Wednesday, June 29, 2022

Kini, Singapura siasat peguam Nagaenthran ketika kecaman berhubung intimidasi terhadap peguam memuncak

Peguam terkemuka Violet Netto dituduh memberikan khidmat guaman ketika sijil amalan guamannya tamat tempoh.

Other News

Peguam terkemuka Singapura yang aktif memberikan khidmat guaman kepada banduan bilik akhir atas kesalahan dadah di republik itu termasuk Nagaentran K Dharmalingam kini disiasat pihak berkuasa, ketika ramai pengkritik menyelar pihak berkuasa atas tindakan keras terhadap peguam yang mencabar naratif mengenai hukuman mati di negara itu yang menarik perhatian antarabangsa.

Polis Singapura berkata pihaknya memulakan siasatan selepas menerima laporan pada 27 April terhadap wanita yang dikenal pasti adalah Violet Netto oleh The Straits Times.

Menurut laporan itu, Violet dituduh bertindak sebagai peguam bela dan peguam cara tanpa sijil yang sah sebanyak sekurang-kurangnya tiga kali.

Bagaimanapun, Violet, 78, enggan mengulas tuduhan ke atas beliau tersebut, mengatakan siasatan mengenainya sedang dijalankan.

Peguam yang disabitkan bersalah memberikan khidmat guaman tanpa sijil sah boleh dikenakan denda sehingga S$25,000, penjara maksimum setahun, atau kedua-duanya sekali.

Isu tersebut timbul ketika ramai pengkritik mengecam beberapa tindakan disiplin dan menghina mahkamah terhadap seorang lagi peguam M Ravi, yang merupakan peguam hak asasi yang lantang mengkritik hukuman mati di Singapura selain turut aktif mewakili banduan bilik akhir.

Ravi berdepan tujuh siasatan tatatertib yang berasingan di mana ia boleh menyebabkan beliau didenda, digantung atau digugurkan sebagai peguam.

Selain itu, beliau juga berdepan tiga prosiding menghina mahkamah dan beberapa siasatan polis.

Pihak berkuasa turut melarangnya melakukan perjalanan ke Malaysia walaupun beberapa kali membuat rayuan.

Violet adalah sebahagian daripada pasukan peguam yang mewakili Nagaentran dalam usaha mengelak hukuman mati yang dijatuhkan kepadanya pada 2010 kerana mengedar sejumlah kecil heroin ke Singapura.

Peguam dan kumpulan hak asasi manusia berkata kes Nagaenthran menunjukkan wujudnya satu corak hukuman mati dijalankan terhadap pesalah daripada keluarga miskin yang terpaksa menjadi keldai dadah sementara sebahagian besar dalang yang mengupah mereka terlepas daripada undang-undang kejam Singapura berkait kesalahan dadah.

Nasib Nagaenthran mendapat perhatian antarabangsa termasuk taikun syarikat penerbangan Britiain Richard Branson ekoran keadaannya yang didiagnosis sebagai orang kurang upaya mental kerana mempunyai skor IQ sebanyak 69.

Hal ini menyebabkan pelaksanaan hukuman mati keatasnya dianggap tidak sah di bawah undang-undang Singapura selain turut melanggar perjanjian antarabangsa.

Dia dihukum gantung pada 27 April walaupun ibunya, Panchalai Supermaniam hadir sendiri ke mahkamah bagi percubaan terakhir menyelamatkan Nagaenthran selepas tidak berjaya mendapatkan khidmat peguam.

Violet juga turut mewakili warga Singapura Roslan Bakar dan seorang lagi warga Malaysia, Pausi Jefridin, dua banduan OKU mental yang turut dijatuhkan hukuman mati di negara itu.

Roslan dan Pausi gagal dalam rayuan mereka pada 16 Mac, di mana hakim Mahkamah Tinggi berkata tiada hujah baru dikemukakan yang berbeza daripada proses rayuan terdahulu selain turut menuduh mereka menyalahgunakan proses mahkamah.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles