- Iklan -
Berita

Badan profesor jarakkan diri dari 'profesor Melayu' isytihar sokong Anwar

Majlis Profesor Negara berkata kebanyakan dari 70 individu yang mengisytiharkan sokongan mereka kepada pemimpin PKR itu sudah bersara dan mewakili kumpulan tertentu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim berbaju Melayu lengkap bersama songkok berucap di Alor Setar, Kedah. Tinjauan terbaru menunjukkan pengerusi Pakatan Harapan itu berdepan defisiti kepercayaan dalam kalangan pengundi Melayu.
Anwar Ibrahim berbaju Melayu lengkap bersama songkok berucap di Alor Setar, Kedah. Tinjauan terbaru menunjukkan pengerusi Pakatan Harapan itu berdepan defisiti kepercayaan dalam kalangan pengundi Melayu.

Majlis Profesor Negara (MPN) yang mewakili lebih 3,000 ahli akademik kanan di seluruh negara menjarakkan diri daripada deklarasi sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai "profesor Melayu" yang mengumumkan sokongan terhadap Anwar Ibrahim, di mana ia dilihat cuba meningkatkan penerimaan terhadap presiden PKR itu dalam kalangan pengundi Melayu menjelang hari pengundian 19 November.

Dalam satu kenyataan, majlis yang turut dianggotai lebih 7,000 profesor madya dan 200 pakar industri, berkata ramai dalam kalangan dari kumpulan itu sudah bersara, sambil menambah ada juga sebahagian daripada  mereka merupakan sebahagian ”gerakan tertentu".

"(Oleh itu, mereka) tidak lagi boleh menggunakan gelaran profesor, kecuali jika dilantik sebagai profesor emeritus," kata presiden majlis itu, Raduan Che Rose.

Terdahulu, sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka sebagai G70 mengadakan sidang media di Petaling Jaya untuk mengisytiharkan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri.

Antara nama yang terlibat dalam dokumen deklarasi itu yang dilihat MalaysiaNow termasuk beberapa teman rapat ketua PKR itu sejak beliau masih bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), selain pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa di mana Anwar pernah menjadi presiden sebelum beliau dipecat daripada kerajaan pada tahun 1998.

WhatsApp Image 2022-11-16 at 6.46.24 PM

Antara terlibat termasuk Osman Bakar, rakan lama Anwar yang bertugas di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa atau Istac, sebuah pertubuhan yang berkait rapat dengan presiden PKR itu, selain Muhammad Nor Manuty, seorang pemimpin PKR dan bekas senator.

“Setelah membuat pertimbangan sewajarnya terhadap calon-calon perdana menteri, kami berpendirian bahawa Anwar Ibrahim adalah satu-satunya tokoh dengan kewibawaan dan pengalaman serta integriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk dengan berteraskan Islam sebagai agama persekutuan, serta memulihkan reputasi negara di mata dunia,” kata deklarasi itu.

Deklarasi itu dibuat selepas beberapa siri tinjauan menunjukkan Anwar yang merupakan calon perdana menteri Pakatan Harapan masih mengalami defisit kepercayaan dalam kalangan sebahagian besar pengundi Melayu.

Tinjauan terbaru oleh badan pendapat awam global YouGov pula meletakkan calon perdana menteri Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin sebagai tokoh paling popular dalam kalangan empat calon perdana menteri termasuk Anwar, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Tinjauan terbaru itu senada dengan satu lagi tinjauan serupa oleh Universiti Utara Malaysia, yang menunjukkan Muhyiddin dipilih sebagai pemimpin paling dipercayai bagi memegang jawatan tertinggi dalam negara itu.