- Iklan -
Berita

Budaya lepak: Dulu dianggap penyakit sosial, kini jadi acara keluarga?

Pada satu ketika, kerajaan menjalankan pelbagai kempen untuk membanteras budaya lepak, namun kini keluarga yang mempunyai anak kecil biasa dilihat bersiar-siar di ibu kota sehingga ke pagi.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Golongan remaja dilihat masih berada di luar rumah selepas tengah malam di pusat bandar Kuala Lumpur.
Golongan remaja dilihat masih berada di luar rumah selepas tengah malam di pusat bandar Kuala Lumpur.

Suara gelak ketawa dan girang kanak-kanak memeriahkan suasana di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur meskipun jam sudah menunjukkah hampir ke pukul 1.30 pagi.

Sepanjang jalan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur ditutup untuk memberi laluan kepada kanak-kanak dan keluarga yang sedang “melepak” di tengah-tengah padang.

Terdapat juga dalam kalangan mereka yang bermain “skuter elektrik” selain berkejaran di tengah-tengah padang yang lapang.

Tinjauan MalaysiaNow pada Sabtu mendapati pengunjung mula memenuhi kawasan tersebut seawal jam 6.00 petang hingga awal pagi.

Orang ramai yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur kelihatan berada dalam kawasan tumpuan tersebut termasuk bayi yang berusia kurang setahun.

Malah, terdapat ibu bapa yang membawa bayi-bayi mereka hanya menutup wajah anak dengan tuala kecil tanpa meletakkan anak di dalam kereta sorong bayi yang lebih selamat apabila di kawasan ramai orang.

Kelihatan juga beberapa kanak-kanak yang terlentok di riba si ibu kerana mengantuk menunggu untuk pulang ke rumah.

Tidak lupa juga, suara tantrum anak-anak kecil yang kepenatan selepas bermain.

Lebih daripada itu, beberapa kanak-kanak dan remaja yang ditemui MalaysiaNow mengaku datang sendiri tanpa ditemani ibu bapa.

Mereka memberitahu MalaysiaNow bahawa mereka telah mendapat “restu” ibu bapa untuk melepak bersama rakan-rakan sebaya.

Bukan sahaja diberi kebenaran, mereka turut dibekalkan dengan sedikit wang tunai.

Seorang remaja dikenali sebagai Farhan, 13, berkata dia datang dari Bukit Kemuning di Selangor menaiki kenderaan e-hailing bersama tiga orang rakannya berumur antara 15 dan 17 tahun dengan tambang melebihi RM30 untuk bermain skuter elektrik.

Katanya, ibu dan bapa tidak pernah menyoal dan membangkitkan apa-apa isu selagi dia boleh menepati masa dan mematuhi arahan seperti pulang sebelum jam 1.00 pagi.

Bagaimanapun MalaysiaNow bertemu Farhan di tepi bangunan Sultan Abdul Samad pada jam 1.27 pagi.

“Hari ni tak apa. Sebab sesak. Mak kata okay.

“Kalau kereta (Grab) tak ada, abah datang ambil,” katanya.

Lepaskan tekanan?

Berbeza dengan Jeevan, seorang bapa dari Batu Caves, Selangor berkata dia membawa anak lelakinya ke Dataran Merdeka sejak berusia lapan bulan.

Kini, anak lelakinya berusia enam tahun.

Katanya, selain memberikan ruang kepada anaknya untuk bermain dengan rakan-rakan baru, dia percaya melepak di situ boleh membantu anaknya melepaskan tekanan dan perasaan yang dialaminya sebagai anak kecil.

“Hari biasa, Isnin sampai Jumaat, saya tidak akan bagi. Mesti buat kerja sekolah, tidur awal sebab nak bangun pagi.

“Hari Jumaat, Sabtu, dia sendiri yang minta nak datang. Sekarang, semua orang kat sini pun dah kenal dia.

“Kanak-kanak pun tahu stress. Kita asyik suruh dia belajar dan buat kerja sekolah sahaja juga tidak boleh. Biar mereka bermain sepuasnya, pada hari cuti sekolah.

“Apa salahnya kan?”

Mengulas lanjut, Jeevan dan isterinya, Anu berkata bukan sahaja anak lelakinya boleh bermain dan beriadah.

Malah, mereka sebagai ibu bapa juga dapat mendidik anak-anak tentang sejarah dan warisan negara seperti menceritakan tentang latar belakang tempat anaknya bermain iaitu Dataran Merdeka dan bangunan Sultan Abdul Samad.

Tambahnya lagi, kebiasaannya mereka akan berjalan berpimpin tangan membawa anaknya melihat sekitar sungai atau lebih dikenali sebagai “River of Live Kuala Lumpur” di belakang bangunan tersebut untuk bergambar.

Rakan baik Jeevan, seorang bapa kepada anak lelaki berusia lima tahun dari Shah Alam pula pada mulanya tidak suka apabila mendengar tentang lokasi-lokasi “panas” seperti Dataran Merdeka.

