Monday, July 4, 2022

Lagi peguam jadi sasaran di Singapura

Peguam negara Singapura menuduh Charles Yeo mengkritik sistem keadilan republik itu di media sosial.

Other News

Peguam negara Singapura menyasarkan seorang lagi peguam di republik itu dalam siri tindakan undang-undang menyasarkan mereka yang terlibat dalam pembelaan banduan bilik akhir warga Malaysia dengan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah komital terhadap Charles Yeo.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat MalaysiaNow, peguam negara mendakwa Yeo mengkritik sistem keadilan Singapura dalam hantaran akaun aplikasi Instagram.

Prosiding itu dimulakan berikutan kritikannya terhadap keputusan mahkamah yang memihak kepada seorang peguam kanan yang dituduh silap dalam mengurus wasiat perdana menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Peguam Kwa Kim Li, dituduh oleh dua anak mendiang gagal melaksanakan wasiat bapa mereka.

Lee Hsien Yang dan Lee Wei Ling yang merupakan adik kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut menuduh Kwa membocorkan perkara sulit dalam wasiat itu dengan menghantar rekod komunikasi kepada abang mereka.

Bagaimanapun, aduan mereka ditolak pada Mac oleh badan peguam tertinggi di Singapura, Persatuan Undang-Undang, di mana keputusan itu turut dipakai oleh Mahkamah Rayuan.

Yeo menjadi sasaran terbaru tindakan peguam negara yang disifatkan oleh pengkritik sebagai satu intimidasi terhadap peguam yang mencabar pendirian kerajaan berkait hukuman mati di negara itu.

Singapura menjalankan beberapa pelaksaanaan hukuman mati dalam beberapa minggu kebelakangan ini walaupun ia mengundang kecaman antarabangsa.

Pengkritik menyatakan kebimbangan berhubung undang-undang keras Singapura tersebut di mana ia dilihat sering tertumpu kepada keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin sementara dalang sebenar yang mengupah mereka kekal bebas.

Awal tahun ini, Yeo mewakili dua lelaki kurang upaya (OKU) mental; warga Singapura Roslan Bakar dan warga Malaysia Pausi Jefridin dalam usaha menghentikan hukuman mati ke atas mereka atas sabitan kesalahan dadah.

Disebabkan permohonan Yeo, Presiden Singapura Halimah Yacob memberi kelonggaran kepada dua banduan bilik akhir itu dengan mengeluarkan perintah tangguh pelaksanaan hukuman gantung terhadap meeka.

Sejak itu, Yeo menerima tindakan mahkamah di mana beliau dituntut membayar kos punitif oleh peguam negara berjumlah S$35,000.

Rakan peguamnya, Violet Netto dan M Ravi turut menjadi sasaran pihak berkuasa.

Violet kini disiasat polis atas tuduhan memberikan khidmatnya tanpa sijil amalan guaman yang sah.

Sementara Ravi pula terpaksa berdepan tujuh siasatan tatatertib profesional yang boleh menyebabkan beliau didenda, digantung atau digugurkan daripada tugas guaman.

Beliau turut berdepan tiga prosiding menghina mahkamah dan disiasat pihak polis.

Violet dan Ravi mewakili seorang banduan bilik akhir OKU, Nagaenthran K Dharmalingam yang menjalani hukuman mati pada 27 April lalu walaupun mendapat bantahan antarabangsa.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles