- Iklan -
Berita

Muda mampu jadi blok ketiga yang kuat?

Dengan hanya satu kerusi Parlimen dalam simpanannya, persoalan dibangkitkan mengenai masa depan parti itu selepas meninggalkan blok kerajaan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motosikal melepasi bendera Muda di Bukit Antarabangsa sewaktu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Seorang penunggang motosikal melepasi bendera Muda di Bukit Antarabangsa sewaktu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga presiden Muda menarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim mengakibatkan parti itu dikritik teruk oleh penyokong-penyokong kerajaan.

Dalam satu kenyataan, Syed Saddiq berkata beliau mahu partinya menjadi blok ketiga selepas tidak bersetuju dengan keputusan lepas tanpa bebas (DNAA) kes mahkamah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu didakwa atas kesalahan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akal Budi dengan 47 pertuduhan keseluruhan.

Namun persoalan timbul mengenai keupayaan Muda dalam membentuk blok ketiga ekoran parti itu yang hanya menang satu kerusi dalam Parlimen.

Di peringkat dewan undangan negeri (DUN), Muda turut menang satu kerusi di Puteri Wangsa, Johor. 

Pemerhati politik Mak Khuin Weng berkata Muda “hidup dan mati” dengan karisma Syed Saddiq. 

"Tiada ahli atau calon mereka yang boleh membawa parti itu," katanya kepada MalaysiaNow.

Syed Saddiq yang juga bekas menteri belia dan sukan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0 menggagaskan Muda selepas dipecat daripada Bersatu.

Parti itu bertanding di enam kerusi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun hanya menang satu iaitu Muar, kerusi yang diwakili oleh Syed Saddiq.

Muda pernah memohon untuk menyertai PH sebagai parti komponen namun tidak diendahkan gabungan itu yang terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP. 

Sejak pembentukan kerajaan campuran, Muda sering mengkritik tindak-tanduk kerajaan yang dilihat tidak selari dengan perjuangan PH. 

Antaranya apabila Anwar mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di enam negeri yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Pada PRN lepas Muda bertindak bertanding secara solo tanpa bekerjasama dengan PH, sekali gus meletakkan calon mereka di kawasan-kawasan yang ditandingi gabungan pimpinan Anwar itu.

Tambah Mak, Saddiq tidak mempunyai pengalaman kerja seperti bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan sukar menampilkan kepimpinan sebenar.

"Saya tak nampak masa depan untuk Muda, tapi untuk Syed Saddiq mungkin ada," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata, sukar untuk parti belia itu untuk menjadi kuasa ketiga yang berkesan kerana hanya mempunyai satu kerusi.

"Muda juga sukar menjadi kuasa ketiga kerana jika dilihat pandangan Syed Saddiq, beliau mengkritik PH tetapi pada masa yang masa Perikatan Nasional (PN) tidak dilihat secara kritikal.

"Beliau sepatutnya menjadi seimbang dalam memberikan pandangan," katanya.

Menurut Awang Azman, Muda sebagai parti politik sukar menjadi relevan dalam arus perdana selepas keluar daripada blok kerajaan, ekoran tidak lagi mendapat sokongan daripada PH.

Katanya, Muda tidak mempunyai pilihan selain bekerjasama dengan PN untuk jangka masa panjang.

Kata Azman, jika ini berlaku Muda akan terikut-ikut dengan PN yang lebih besar dan berpengaruh.

"Sukar untuk Muda meminta PN mengikut rentak mereka.

“Walaupun Muda ialah parti pelbagai kaum, namun mereka sedikit-sebanyak mengikut rentak PN.

“Ini risiko apabila Muda dijangka bekerjasama dengan PN," katanya.