- Iklan -
Berita

Keluar saja daripada kerajaan, pemimpin DAP beritahu Muda

Ia berlaku ketika perang mulut meletus antara DAP dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di tengah-tengah kemarahan berhubung keputusan mengejut mahkamah yang melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid Hamidi.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Gambar: Bernama

Perang mulut antara pemimpin DAP dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semakin memuncak dengan seorang pemimpin parti  menyuruh presiden Muda itu supaya meneruskan ancamannya untuk menarik diri dari blok kerajaan.

Ahli jawatankuasa pusat DAP yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee mencabar Syed Saddiq supaya meneruskan ugutan itu supaya beliau boleh duduk di blok pembangkang di Dewan Rakyat. 

“Saya yakin dengan penarikan sokongan dan hilangnya Muda dari dalam kerajaan perpaduan, kita akan lebih mudah fokus. 

“Tugasan kita dalam membina negara dan menjaga kebajikan rakyat akan lebih senang kerana tidak ada lagi keperluan untuk melayan kerenah ‘kebudak-budakan’ sesetengah individu dan parti,” kata Lee.

Ini berikutan pendirian Syed Saddiq yang enggan berkompromi terhadap keputusan peguam negara untuk menghentikan 47 pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, serta kritikan kerasnya terhadap ketiadaan sebarang kecaman daripada pemimpin DAP berhubung tindakan itu.

Bagaimanapun kenyataan Syed Saddiq baru-baru ini yang menyokong sindiran kritikan ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin dengan melabel DAP sebagai "anjing suruhan" Zahid membangkitkan kemarahan dalam kalangan pemimpin DAP, dengan Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan mengatakan sindiran itu menghina beliau sebagai orang Melayu.

"Ia amat menyinggung perasaan saya. Bukan sebab saya rasa anjing hina," kata Syahredzan, yang merupakan salah seorang daripada ahli Parlimen Melayu dari DAP, di Twitter.

Lee dalam pada itu menyifatkan Syed Saddiq sebagai celupar kerana menggelar parti itu sebagai "anjing suruhan" serta menuduhnya hipokrit, gila kuasa dan tidak berprinsip dalam isu Zahid.

Beliau seterusnya mengingatkan Syed Saddiq bahawa DAP membantunya dengan menyediakan khidmat guaman apabila beliau dikenakan pertuduhan CBT dan pengubahan wang haram pada 2021.

“Keceluparan dan penghinaan yang dilontarkan ini ibarat sudah membakar semua jambatan yang ada. Syed Saddiq dan parti Muda kini ibarat api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan parasit dalam kerajaan perpaduan,” kata Lee.

Isnin lalu, Zahid, presiden Umno yang memainkan peranan penting dalam mendapatkan jumlah yang diperlukan untuk melantik Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tahun lepas, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), sehingga mencetuskan kemarahan ramai pihak. 

Penghakiman DNAA itu diberikan atas permintaan Idrus Harun hanya sehari sebelum beliau bersara, meskipun wujud kes prima facie dalam pertuduhan terhadap Zahid yang mengarahkan timbalan perdana menteri itu supaya membela diri.