- Iklan -
Berita

MalaysiaNow diharamkan masuk grup WhatsApp maklumat pilihan raya kerajaan Selangor

Ia tindakan terbaru dalam siri kekangan terhadap media.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Portal MalaysiaNow dilarang menyertai sebuah grup WhatsApp kelolaan Jabatan Penerangan (JaPen) Selangor, dalam apa yang dilihat sebagai halangan terbaru terhadap kebebasan media di negara ini.

Grup "Pusat Media Maya" (PMM) itu diwujudkan ketika Pilihan Raya Negeri Selangor tahun lepas, sebagai saluran rasmi untuk menyampaikan maklumat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya kepada pengamal media, selain berkongsi jadual pergerakan calon-calon terlibat.

Grup itu, disertai lebih 300 pengamal media, kini digunakan untuk menyebarkan maklumat mengenai Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.

Bagaimanapun, permintaan untuk memasukkan dua kakitangan MalaysiaNow, seorang wartawan dan seorang jurugambar - kedua-duanya memiliki kad perakuan rasmi media dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia - ditolak tanpa sebarang alasan.

Ketika dihubungi, seorang pengendali grup tersebut mengesahkan MalaysiaNow tidak dibenarkan menyertai grup berkenaan.

"Benar. Pengarah bahagian media kami di ibu pejabat yang tak bagi sertai (grup) itu," katanya.

"Maafkan saya ya... ikut arahan sahaja."

Ketika ditanya alasan melarang MalaysiaNow, beliau menjawab: "Entahlah, saya pun tak pasti. Ada kad media tak?"

Ia berlaku di sebalik pelbagai halangan dikenakan terhadap wartawan dan portal berita oleh JaPen, badan di bawah Kementerian Komunikasi yang mengeluarkan kad perakuan media.

Pada Mac, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menuduh kononnya terdapat wartawan yang menyalahgunakan pas media mereka.

Fahmi juga mengancam akan menggunakan kuasanya untuk membatalkan akreditasi media mana-mana wartawan atau badan media.

MalaysiaNow difahamkan, akreditasi media sebuah lagi portal berita, TV Pertiwi turut ditarik balik JaPen pada awal tahun ini. Laman web portal itu sebelum ini disekat SKMM selepas akaun TikTok media itu dipadamkan.

November lalu, kad media Harakah turut dibatalkan selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan rasa kurang senang dengan sebuah laporan akhbar rasmi PAS itu.