- Iklan -
Berita

Senarai nama ahli RCI siasat buku Thomas dikemuka kepada Agong, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata senarai itu akan dibentangkan kepada Kabinet oleh menteri undang-undang Azalina Othman Said.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Kerajaan akan mengemukakan senarai nama Ahli Jawatankuasa Pasukan Khas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat buku tulisan Tommy Thomas, ‘My Story: Justice in the Wilderness’, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata senarai nama itu akan dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, untuk dibentangkan kepada Kabinet bagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Kabinet meluluskan penubuhan RCI, namun asasnya dulu ada pasukan petugas khas diwujudkan, namun Tommy Thomas telah ambil tindakan undang-undang kepada ahli pasukan petugas khas itu. Maka asas kepada butiran terdapat dalam pasukan petugas khas itu, mungkin boleh dijadikan sandaran oleh ahli RCI baharu yang belum dilantik.

“Saya merasakan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi akan kemukakan nama kepada Kabinet bagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, untuk RCI ini menyegerakan tugas mereka,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan kali ke-15 Parti Makkal Sakti, di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Azalina berkata kerajaan menyatakan persetujuan penubuhan RCI, bagi meneliti secara menyeluruh isu berkaitan integriti serta kebebasan kehakiman dan perundangan negara.

Buku tulisan Tommy Thomas tersebut yang diterbitkan pada Januari 2021, menjadi kontroversi apabila bekas peguam negara itu dalam bukunya, mendakwa mengadakan perbincangan bersama bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, ketika kedua-duanya dalam kerajaan, dalam pelantikan ketua hakim negara, presiden mahkamah rayuan dan hakim besar Sabah dan Sarawak.

Berhubung Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata beliau akan mempertimbangkan untuk memberi jawatan Ahli Dewan Negara kepada ahli Friends of BN itu.

Beliau turut menyeru agar semua parti komponen BN dan Friends of BN, untuk menjadikan pembasmian miskin bandar sebagai perjuangan dalam menyokong usaha Kerajaan Perpaduan untuk menoktahkan kemiskinan. 

“Masalah kemiskinan bandar ini bukan masalah kaum India sahaja, orang Melayu dan Cina juga ada miskin bandar, maka hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mahu menoktahkan kemiskinan tegar ini wajib mendapat sokongan semua, kerana ini agenda nasional dan bukan agenda politik,” katanya.

Terdahulu, Presiden Makkal Sakti R.S Thanenthiran dalam ucapan dasarnya, memohon Zahid untuk mempertimbangkan jawatan Senator kepada pemimpin parti itu, sebagai menghargai semangat setiakawan yang ditunjukkan hampir 15 tahun, selain meminta supaya permohonan mereka untuk menjadi rakan komponen BN untuk diteliti.