- Iklan -
Berita

Pasukan petugas khas siasat dakwaan Tommy Thomas ditubuhkan

Pasukan khas tersebut akan dipengerusikan bekas ketua hakim negara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Tommy Thomas. Gambar: AP
Bekas peguam negara Tommy Thomas. Gambar: AP

Putrajaya bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan bekas peguam negara Tommy Thomas dalam bukunya,”My Story: Justice in The Wilderness”.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat ketika mesyuarat Kabinet semalam.

Ismail berkata pasukan itu akan dipengerusikan bekas ketua hakim negara yang akan dilantik dalam masa terdekat.

“Pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan ini antara lain bersetuju untuk menyiasat dakwaan Tommy Thomas mengenai salah guna kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Bahagian hal ehwal undang-undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara bertindak sebagai urusetia.”

Pada Mei, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Thomas dan bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador.

Zahid berkata pendedahan kedua-dua tokoh yang pernah mengetuai dua organisasi penting kerajaan sebelum ini, amat serius.

“Pendedahan itu terutama membabitkan campur tangan politik dan rasuah dalam institusi yang menjadi benteng mempertahankan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara,” katanya.

Gesaan beliau itu bagaimanapun dipertikaikan pemimpin pembangkang yang mengatakan Zahid dan sekutunya yang digelar sebagai “kluster mahkamah” mahu menyelamatkan dirinya daripada hukuman mahkamah.

Hari ini, Ismail turut mengumumkan siasatan berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim pada 2018 selepas mengalami kecederaan parah sewaktu rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya, selain mengkaji semula undang-undang berkaitan isu Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.