- Iklan -
Berita

Bekas pegawai bank Goldman, Roger Ng akan dikembalikan ke Malaysia dalam kes 1MDB

Ng bagaimanapun dikehendaki kembali ke AS untuk menjalani hukuman penjaranya, kata pendakwa raya dalam surat awal kepada hakim.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng dan peguamnya Marc Agnifilo meninggalkan mahkamah persekutuan di New York, 6 Mei 2019. Gambar: Reuters
Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng dan peguamnya Marc Agnifilo meninggalkan mahkamah persekutuan di New York, 6 Mei 2019. Gambar: Reuters

Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun selepas disabitkan di New York kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana kekayaan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan diserahkan ke negara itu, bagi pertuduhan berkaitan.

Ketua Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS) Margo Brodie di Brooklyn semalam mengarahkan Ng menyerah diri kepada Perkhidmatan Marsyal AS hari ini supaya dia boleh diserahkan kepada penguat kuasa undang-undang Malaysia, yang akan membawanya ke sini. 

Ng bagaimanapun dikehendaki kembali ke AS untuk menjalani hukuman penjaranya, kata pendakwa dalam surat awal kepada Brodie. 

Menurut surat itu, peguam Ng bersetuju dengan jadual yang dicadangkan. 

Reuters cuba mendapatkan maklum balas daripada peguam Ng namun tidak berjaya.

Tarikh penyerahan Ng sebelum ini telah ditangguhkan dari 6 September, selepas pendakwa raya AS berkata mereka memerlukan lebih banyak masa untuk berkomunikasi dengan Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum membenarkan dia dibicarakan di sana.

Sehari sebelum itu, bank pusat Singapura mengeluarkan perintah larangan seumur hidup kepada Ng, juga dikenali sebagai Ng Chong Hwa.

Menurut bank pusat republik itu "salah laku teruknya" menjadikannya "bercanggah dengan kepentingan awam untuk membenarkannya menjalankan perniagaan sebagai wakil". 

Kes itu berpunca daripada kira-kira AS$6.5 bilion (RM30.73 bilion) bon Goldman membantu 1MDB menjual pada 2012 dan 2013. 

Pendakwa raya AS berkata pegawai, pegawai bank dan sekutu mereka menggelapkan kira-kira AS$4.5 bilion daripada jumlah itu. 

Ng ialah warganegara Malaysia dan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia. 

Brodie menjatuhkan hukuman kepada Ng pada Mac, 11 bulan selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas bos Goldman, Tim Leissner menggelapkan wang daripada 1MDB, melakukan pengubahan wang haram, dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

Hukuman terhadap Leissner yang tertangguh kini dijadualkan pada 19 Mac 2024. 

Jho Low, seorang dalang utama skim itu, turut didakwa tetapi masih bebas. 

Pada Oktober 2020, Goldman dan pihak berkuasa bersetuju membayar AS$2.9 bilion dan meminta unit Malaysianya mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah. 

Ng telah ditangkap di Malaysia pada November 2018, dan bersetuju untuk diekstradisi ke AS.