- Iklan -
Berita

Kemiskinan, masalah negara yang tak pernah selesai

Kerajaan perlu menambah pendapatan dan peluang ekonomi untuk golongan yang kurang bernasib baik, kata pakar.

Amanda Suriya
3 minit bacaan
Kongsi
Kemiskinan merupakan isu yang tidak pernah selesai biarpun di negara maju dan berpendapatan tinggi.
Kemiskinan merupakan isu yang tidak pernah selesai biarpun di negara maju dan berpendapatan tinggi.

Menjelang Belanjawan 2021, dalam tempoh pandemik Covid-19 yang menyebabkan kehidupan ramai keluarga terjejas teruk, kesusahan dialami golongan miskin di Malaysia lebih banyak menimbulkan persoalan berbanding jawapan.

Persoalan utama yang timbul: mengapa masih wujud kemiskinan di sebalik kemajuan yang dicapai negara?

Ada beberapa pakar berpandangan, jika sesebuah negara itu memberi fokus menolong golongan miskinnya sebagai balasan ia akan membantu pertumbuhan.

Tidak kurang juga yang berpendapat sekiranya kerajaan menghulurkan bantuan tunai kepada golongan miskin, generasi akan datang perlu menanggung beban kewangan yang digunakan sebelum itu.

Satu lagi pandangan lain merumuskan jika lebih banyak wang tunai diberikan kepada golongan miskin, negara mampu mengelak ketidakstabilan sosio-enokomi pada masa depan, dan golongan kaya perlu dikenakan cukai lebih tinggi untuk membayarnya.

Negara ketika ini masih berkembang, tetapi kadar pertumbuhannya mengalami penurunan.

Pada tahun 1980-an kadar pertumbuhan Malaysia secara purata berada pada 9%, menurun kepada 8% pada dekad berikutnya dan kini sekitar 7%.

Seorang ahli ekonomi Barjoyai Bardai memberitahu MalaysiaNow, “Anda tidak boleh berkembang pada kadar yang tinggi dan pada masa sama mempunyai pengagihan yang setara.

“Kemiskinan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan jika anda sasarkan pertumbuhan yang tinggi. Itu adalah kebenarannya dan perkara sama turut berlaku di negara-negara maju, berpendapatan tinggi: pertumbuhan pesat bermaksud kurang golongan tidak bernasib baik terpinggir.”

Barjoyai, seorang profesor di Universiti Tun Abdul Razak, berkata adalah satu ilusi jika mengatakan kenaikan cukai akan membantu pengagihan pendapatan lebih sama rata.

“Cukai yang pertamanya untuk meningkatkan pendapatan,” jelasnya. “Dan ia harus berlandaskan kepada kemampuan pembayar cukai, yang bermaksud golongan kaya sepatutnya perlu membayar lebih. Tetapi tindakan mengagihkan semula pendapatan dan kekayaan menggunakan kaedah itu bukan jalan terbaik.”

Katanya pungutan cukai adalah punca masalah, dan bukan kaedah pengagihan kekayaan itu.

Pada tahun 1980-an kadar pertumbuhan Malaysia secara purata berada pada 9%, menurun kepada 8% pada dekad berikutnya dan kini sekitar 7%.

Sistem cukai progresif di Malaysia direka untuk golongan kaya membayar cukai lebih tinggi daripada yang miskin, namun itu bukan realiti yang berlaku, kata Barjoyai, sebaliknya kelemahan sistem dan mekanisme digunapakai menyebabkan golongan berpendapatan tinggi dan organisasi membayar cukai lebih rendah daripada sepatutnya.

Barjoyai menjelaskan ada beberapa organisasi berpendapatan tinggi yang memonopoli mampu mengalihkan bebanan cukai tersebut kepada pengguna, yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

Wujud juga risiko mengenakan cukai yang tinggi kepada individu dan organisasi yang kaya akan menyebabkan aliran modal keluar ke luar negara, kata felow kanan ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng kepada MalaysiaNow.

“Banyak negara berlumba untuk kekayaan, disebabkan itu kerajaan enggan mengenakan kadar cukai terlalu tinggi kepada golongan kaya, kerana akan menjadi penyebab peningkatan aliran modal negara melepasi sempadan,” katanya.

“Tambahan pula, cukai yang rendah menarik minat pelabur antarabangsa.”

Beliau menambah negara berpendapatan sederhana seperti Malaysia, kemiskinan disebabkan oleh masalah pendapatan tidak sama rata dan jurang kekayaaan.

“Menjadi peranan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan menyediakan peluang ekonomi kepada golongan kurang bernasib baik. Kelemahan itu menjadi punca golongan miskin bandar menerima kadar upah rendah, peluang menjana pendapatan terhad dan kelemahan pendidikan.”

Tambahnya tahap latihan kemahiran rendah bermaksud golongan miskin hanya mampu bekerja mengikut kebolehan terhad itu, akhirnya terpaksa bersaing dengan pekerja asing yang upahnya lebih murah.

“Cabarannya di sini adalah untuk menjadikan kumpulan berpendapatan rendah kepada pekerja berkemahiran tinggi dengan kadar upah lebih tinggi,” katanya. “Ia tidak membantu industri berorientasi buruh, peluang kerja itu memberi fokus kepada pekerjaan berkemahiraan rendah dan sederhana.

“Disebabkan industri negara gagal meningkatkan rantaian nilai, kita akan terus melihat sebilangan besar tenaga kerja kekal berada pada pekerjaaan separuh mahir dengan upah rendah dan formula gaji kecil serta kenaikan kos sara hidup, jawapannya adalah kemiskinan.”

Jalan penyelesaian yang dicadangkan Yeah, adalah dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan upah lebih baik.

Selain itu perbanyakkan latihan kemahiran serta pendidikan untuk golongan berpendapatan rendah.