- Iklan -
Berita

Pemain industri Sarawak beri amaran projek tergendala susulan pembekuan pekerja Indonesia

Mereka berkata sekiranya tiada peningkatan tenaga kerja, usaha pemulihan ekonomi akan terjejas.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Pekerja menjalankan tugas mereka di sebuah tapak bina di Selangor. Persekutan  Majikan-Majikan Malaysia berkata wujud kekurangan tenaga kerja walaupun pembekuan pengambilan pekerja asing sudah ditarik balik Februari lalu.
Pekerja menjalankan tugas mereka di sebuah tapak bina di Selangor. Persekutan Majikan-Majikan Malaysia berkata wujud kekurangan tenaga kerja walaupun pembekuan pengambilan pekerja asing sudah ditarik balik Februari lalu.

Pemain industri di Sarawak menggesa kerajaan untuk segera menangani isu kekurangan tenaga kerja asing, memberi amaran ia boleh menjadi punca kelewatan dalam menyiapkan projek pembangunan yang mencecah kos berbilion ringgit, ketika Indonesia mengumumkan pembekuan penghantaran pekerja ke Malaysia selepas mendakwa wujud pelanggaran perjanjian tenaga kerja yang ditandatangani kedua-dua negara.

Sim Kiang Chiok dari Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda) berkata sumber manusia yang cukup merupakan kunci utama bagi sesuatu projek pembangunan.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata penyelesaian segera dan strategik sangat diperlukan ketika ini.

"Ramai pekerja asing yang tinggalkan negara semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kini beransur masuk semula ke dalam negara, namun pembekuan yang diumumkan akan menjejaskan usaha kami untuk memulihkan kekurangan sumber manusia sehingga mencapai kapasiti sebelum pandemik,” kata Sim yang merupakan pengerusi Sheda bagi cawangan Kuching.

Ketika mengumumkan langkah itu minggu lalu, Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono, berkata pihak berkuasa imigresen masih meneruskan penggunaan sistem pengambilan dalam talian bagi pengambilan tenaga kerja domestik yang sering dikaitkan dengan dakwaan pemerdagangan manusia dan buruh paksa.

Beliau berkata tindakan itu melanggar perjanjian yang ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia pada April dalam usaha meningkatkan perlindungan pekerja domestik Indonesia di negara ini.

Malaysia yang merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia kini bergelut dengan masalah kekurangan buruh dalam sektor  perladangan di mana ia sangat bergantung dengan pekerja asing.

Setakat ini, sektor itu dianggarkan mengalami kekurangan kira-kira 1.2 juta pekerja.

Tanpa peningkatan tenaga buruh, Sim berkata, usaha pemulihan ekonomi Malaysia selepas dua tahun pandemik Covid-19 akan berdepan risiko.

"Sumber manusia adalah komponen penting dalam mana-mana ekonomi dan ia merupakan keperluan bagi industri pembuatan, pembinaan dan perniagaan untuk terus bergerak ke hadapan," katanya.

Persatuan Kontraktor-Kontraktor Pembinaan dan Kejuruteraan Awam Sarawak turut bersetuju kekurangan buruh akan menghalang kemajuan projek.

"Ia adalah berita yang sangat menyedihkan dan satu perkara negatif bagi industri pembinaan," kata pengerusi persatuan itu, James Ha Tung In, merujuk keputusan Indonesia membekukan penghantaran tenaga buruhnya.

“Lebih banyak projek akan terus mengalami kelewatan sehingga boleh diklasifikasi sebagai projek sakit yang kontraknya boleh ditamatkan oleh agensi terlibat."

Memberi ulasan terhadap apa yang disifatkan sebagai  prestasi buruk agensi kerajaan setakat ini, Ha berkata kontraktor-kontraktor yang terdesak mungkin akan bertindak "mencuri" pekerja antara satu sama lain dengan cara menawarkan gaji yang lebih tinggi.

"Ini akan menjadi beban kewangan tambahan kepada kontraktor," tambahnya.

"Kerajaan perlu bertindak segera untuk menyelesaikan isu ini dengan Indonesia."

Beliau juga menggesa pihak berkuasa untuk menghentikan serbuan ke atas tapak pembinaan, mengatakan tindakan sedemikian akan memberi kesan negatif terhadap industri.

“Buat masa ini, hentikan serbuan yang terlalu kerap di tapak projek bagi menangkap pekerja haram yang menyumbang secara positif kepada industri pembinaan serta pemulihan ekonomi secara keseluruhannya,” katanya.

Benarkan lebih ramai pekerja dari negara lain

Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia berkata perbincangan segera akan diadakan dengan Kementerian Dalam Negeri berhubung isu pembekuan pekerja Indonesia.

Selain buruh dari Indonesia, pekerja asing juga biasanya diambil dari negara seperti Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

Namun, di sebalik pembukaan semula sempadan negara dan Putrajaya juga turut memberikan jaminan mengenai bekalan sumber manusia, kepulangan pekerja asing dari luar negara masih dilihat perlahan.

Sim turut mencadangkan pengambilan pekerja asing diperluaskan ke negara-negara lain selain Indonesia memandangkan negara amat bergantung kepada pekerja asing terutama dalam industri pembinaan.

"Kita harus membenarkan kemasukan lebih ramai pekerja asing dari negara seperti Bangladesh, Vietnam, Kemboja, Filipina dan China," katanya.

Sim turut memberi contoh Singapura, di mana beliau berkata Malaysia harus mencontohi dasar pengambilan buruh asing republik itu.

“Sebelum pandemik, kadar pekerja asing di Sarawak hanya sekitar 6% daripada jumlah penduduk berbanding Singapura di mana jumlahnya menghampiri 60%,” katanya.

"Kami memerlukan lebih ramai pekerja asing untuk membantu dalam menjalankan rancangan pemulihan pasca Covid-19."

Sementara itu, Ha turut menggesa kerajaan untuk mengkaji semula proses birokrasi yang dijalankannya.

Ha berkata kerajaan perlu memperluaskan sumber pekerja asing untuk mengelak daripada terlalu bergantung dengan Indonesia.

"Agensi kerajaan seperti imigresen dan jabatan buruh perlu mempercepatkan proses pengambilan untuk membantu meningkatkan pemulihan ekonomi Malaysia," katanya.

Ha turut menambah beberapa syarikat juga kini sudah berada di tahap akan menutup sepenuhnya operasi. 

Katanya, mereka mungkin memerlukan bantuan kerajaan untuk berdepan isu kenaikan harga komoditi.

“Isu ini mungkin menjadi punca akhir kontraktor berdepan kewangan yang teruk,” katanya.