- Iklan -
Berita

Kumpulan peguam beri amaran tentang ‘hara kiri politik’ jika RUU anti lompat parti diluluskan

LFL berkata mana-mana kerajaan boleh menggubal undang-undang dengan majoriti mudah yang membatalkan kelayakan ahli Parlimen berdasarkan teknikal atau alasan lain.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen bersidang di Dewan Rakyat. Gambar: Bernsama
Ahli Parlimen bersidang di Dewan Rakyat. Gambar: Bernsama

Kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini memberi amaran berhubung rang undang-undang (RUU) anti lompat parti, mengatakan usul pindaan Perlembagaan tersebut tidak mempunyai sebarang takrifan kukuh di mana ia memberi ruang disalahgunakan sekali gus boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.

Dalam sebuah kenyataan, LFL turut menambah usaha membentangkan dan meluluskan RUU tersebut di Parlimen akan mencetuskan “tindakan hara kiri politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini” oleh ahli Parlimen.

Mengakui banyak desakan parti politik supaya undang-undang anti lompat parti dilaksanakan sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020, LFL berkata RUU pindaan Perlembagaan bagi memasukkan peruntukan baru di bawah Perkara 10 Perlembagaan untuk membenarkan penggubalan undang-undang itu tidak secara khusus menangani tindakan lompat parti dalam kalangan ahli politik.

Sebaliknya, menurut LFL, RUU itu lebih banyak merujuk keanggotaan seseorang ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam sesebuah parti.

“Sekiranya RUU itu diluluskan, mana-mana kerajaan boleh menggubal undang-undang dengan majoriti mudah yang membatalkan kelayakan ahli Parlimen berdasarkan alasan teknikal atau lain-lain alasan di mana ia akan membahayakan pembangkang selain perlu tunduk di bawah majoriti,” tambahnya.

Pada 7 April, Wan Junaidi yang merupakan pengerusi bersama jawatankuasa pemandu MoU kerajaan dan PH mengatakan rancangan bagi menguatkuasakan undang-undang anti lompat parti masih diteruskan di mana draf awal akta itu akan diedarkan sebelum sidang khas Parlimen pada 11 April.

Beliau berkata pindaan juga akan dibentangkan melibatkan penggubalan punca kuasa (enabling cause) di bawah Perkara 10 Perlembagaan bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baru berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan bahawa RUU itu bakal memberi manfaat kepada kluster mahkamah Umno yang terus mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya mengadakan pilihan raya umum (PRU) lebih awal.

Selain boleh menyebabkan wakil rakyat kehilangan kerusi jika mereka melompat parti selepas dipilih, RUU itu juga boleh menyebabkan mereka yang dipecat daripada parti hilang kerusi yang diwakili, walaupun pemecatan itu dibuat secara tidak sah, tidak adil atau dilakukan dengan penuh kontroversi.

Hal ini timbul ekoran undang-undang berasingan yang memberikan hak mutlak kepada parti politik jika ia melibatkan penyingkiran ahli.

“Jika RUU anti lompat parti ini menjadi undang-undang dan diwartakan, Zahid dan Najib ada serampang dua mata: pertama, mereka boleh bersihkan parti daripada ahli Parlimen dan menteri yang anti kluster mahkamah, dan akibatnya, kerajaan Ismail jatuh kerana ahli Parlimen yang menentang mereka kehilangan status (sebagai wakil rakyat),” kata sumber yang rapat dengan Umno Johor, merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak yang mengetuai kluster mahkamah.

LFL berkata walaupun kestabilan kerajaan perlu dijaga, namun memastikan kebebasan wakil rakyat dijamin juga adalah sama penting.

“RUU anti lompat parti sudah pasti akan menyebabkan ahli Parlimen mengundi selari dengan kemahuan parti, walaupun ia bercanggah dengan prinsip peribadi atau kehendak pengundi akibat bimbang dengan kesannya ke atas diri mereka sendiri,” katanya.

“Adalah naif untuk membayangkan ahli Parlimen tidak didorong cita-cita untuk meningkatkan kedudukan dalam karier politik atau layak untuk dipilih semula.”

LFL turut mengkritik pemimpin politik yang menggesa RUU itu diluluskan dengan segera dan diperhalusi setelah diluluskan.

“Bermain-main dengan Perlembagaan atau prinsip kebebasan berpersatuan dengan cara semberono seperti itu adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan kerosakan,” katanya.

LFL turut menggesa kerajaan menarik balik RUU tersebut, mengatakan rakyat mesti menjadi pemutus tunggal berhubung tindakan wakil rakyat mereka di peti undi.

“Jelas sekali, menggubal undang-undang anti lompat parti bukan penawar (isu ini) seperti yang diharapkan. RUU berbahaya yang dicadangkan kerajaan ini sepatutnya menyedarkan semua orang,” katanya.

“Kita tidak boleh meninggalkan prinsip demokrasi demi mengejar kestabilan yang sukar dicapai.”