Bagi Tamil Selvan, dia membesar dengan mendengar pelbagai perkara negatif mengenai tempat itu.

Contohnya, tempat bagi aktiviti lumba haram dan merempit.

Bagaimanapun, sejak rakannya mempelawa untuk melepak bersama, dia berasa berat hati untuk menolak.

“Bila datang, tengok suasana macam ni. Saya rasa macam syok pula.

“Anak-anak boleh bermain. Kawasan luas. Di rumah, macam mana nak main begini?

“Keselamatan pun baik, jalan ditutup. Jadi, kita tahu tiada kereta dan motor sembarangan boleh masuk.

“Isteri saya juga datang. Boleh berkawan dengan isteri kawan saya. Dia pun boleh berehat dan lepaskan stress daripada kerja-kerja di rumah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sekitar hujung tahun 90-an, kerajaan Malaysia menghabiskan banyak perbelanjaan negara untuk membanteras kegiatan dan aktiviti “melepak”.

Ketika itu, pelbagai kempen dan dasar-dasar baru diperkenalkan termasuk di dalam sistem pendidikan untuk memastikan golongan muda tidak terpengaruh dengan budaya tersebut.

Di sekolah, anak-anak murid diberitahu mengenai bahaya dan kesan buruk budaya melepak.

Kempen seperti “Membaca Gaya Wawasan”, “Tak Nak Merokok” dan “Jangan Ponteng Sekolah” berlangsung secara besar-besaran.

Hebahan di kaca televisyen dan poster ditampal di merata-rata tempat.

Malah, ada juga lagu-lagu tema kempen yang turut menjadi siulan pelajar pada masa itu.

Boleh jadi, individu seperti Jeevan dan Anu serta rakannya, Tamil merupakan antara pelajar yang berada di dalam kempen tersebut.

Kini, mereka menjadi generasi yang menukar naratif budaya melepak.

Jana ekonomi

Sementara itu, tinjauan mendapati terdapat pelbagai jenis jualan dijalankan di kawasan tumpuan tersebut menggunakan troli dan kereta sorong.

Ramai di antara peniaga menjual minuman, snek ringan dan buah potong dari satu tempat ke tempat yang lain.

Ada juga yang menyediakan makanan bergoreng dari rumah dan menjaja di tepi-tepi Dataran Merdeka sambil melaungkan harga dan juadah yang dijual.

Rabiatul, 41, berkata dia mampu menjana pendapatan sampingan sebanyak RM400 satu malam dengan menjual minuman dan buah potong kepada keluarga dan kanak-kanak yang bermain.

Katanya, walaupun hanya boleh menjalankan perniagaan pada hari minggu dan cuti umum sahaja, ianya sudah cukup memadai untuk menyara dirinya dan dua orang anak yang masih bersekolah.

“Lepas PKP (perintah kawalan pergerakan), saya diberhentikan kerja. Tak ada kerja.

“Nak makan susah. Sekarang jual air, boleh bagi anak-anak duit belanja sekolah,” katanya dengan ceria.

Lain pula ceritanya bagi seorang anak muda dari Pahang mahu dikenali sebagai Izzat.

Dia menetap di Kuala Lumpur sejak tahun 2018 sebagai pembantu jurutera dengan gaji bersih RM3000.

Akibat pandemik, dia diberhentikan kerja dan hilang pendapatan.

Menggunakan duit simpan dan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dia nekad untuk membeli kira-kira 15 buah skuter dan motor elektrik untuk memulakan perniagaan.

“Saya sewakan serendah RM25 untuk setengah jam. Bergantung kepada jenis kenderaan elektrik.

“Hari minggu memang saya di sini. Hari biasa, saya akan pusing cari tempat ramai orang. Mesti akan ada yang sewa.”

Kata Izzat, keputusannya untuk menggunakan duit simpanan membuahkan hasil apabila untung bersih daripada perkhidmatan sewa skuter elektrik itu mampu mencecah sehingga RM6000 sebulan.

“Duit itu saya simpan semula untuk kegunaan akan datang.

“Saya cuma gunakan sedikit sahaja wang yang saya dapat untuk bayar bil elektrik yang agak tinggi. Sebab semua kenderaan ini perlu dicas penuh dari rumah.”

Di penghujung tinjauan, MalaysiaNow sempat bertanyakan soalan kepada anak lelaki Jeevan dan Tamil. Masing-masing berusia lima dan enam tahun.

“Awak tidak mengantuk dan letih bermain di sini?”

“Tidak,” kata mereka.

Kemudian MalaysiaNow bertanya apa yang akan mereka lakukan selepas selesai melepak.

“Ya. Esok perlu rehat di rumah tolong ibu,” kata anak Jeevan.

Rakannya pula menjawab:

“Saya nak makan McDonalds.”