- Iklan -
Luar Sana

Polis Singapura sah tahan pengasas bersama Three Arrows Capital, Su Zhu

Three Arrows Capital ialah salah satu firma mata wang kripto berprofil tinggi pertama yang runtuh pada 2022, memfailkan muflis selepas dilanda penjualan mendadak dalam pasaran mata wang digital itu.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Bitcoins dilihat dalam gambar ilustrasi yang diambil pada 27 September 2017. Gambar: Reuters
Bitcoins dilihat dalam gambar ilustrasi yang diambil pada 27 September 2017. Gambar: Reuters

Polis Singapura tampil mengesahkan penahanan Su Zhu, salah seorang pengasas dana lindung nilai kripto yang muflis, Three Arrows Capital. 

Minggu lalu, penyelesai hutang syarikat, Teneo, berkata bahawa Zhu "diberkas" pada 29 September di Lapangan Terbang Changi di Singapura. 

Menjawab pertanyaan Reuters mengenai laporan itu, polis Singapura semalam mengesahkan penahanan seorang "lelaki berusia 36 tahun" pada 29 September lalu. 

Polis tidak mengenal pasti lelaki yang ditahan itu atau menjelaskan secara terperinci dalam respons kepada Reuters. 

Three Arrows Capital ialah salah satu firma mata wang kripto berprofil tinggi pertama yang runtuh pada 2022, memfailkan muflis selepas dilanda penjualan mendadak dalam pasaran mata wang digital itu.

Zhu dijatuhi hukuman empat bulan penjara mengikut perintah tangkap selepas dia tidak bekerjasama dengan siasatan ke atas Three Arrows Capital, menurut Teneo dan dokumen yang dilihat oleh Reuters.

Sebuah firma guaman yang mewakili Zhu dan wakil pengasas bersama Three Arrows, Kyle Davies tidak segera menjawab permintaan untuk ulasan. 

Dalam wawancara pada November 2022, Davies menolak dakwaan Teneo bahawa dia dan Zhu tidak bekerjasama dengan proses pembubaran. 

"Kami telah bekerjasama semasa proses itu berjalan," kata Davies kepada CNBC.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.