- Iklan -
Berita

Tinjauan badan global dapati Muhyiddin calon PM paling popular

Pengerusi Perikatan Nasional itu terus mengatasi di kedudukan pertama dalam tinjauan pendapat ketika Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan berusaha mendapatkan sokongan bagi jawatan nombor satu itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berucap di hadapan hadirin dalam sebuah acara kempen di Kuala Lumpur.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berucap di hadapan hadirin dalam sebuah acara kempen di Kuala Lumpur.

Firma pendapat awam global YouGov meletakkan pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri paling popular dalam kalangan calon gabungan lain yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beberapa hari sebelum bilangan pengundi terbesar dalam sejarah Malaysia keluar mengundi pada 19 November.

Tinjauan terbaru YouGov itu berkata, Muhyiddin, yang mengetuai kerajaan Malaysia ketika kemuncak pandemik Covid-19 menerima “penerimaan terbaik" dalam kalangan satu pertiga (33%) pengundi, berbanding tiga pemimpin gabungan lain yang bersaing untuk jawatan tertinggi dalam negara itu.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim berada di tempat kedua, dengan 29% penerimaan. 

Manakala Perdana Menteri Ismail Sabri berada di tempat ketiga dengan 22% responden memberikan pandangan positif terhadap beliau.

Sementara itu, pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad yang tidak menolak mungkin kembali menjadi perdana menteri buat kali ketiga, menduduki tempat terakhir dengan 14%.

Populariti ahli politik veteran itu didapati lebih rendah berbanding Abdul Hadi Awang, walaupun presiden PAS yang bersekutu dengan Muhyiddin tidak menyatakan minat untuk menduduki jawatan tersebut.

GE15-PopularityWar-02

Dapatan YouGov itu dilihat senada dengan tinjauan serupa dijalankan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), di mana ia mendapati Muhyiddin adalah tokoh paling dipercayai, diikuti Anwar di tempat kedua.

Muhyiddin berkhidmat sebagai perdana menteri selama kira-kira 17 bulan, sebelum beliau terpaksa berundur pada Ogos 2021 selepas mendapat tekanan daripada sekumpulan pemimpin Umno yang bersekutu dengan Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Undi popular

Sementara itu, tinjauan YouGov terhadap pengundi secara individu juga mendapati PH mungkin mendapat bahagian terbesar undi sebanyak 35%, namun tidak menamakan gabungan itu sebagai pemenang. 

Manakala PN berada di tempat kedua sebanyak 20%, diikuti BN sebanyak 17%.

“Walaupun PH mungkin menunjukkan prestasi yang baik di kawasan bandar di Malaysia, bilangan pengundi yang jauh lebih rendah diperlukan untuk memenangi kerusi di kawasan luar bandar di mana BN dan PN berkemungkinan menunjukkan prestasi yang baik di mana (kedudukan) dalam Parlimen mungkin akan menjadi sangat kompleks,” kata Campbell White, yang mengetuai YougGov Asia Pasifik.

Pilihan raya di Malaysia yang menggunakan sistem "First Past The Post", selain pemetaan pilihan raya di mana kawasan bandar besar masih diwakili satu kerusi di Parlimen menjadikan undi popular tidak semestinya menunjukkan sesebuah parti boleh mendapat majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan.

Namun, White berkata sistem itu akan menimbulkan risiko kepada gabungan berasaskan Melayu seperti BN dan PN, kerana undi Melayu akan berbelah bagi antara dua gabungan itu di Semenanjung Malaysia.

Dari segi isu, penemuan YouGov menunjukkan kos sara hidup menjadi keluhan utama pengundi (51%), diikuti integriti kerajaan, pendapatan, kestabilan, hak Bumiputera, pendidikan dan pekerjaan.

Sementara itu, isu-isu seperti kebebasan peribadi, alam sekitar dan jenayah didapati gagal menarik perhatian pengundi.

Tinjauan YouGov dijalankan antara 8 dan 14 November, melibatkan 2,687 warganegara Malaysia berdasarkan "demografi khusus" bagi memastikan responden mewakili populasi mengikut umur, jantina, etnik, tahap pendidikan dan kawasan pengundian.