- Iklan -
Berita

Kumpulan peguam kecam pertuduhan terhadap aktivis dedah layanan terhadap pelarian

Lawyers for Liberty berkata 'tidak masuk akal' pendedahan sedemikian boleh memudaratkan ketenteraman awam atau moraliti.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis Heidy Quah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 27 Julai lalu. Gambar: Bernama
Aktivis Heidy Quah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 27 Julai lalu. Gambar: Bernama

Kumpulan hak asasi, Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menggesa pertuduhan terhadap seorang aktivis kerana memuat naik hantaran mengenai layanan terhadap pelarian di pusat tahanan imigresen digugurkan, mendakwa kerajaan mengekang hak kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Penyelaras LFL, Zaid Malek mempersoalkan pertuduhan terhadap Heidy Quah, menyifatkannya sebagai “sangat tidak masuk akal” pendedahan seperti itu boleh memudaratkan ketenteraman awam atau moral sehingga pelakunya dituduh melakukan jenayah.

“Ini adalah penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa yang merupakan penyakit sebenar merosakkan sistem demokrasi kita,” tambahnya.

“Mana-mana negara yang memperlakukan pemberi maklumat sebagai penjenayah akan kehilangan nilai moralnya.”

Quah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 27 Julai kerana di  membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui akaun Facebook.

Pertuduhan tersebut diletakkan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000, penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya dan denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan jika disabitkan kesalahan.

Zaid berkata Seksyen 233 (1) (a) adalah “salah satu peruntukan terkenal” yang digunakan terhadap aktivis dan orang awam yang menentang kerajaan atau mana-mana agensinya.

“Istilah yang sangat luas maknanya dan samar-samar yang digunakan dalam Seksyen 233 (1) (a) memberikan kuasa yang luar biasa dan berlebihan terhadap pihak penguatkuasa bagi memutuskan apa perkara yang boleh ‘menyakitkan hati’,” tambahnya.

“Oleh itu, undang-undang tersebut boleh dipakai terhadap seseorang seperti Quah yang hanya mendedahkan keadaan buruk di pusat tahanan imigresen dan ia merupakan masalah kepentingan awam.”

Dalam kenyataan itu juga, Zaid turut mengingatkan kerajaan supaya menjalankan kewajipannya untuk menegakkan Perlembagaan dan melindungi hak rakyat untuk bebas bersuara.

“Walaupun kebebasan itu tidak mutlak, batasan-batasan yang termaktub dalam Perlembagaan tidak menghalang seseorang untuk menyatakan rasa ketidakpuasan dan kritikan terhadap kerajaan atau mana-mana agensinya,” katanya.

“Oleh itu, kerajaan harus memansuhkan peruntukan draconian seperti Seksyen 233 (1)(a) dan segera gugurkan pertuduhan jenayah yang tidak berasas terhadap Quah.”