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Gambar: Bernama
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Gambar: Bernama

Parti berasaskan belia, Muda mengumumkan keluar daripada bangku kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebagai tanda protes terhadap tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan Yayasan Akalbudi.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Muda kini akan berfungsi sebagai kuasa ketiga pembangkang.

“Ini adalah permulaan untuk menormalisasikan rasuah,” katanya dalam catatan Twitter hari ini.

“Kami tidak boleh dan tidak akan bertolak ansur dengan langkah tidak berprinsip ini. Biarlah saya dihukum dari hilang prinsip dan berdosa besar.”

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional, berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan kebajikan itu. 

Beliau diberikan penghakiman DNAA pada 4 September selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, yang dilantik bulan lepas untuk menggantikan Raja Rozela Raja Toran yang secara tiba-tiba mengumumkan untuk "bersara awal", memaklumkan kepada hakim permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadap Zahid. 

Syed Saddiq sebelum ini mengugut untuk menarik diri daripada gabungan kerajaan sehingga mencetuskan perang mulut dengan beberapa pemimpin DAP.

Pada 8 September, ahli jawatankuasa pusat DAP yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee mencabar Syed Saddiq supaya meneruskan ugutan itu supaya beliau boleh duduk di blok pembangkang di Dewan Rakyat. 

“Saya yakin dengan penarikan sokongan dan hilangnya Muda dari dalam kerajaan perpaduan, kita akan lebih mudah fokus. 

“Tugasan kita dalam membina negara dan menjaga kebajikan rakyat akan lebih senang kerana tidak ada lagi keperluan untuk melayan kerenah ‘kebudak-budakan’ sesetengah individu dan parti,” kata Lee.