- Iklan -
Berita

Kuasa bank untuk ‘mencipta wang’ harus dihapuskan

Bekas jurubank berkata kuasa sedemikian harus diberikan kepada kerajaan di bawah Parlimen.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita sedang menggunakan mesim ATM untuk mengeluarkan not kertas ringgit di pusat bandar Kuala Lumpur.
Seorang wanita sedang menggunakan mesim ATM untuk mengeluarkan not kertas ringgit di pusat bandar Kuala Lumpur.

Seorang bekas jurubank menyeru agar hak mencipta wang diberikan kepada kerajaan dan diletakkan di bawah kuasa Parlimen, sekali gus mengambil kuasa mencipta wang yang diberikan kepada bank-bank. 

Muhammad Zahid Abdul Aziz dari Movement for Monetary Justice (MMJ) berkata, ketika ini bank-bank mempunyai kuasa mencipta kredit di bawah syarat-syarat yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM). 

Berdasarkan syarat BNM, katanya pinjaman yang boleh diberikan tidak boleh melebihi 80% jumlah deposit dalam bank-bank tersebut. 

Namun sistem itu membenarkan bank mencipta deposit dari atas angin untuk memberi pinjaman lebih daripada deposit tunai sebenar. 

Menurutnya, fenomena ini disahkan oleh Bank of England dan Bank Pusat Eropah.

"Secara tidak sedar, kita melantik bank-bank sebagai pencipta wang. 

“Di Malaysia, 95% daripada jumlah wang dicipta oleh bank swasta, hanya 5% sahaja yang dicipta oleh kerajaan," katanya kepada MalaysiaNow.

Wang yang dicipta oleh bank adalah dalam bentuk angka-angka dalam akaun bank, manakala wang yang dicipta oleh kerajaan dalam jenis wang kertas dan syiling.

Berdasarkan statistik, Zahid berkata 65% daripada pinjaman bank diberikan kepada sektor persendirian seperti pinjaman peribadi, kad kredit dan pinjaman perumahan. 

Hanya 35% diberikan kepada ekonomi sebenar.

Situasi tersebut menjeremuskan negara dalam inflasi am yang boleh dielakkan kerana duit baru dicipta tanpa pengeluaran atau barangan baru, dan juga inflasi gelembung dalam sektor perumahan.

"Duit yang pergi ke sektor ekonomi sebenar, kebanyakannya pula pergi ke syarikat-syarikat besar kerana bank takutkan risiko jika memberi pinjaman kepada syarikat kecil. 

“Malangnya, semua terlibat menerima pemikiran menjijikkan risiko ini walhal mengikut kaedah fiqah Islam,  al-Ghunm bi al-Ghurm  jelas menyatakan tiada keuntungan kepada orang Islam melainkan sanggup menghadapi risiko," katanya.

Sebagai rekod, sektor perniagaan kecil dan sederhana (IKS) yang menghasilkan 70% pekerjaan negara. 

IKS juga menyumbang kira-kira 40% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Namun dengan sistem sedia ada, IKS hanya menerima kira-kira 16% wang yang diberikan oleh bank. 

Bank komersial pada asalnya menyimpan emas daripada orang ramai dan menghasilkan “promissory notes” sebagai bukti simpanan para pendeposit mereka. 

Namun setelah beberapa lama, pihak bank menghasilkan promissory notes tanpa menambah jumlah emas dalam simpanan mereka. 

Ini kerana pihak bank mendapati emas fizikal jarang dikeluarkan oleh pendeposit.

Demikian sejarah bagaimana bank-bank mendapat hak mencipta kredit tanpa menerima deposit wang tambahan, menurut Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School. 

Katanya, nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SSR) diturunkan oleh BNM semasa pandemik lalu meningkatkan kecairan sekaligus menyumbang kepada keadaan inflasi hari ini. 

Zahid yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam kewangan Islam itu berkata, menerusi suatu cara baru,yang turut dicadangkan oleh semua semua pihak reformis monetari dalam dunia, kerajaan boleh mewujudkan sebuah badan berkuasa monetari pusat (central monetary authority) untuk mencipta wang. 

Badan ini katanya wajar diletakkan di bawah Parlimen. 

"Selepas diluluskan Parlimen, wang boleh diberikan kepada sebuah entiti baru, iaitu Bank Pelaburan Negara (State Investment Bank) yang mana duit itu boleh dihalakan sepenuhnya kepada ekonomi sebenar," tambahnya. 

Tindakan ini akan meningkatkan output ekonomi, menghapuskan pengangguran graduan dan anak muda, meningkatkan gaji permulaan mereka, mengurangkan kadar inflasi am, menurunkan harga rumah, menguncupkan jurang miskin kaya dan memperkukuhkan ringgit.

Dengan meletakkan kuasa mencipta kredit di bawah Parlimen dan kerajaan, Zahid berkata keuntungan bank sebanyak RM34 bilion setahun dapat ditarik dan menjadi milik kerajaan untuk dibelanjakan kepada rakyat. 

"Kerajaan sekarang pun boleh cipta wang, tapi ia memilih untuk meminjam daripada bank dan bayar RM34 bilion setahun bunga kepada bank," katanya yang baru-baru ini menerbitkan buku berjudul Confessions of an Islamic Banker. 

Katanya, mengambil alih hak ciptaan wang dari bank akan menghasilkan lebih kurang RM64 bilion setahun pendapatan kepada kerajaan yang boleh dibelanja untuk pendapatan asas (basic income) kepada golongan B40, pendidikan percuma hingga ke universiti untuk semua rakyat Malaysia, dan kemungkinan mengurang atau menghapus beban cukai pendapatan dari golongan rendah dan pertengahan.  


Mengenai bank-bank sekarang, Zahid berkata mereka boleh menjadi satu daripada dua jenis bank iaitu bank pembayaran yang mengurus sistem pembayaran negara tanpa terlibat dalam pinjaman atau pembiayaan, dan bank pelaburan yang menerima wang pelaburan dari pelanggan tanpa boleh mengendali akaun semasa.


Sementara itu, Razman, mengesahkan bank-bank sekarang masih boleh beroperasi walaupun tiada hak untuk mencipta kredit. 


"Hanya kuasa menghasilkan wang sahaja terletak pada satu badan, manakala operasinya boleh dikendalikan bank-bank komersial. 


“Mereka masih boleh menjana pendapatan menerusi caj transaksi dan pelaburan," katanya.