- Iklan -
Berita

Indonesia beku sementara penghantaran tenaga kerja ke Malaysia

Indonesia mendakwa Malaysia melanggar perjanjian yang dimeterai pada April yang boleh melindungi tenaga kerja domestik dalam negara.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Malaysia banyak bergantung dengan pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh dan Nepal bagi mengisi kelompongan pekerja di sektor perladangan dan pembuatan.
Malaysia banyak bergantung dengan pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh dan Nepal bagi mengisi kelompongan pekerja di sektor perladangan dan pembuatan.

Kerajaan Indonesia mengumumkan pada Rabu bahawa ia akan menghentikan secara sementara penghantaran rakyatnya untuk bekerja di Malaysia, mengatakan wujud pelanggaran dalam perjanjian yang telah ditandatangani antara kedua-dua negara.

Pembekuan penghantaran pekerja dari Indonesia termasuk ribuan dalam sektor perladangan menjadi satu tamparan kepada Malaysia yang merupakan pengeluar dan pembekal minyak sawit kedua terbesar di dunia, menjadikan negara menghadapi kekurangan kira-kira 1.2 juta pekerja di mana ia boleh menjejaskan pemulihan ekonomi negara.

Duta Indonesia ke Malaysia Hermono, memberitahu Reuters pembekuan itu dikenakan selepas pihak berkuasa imigresen Malaysia masih meneruskan penggunaan sistem pengambilan pekerja dalam talian bagi tenaga kerja domestik yang dikaitkan dengan dakwaan pemerdagangan manusia dan buruh paksa.

Operasi sistem yang diteruskan itu dianggap melanggar syarat perjanjian yang ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia pada April, di mana ia dimeterai bagi tujuan melindungi tenaga kerja domestik dari Indonesia, kata Hermono.

Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia S Saravanan mengesahkan telah menerima surat daripada pihak berkuasa Indonesia memaklumkan pembekuan sementara penghantaran tenaga kerja ke Malaysia. 

Beliau memberitahu Reuters bahawa perbincangan akan dibuat dengan Kementerian Dalam Negeri, yang bertanggungjawab menyelia jabatan imigresen.

Menurut Hermono, syarikat Malaysia memohon sejumlah 20,000 tenaga kerja dari Indonesia, di mana separuh daripadanya adalah adalah bagi menampung kelompongan tenaga kerja di sektor perladangan dan pembuatan di Malaysia.

Malaysia bergantung dengan pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh dan Nepal untuk mengisi keperluan di kilang dan ladang, sektor yang bukan menjadi pilihan pekerjaan penduduk tempatan.

Terdapat kebimbangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini mengenai layanan yang diterima pekerja asing di Malaysia, di mana sejak dua tahun lalu tujuh syarikat Malaysia dikenakan larangan import oleh Amerika Syarikat berikutan dakwaan wujud amalan  "buruh paksa".