- Iklan -
Berita

Penutupan sekolah ketika pandemik beri kesan jangka panjang terhadap KDNK G20, kata IMF

Ahli ekonomi IMF berkata jumlah pelajar yang ada ketika ini membentuk hampir 40% populasi umur bekerja di negara G20 bagi beberapa dekad akan datang.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelajar menyerahkan butiran diri kepada pengawas peperiksaan diploma pendidikan menengah di Creative Secondary School Hong Kong pada 22 April. Gambar: AFP
Seorang pelajar menyerahkan butiran diri kepada pengawas peperiksaan diploma pendidikan menengah di Creative Secondary School Hong Kong pada 22 April. Gambar: AFP

Penutupan sekolah sepanjang pandemik telah menjejaskan pembelajaran kanak-kanak di kebanyakan negara G20 dan boleh memberi kesan negatif berpanjangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi ekonomi maju, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Selasa.

Penilaian terkini terhadap murid sekolah menunjukkan pembelajaran secara maya yang dijalankan secara meluas semasa pandemik Covid-19 telah mengakibatkan tahap akademik yang lebih rendah di India, Jerman, United Kingdom, Brazil dan Amerika Syarikat, di mana banyak institusi pendidikan ditutup selama lebih setahun.

“Jika situasi keciciran pembelajaran ini tidak ditangani, pelajar yang terjejas boleh mengalami tekanan pendapatan seumur hidup,” kata badan kewangan antarabangsa yang berpangkalan di Washington itu dalam satu laporan.

Ahli ekonomi IMF menyatakan pemerhatian yang dijalankan mendapati pelajar yang ada ketika ini membentuk hampir 40% daripada populasi umur bekerja dalam ekonomi G20 bagi beberapa dekad yang akan datang.

“Walaupun masih banyak aspek yang masih tidak dapat dikenal pasti, simulasi kami menunjukkan apabila semua pelajar tersebut berada dalam pasaran buruh, keluaran dalam negara kasar untuk ekonomi maju G20 boleh menjadi sebanyak 3% lebih rendah dalam jangka panjang,” kata laporan itu.

Isi rumah paling miskin mengalami keciciran pembelajaran yang paling teruk, dan prospek mereka adalah yang paling terkesan “(dan) berkurangan, sekali gus meluaskan lagi ketidaksetaraan pendapatan,” kata IMF.

Menurut jangkaan IMF, jika keciciran pembelajaran akibat wabak itu tidak ditangani, ia boleh mengakibatkan kerugian pendapatan seumur hidup sebanyak 1.5% hingga 10% bagi penduduk negara G20.