- Iklan -
Berita

Lelaki kelahiran Sabah, gadis berjaya dapat kerakyatan Malaysia

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan untuk meneruskan rayuan bagi menghalang kedua-dua mereka daripada mendapat kerakyatan Malaysia.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Istana Kehakiman Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan. Gambar: AFP
Istana Kehakiman Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan. Gambar: AFP

Proses undang-undang yang dijalani seorang lelaki kelahiran Sabah dan seorang gadis berusia 16 tahun untuk mendapatkan kerakyatan negara ini berakhir dengan kemenangan apabila mahkamah mengiktiraf kedua-dua mereka sebagai warganegara Malaysia.

Keputusan itu dibacakan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan kerajaan yang mahu meneruskan proses rayuan bagi menghalang kedua-dua mereka daripada menerima kerakyatan Malaysia.

Berhubung kes lelaki kelahiran Sabah, Wong Kueng Hui, panel diketuai Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim mendapati permohonan rayuan oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia tidak memenuhi kriteria di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Abang Iskandar, yang bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan Rhodzariah Bujang dan Mohamad Zabidin Mohd Diah, berkata walaupun rayuan dibenarkan, peluang untuk rayuan tersebut berjaya adalah kecil dari segi merit.

Wong yang dilahirkan pada 1995 di Hospital Keningau, Sabah oleh ibu dipercayai warga asing sementara bapanya adalah anak Sarawak. 

Bapa Wong meninggal dunia ketika dia berumur 10 tahun, dan ibunya meninggal dunia tujuh tahun kemudian.

Dalam permohonan semakan kehakimannya, Wong berkata dia tidak mempunyai sebarang dokumen mengenai pengenalan ibunya kecuali mengetahui ibunya berketurunan Indonesia.

Dia turut mendapatkan maklumat dari kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, namun tiada rekod ibunya yang didaftarkan sebagai warga Indonesia.

Dia juga menyemak dengan kedutaan Filipina di Kuala Lumpur namun Wong turut gagal menemui rekod ibunya sebagai warga negara itu.

Wong, 27, berjaya mendapatkan kewarganegaraan di Mahkamah Tinggi pada 2019 selepas mahkamah memutuskan bahawa dia adakah individu tanpa kerakyatan.

Mahkamah Rayuan juga turut mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi itu dengan keputusan majoriti, menyebabkan ketua pengarah JPN, menteri dalam negeri dan kerajaan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Dalam pada itu, panel hakim yang sama turut menolak permohonan serupa oleh ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri, ketua pengarah JPN dan kerajaan untuk meneruskan rayuan dalam kes seorang gadis berusia 16 tahun yang dilahirkan di Perak di mana bapanya adalah warga Malaysia sementara ibunya, seorang warga Filipina.

Sebelum ini, permohonannya untuk mendapatkan kewarganegaraan ditolak kerana dianggap sebagai anak tidak sah taraf kerana perkahwinan ibu bapanya didaftarkan selepas kelahirannya. 

Bapa gadis itu kemudiannya memperoleh pengisytiharan sah taraf dari Mahkamah Tinggi pada 2018 untuk mengisytiharkan anak perempuannya sebagai anak yang sah hasil hubungannya dengan isteri.

Kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memutuskan untuk memihak kepadanya dalam permohonannya mendapatkan kerakyatan warganegara Malaysia untuk gadis itu.

Sementara itu, Azimah Hamzah, wanita berusia 35 tahun yang dilahirkan kepada pasangan Islam dari Kemboja di kem pelarian Cherating, Pahang, berjaya mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan untuk diberikan kerakyatan Malaysia, berikutan percubaannya gagal di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Azimah, yang berhujah bahawa dia adalah individu tanpa kerakyatan yang telah menetap di Malaysia, memohon kerakyatan automatik di bawah Perkara 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan.

Azimah mendakwa kedua ibu bapanya dan empat adik-beradiknya yang lain telah mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Abang Iskandar memberi kebenaran kepada Azimah untuk merayu mengenai satu persoalan undang-undang sama ada anak yang dilahirkan daripada ibu bapa pelarian yang telah memperoleh kewarganegaraan Malaysia layak untuk didaftarkan sebagai warganegara Malaysia seperti yang diperuntukkan di bawah Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Panel hakim mendengar ketiga-tiga rayuan secara berasingan secara dalam talian hari ini.

Pasukan peguam diketuai Haijan Omar mewakili Wong manakala peguam Annou Xavier dan Larissa Ann Louis mewakili gadis remaja itu dan satu pasukan peguam diketuai Gopal Sri Ram bertindak mewakili Azimah.

Peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin mewakili kerajaan dalam kes Wong dan gadis itu, manakala peguam kanan persekutuan Nik Mohd Noor Nik Kar mewakili kerajaan dalam kes Azimah.