MIC tidak akan terima jawatan timbalan menteri
Setiausaha Agung MIC RT Rajasekaran berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat MIC bagi menghormati pilihan pengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-15.
MIC tidak akan menerima jawatan Timbalan Menteri yang berperanan membantu Kabinet kerajaan, kata Setiausaha Agungnya RT Rajasekaran.
Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat MIC semalam, selain menghormati pilihan pengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“MIC mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ke-10. MIC juga merakamkan sokongan kepada titah Yang di-Pertuan Agong (Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah) untuk menyokong kerajaan perpaduan.
“Semoga perdana menteri dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna dan adil untuk semua kaum di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu perdana menteri menerusi perkongsian di laman Facebook beliau hari ini memaklumkan calon-calon bagi jawatan timbalan menteri akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.