- Iklan -
Berita

Masih relevankah hadkan penggal PM?

Walaupun terdapat pro dan kontra mengenai cadangan itu, namun penganalisis berkata usaha untuk mengekang kemunculan seorang lagi ’strong man’ perlu dilakukan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Gambar bangunan Putra Perdana di Putrajaya di mana terletaknya Pejabat Perdana Menteri.
Gambar bangunan Putra Perdana di Putrajaya di mana terletaknya Pejabat Perdana Menteri.

Sejak pilihan raya umum lalu, Malaysia menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri, satu perubahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak negara mencapai kemerdekaan di mana beberapa generasi membesar di bawah seorang atau dua perdana menteri.

Di sebalik beberapa pertukaran perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang memimpin kerajaan selama 22 tahun ketika pusingan pertamanya masih menghantui lanskap politik negara walaupun ramai percaya zaman penggal yang panjang seperti itu sudah lama berlalu.

Ini disebabkan oleh peningkatan penggunaan media sosial sekali gus menyebabkan politik menjadi semakin terbuka.

Keadaan ini mungkin benar disebabkan kesetiaan kepada politik dan perikatan di Malaysia kini boleh berubah walaupun sebelum ini dilihat mempunyai kestabilan politik berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

Akan tetapi Oh Ei Sun dari Singapore Institute of International Affairs berkata, dalam situasi ketidakstabilan politik yang dialami negara hari ini, ramai yang beranggapan bahawa politik akan mudah berubah.

“Namun selepas tamat pergolakan ini, seorang lagi ‘strong man’ seperti Dr Mahathir Mohamad pada awal penggalnya mungkin muncul,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Oleh itu, penting untuk mengehadkan tempoh penggal perdana menteri sebelum perkara itu terjadi dan jadikan ia satu tradisi politik.”

Beliau mengulas kenyataan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin yang akan membincangkan isu itu dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pertemuan itu antara lain dijangka membincangkan mengenai rang undang-Undang (RUU) anti lompat parti, RUU perkhidmatan Parlimen dan pindaan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Oh merujuk kepada pentadbiran Mahathir sepanjang 22 tahun semasa pertama kali menjadi perdana menteri.

Beliau kemudian menjadi perdana menteri buat kali kedua selepas kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mahathir kemudian meletakkan jawatan selepas 22 bulan ketika krisis politik yang menyaksikan pertukaran kerajaan dan perdana menteri pada 2020.

Idea menghadkan penggal perdana menteri antara cadangan yang dikemukakan PH semasa berkempen pada PRU14 lalu.

Cakap-cakap mengenai melanjutkan tempoh penggal perkhidmatan juga turut kedengaran di negara Indonesia apabila sebahagian rakyat mereka mahu meneruskan pentadbiran Joko Widodo atau Jokowi bagi penggal ketiga.

Jokowi bakal menamatkan penggal keduanya pada tahun 2024.

Persoalan juga timbul mengenai kebolehlaksanaan perkara itu memandangkan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang dijangka tamat pada Julai.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar pula berkata,

PH cuba untuk memenuhi manifesto mereka melalui MoU dengan kerajaan, walaupun tidak sempat mengusulkannya semasa berada dalam kerajaan.

“Kini mereka mengharapkan Ismail menerima cadangan PH berkait pembaharuan institusi berkenaan.

“Adakah ini satu keutamaan sekarang? Itu persoalannya. Bagi PH cadangan itu sangat besar maknanya buat mereka. Tetapi saya yakin, jika ditanya kepada rakyat kini, ianya bukan satu keutamaan yang perlu diberikan prioriti oleh kerajaan,” katanya.

Menurut Hisommudin, ini kerana rakyat lebih tertumpu kepada pemulihan ekonomi, peluang pekerjaan dan harga barang yang lebih mendesak.

Katanya, walaupun idea itu dahulu mungkin memberikan keterujaan kepada pengundi tetapi dinamika politik dan keadaan semasa sudah berubah.

Sementara Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, meskipun tindakan itu mempunyai kebaikan dan keburukan, keburukannya lebih banyak dari kebaikan apabila membenarkan tempoh berkuasa yang lama.

Ini kerana, pihak lawan mungkin cuba untuk menghapuskan atau membalikkan polisi dan wawasan yang cuba diterapkan oleh seseorang perdana menteri ketika pentadbirannya, seterusnya meletakkan negara dalam keadaan inersia jika polisi tersebut dibatalkan.

Ia terjadi apabila PH membalikkan polisi berkaitan percukaian dan pengangkutan awam selepas memenangi PRU14.

Namun Kartini berkata, masyarakat Malaysia sudah mencapai kematangan tersendiri berhubung perubahan kerajaan.

“Kita sudah mencapai kematangan demokrasi apabila pertukaran Barisan Nasional (BN) kepada PH pada 2018 yang menyaksikan tiada keganasan berlaku.

“Peralihan intra-kuasa dalam satu pilihan raya dengan tiga perdana menteri iaitu Mahathir kepada Muhyiddin Yassin kepada Ismail juga tiada keganasan,” katanya.

Oh pula menegaskan, tindakan mengehadkan penggal itu sememangnya diperlukan dalam masyarakat yang semakin matang seperti Malaysia.

Ia bagi memantau tindakan sesetengah ahli politik yang mungkin terlalu bercita-cita tinggi.

“Kita tentunya tidak mahu bakal autokrat untuk mendapat idea mengekalkan diri di puncak kuasa,” katanya.

Oh turut memberi justifikasi mengapa polisi seperti percukaian dan pengangkutan awam yang dibalikkan semasa PH.

“Bangkangan PH ialah mengenai pembaziran yang terkait dengan projek-projek itu.

“Mengenai cukai barangan dan perkhidmatan, saya fikir ia memang dibenci secara umum oleh orang ramai,” katanya.