- Iklan -
Berita

‘Wilayah bebas berniaga’ selamatkan golongan hilang pendapatan, pekerjaan

Gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan tumbuh bagai cendawan selepas hujan di Kuala Lumpur.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Peniaga-peniaga kecil di Jalan Permaisuri, Cheras.
Peniaga-peniaga kecil di Jalan Permaisuri, Cheras.

Rutin harian Fazrul Shahril sebagai kakitangan hotel terkemuka di ibu negara berubah sekelip mata selepas menerima notis pemberhentian kerja selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

Lazimnya, dia memulakan hari seawal jam 6 pagi, melakukan tugas balik tabir bersama rakan-rakan sekerja tetapi bermula April tahun lalu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Fazrul lebih banyak berkurung di rumah sewanya, mengenang masa depan yang belum pasti.

Tetapi pemuda berasal dari Kota Bharu itu tidak mahu mengalah dan berbekalkan wang simpanannya, dia membuka gerai menjual keropok lekor di tepi jalan untuk menampung kehidupan di tengah bandar raya selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kebenaran kepada warga kota membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan yang sesuai bermula November lalu.

“Saya sedar zaman sekarang ni memang tengah susah, semua orang susah. Peluang kerja juga tak ada. Dengan jual keropok lekor ni, sudah cukup memadai untuk menampung dan menyara hidup saya,” kata pemuda berusia 25 tahun itu ketika ditemui di gerainya yang terletak di hadapan pintu masuk Sekolah Menengah Sains Selangor di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Fazrul mampu menarik nafas lega dengan perniagaan yang baru masuk usia empat bulan itu apabila sambutan orang ramai agak memberansangkan.

Mohd Fazrul Shahril melayan pelanggannya yang membeli keropok lekor.

Setakat ini, pendemik sudah pun mengorbankan 555 mangsa dan 138,224 kes positif jangkitan Covid-19 di seluruh negara.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan semula PKP selama 14 hari bermula 13 Januari di enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Pada 11 November lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengumumkan Kuala Lumpur akan menjadi “Wilayah bebas berniaga” tanpa perlu terikat dengan mana-mana peraturan birokrasi dan penguatkuasaan.

“Cuma perlu dapatkan lesen sementara untuk makluman dan rekod data DBKL sahaja,” kata ahli Parlimen Ketereh itu.

Fazrul bukan seorang sahaja yang mengalami pengalaman perit itu dalam tempoh krisis kesihatan ini, dilaporkan 67,068 orang kehilangan pekerjaan sejak Januari tahun lalu.

Kini, beberapa tempat di Kuala Lumpur mula menjadi tumpuan orang ramai untuk berjual beli pelbagai jenis makanan terutama di sekitar Bandar Sri Permaisuri, Kampung Pandan, Masjid Jamek dan Wangsa Maju.

Lebih banyak gerai-gerai di bawah khemah dan payung besar dibina di beberapa kawasan dengan sambutan pelanggan yang tidak putus-putus. Malah, perkembangan ini disambut baik penduduk dan pekerja setempat.

Seorang jururawat Hospital Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ismahani Omar berkata, sebelum lambakan gerai di buka di sepanjang Jalan Yaacob Latiff, berdekatan tempat kerjanya, dia perlu memandu sehingga ke medan selera Bandar Tasik Permaisuri untuk membeli atau membungkus makanan.

Sejak “Wilayah bebas berniaga” dilaksanakan, dia dan rakan-rakan sekerja mula menyedari lebih banyak pilihan makanan yang murah dan bersih berada berhampiran mereka.

“Ini sangat memudahkan urusan kami. Nak jemput anak-anak dari pengasuh pun mudah, tak perlu lagi ke restoran makanan segera, hanya perlu beli apa-apa yang ada di sini. Depan hospital sahaja,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bukan sahaja mereka yang hilang pekerjaan, peniaga pasar malam turut mengambil peluang untuk mencuba nasib berniaga di tempat baru.

Masri Mustamam mengangkat bekas air sebagai persiapan untuk memulakan perniagaannya.

Mazeri Mustapa, 38, seorang peniaga pasar malam dengan pengalaman lebih 20 tahun berkata, pengumuman kerajaan itu menyelematkan dirinya yang terpaksa berhenti menjual minuman dan kerepek selepas pasar malam diarah tutup sepanjang tempoh PKP pada Mac hingga Jun tahun lalu.

Katanya, selama beberapa bulan itu dia putus punca kewangan dan meskipun cara jualan di tapak pasar malam dan perniagaan gerai di tepi jalan memberikan suasana yang berbeza, dia bersyukur dengan peluang diberikan.

“Kalau di pasar malam, kita buka sahaja tapak, mereka yang datang semua berkumpul, pusing-pusing dalam tu.

“Tapi okay sahaja, sambutan agak baik. Saya kira ini satu keputusan yang tepat oleh kerajaan kerana kami berniaga tiada gaji tetap. Kena berniaga, kalau boleh hari-hari nak berniaga,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.

Ketika ditanya, sama ada jaminan kerajaan perniagaan benar-benar boleh dijalankan tanpa memerlukan lesen, kedua-dua Fazrul dan Mazeri mengatakan sehingga kini tiada sebarang gangguan daripada pihak berkuasa.

Seorang peniaga minuman Marshila Amir memberitahu MalaysiaNow penguat kuasa DBKL ada datang ke gerainya.

“Selalu, ada juga lori penguat kuasa datang, ingat ke nak ambil barang, tapi nak beli air jagung saya,” katanya.

Mengenai pengumuman pelaksanaan semula PKP di beberapa buah negeri, rata-rata peniaga ini menerima dengan hati terbuka mengambil kira kepentingan dan keselamatan rakyat.

“Tapi, saya harap, pengecualian (lesen) dan benarkan berniaga ini akan berterusan sehingga kami dapat bertahan dan ekonomi pulih,” kata Fazrul.