- Iklan -
Berita

PH, PN masih impikan sokongan selain pengikut tegar menjelang PRK Kuala Kubu Baharu

PH dan PN menampilkan komponen mereka yang paling lemah - Amanah dan Gerakan - untuk masing-masing meraih undi Melayu dan bukan Melayu.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan cuba meraih sokongan komuniti yang selama ini menolak mereka.
Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan cuba meraih sokongan komuniti yang selama ini menolak mereka.

Walaupun Perikatan Nasional (PN) masih kekal popular di kalangan pengundi Melayu selepas lebih setahun terlepas peluang memimpin kerajaan persekutuan, gabungan itu masih mengharapkan sokongan bukan Melayu kerana dilihat sebagai kunci kemenangan di kerusi di mana pengundi Melayu tidak membentuk majoriti yang besar.

Ini termasuk di kerusi negeri Kuala Kubu Baharu, di mana PN akan berdepan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil yang menyaksikan Melayu membentuk sekitar 47% pengundi.

Malah, PN yang kerap dilabelkan sebagai parti "Melayu berhaluan kanan" yang ditolak masyarakat bukan Melayu, mengakui kumpulan itu "amat-amat diperlukan".

Pada PRK Kuala Kubu Baharu, PN akan menumpukan kawasan Melayu seperti Bandar Utama Batang Kali, Ampang Pecah dan Batu 30. 

"Tetapi kami tidak akan meninggalkan 18% pengundi India dan 33% pengundi Cina," kata Timbalan Pengarah Pilihan Raya PN untuk PRK itu, Hasnizan Mohd Harun.

"Secara tidak langsung kami mahu menguji tahap sokongan bukan Melayu kepada PN pada PRK ini," kata Ahli Parlimen Hulu Selangor itu, yang juga bendahari PAS Selangor, kepada MalaysiaNow. 

Hasnizan berkata walaupun pengundi Melayu merupakan majoriti di Kuala Kubu Baharu, undi Melayu berpecah berbanding undi bukan Melayu yang lebih tertumpu kepada satu blok. 

PN menyasarkan 85% pengundi Melayu untuk keluar pada hari mengundi. Pada PRN lepas, peratusan keluar undi kira-kira 70%.

Komponen lemah cuba tarik undi untuk PN dan PH 

Sementara PN bergelut dengan sokongan bukan Melayu, yang sejak lebih sedekad hanya memilih DAP, PH pula masih dilihat sukar diterima masyarakat Melayu, yang sejak pilihan raya umum lalu dilihat beralih kepada PN.

Di Kuala Kubu Baharu, usaha menarik sokongan Melayu untuk PH menjadi bertambah sukar apabila ia diletakkan di atas bahu Amanah, parti yang sehingga sekarang dilihat masih bergantung kepada pengundi bukan Melayu.

Setakat ini, Amanah sekadar berkata ia mempunyai "strategi" sendiri menarik sokongan Melayu.

"Dengan penggemblengan tenaga semua jentera perpaduan dan trend kedamaian, ketenteraman dan keharmonian yang dibawa Kerajaan Perpaduan, saya yakin masyarakat akan mengekalkan trend ini pada PRK kelak," Dzulkefly Ahmad yang merupakan pengarah strategik Amanah dipetik sebagai berkata.

Jika PH mempunyai komponen Melayu yang lemah seperti Amanah, PN pula mempunyai komponen bukan Melayu yang lemah, iaitu Gerakan.

Sehingga kini, usaha PN menampilkan Gerakan sebagai komponen bukan Melayu gabungan itu masih belum membuahkan hasil.

Penganalisis Oh Ei Sun berkata PN dan PH masing-masing memerlukan "tuah" yang banyak jika mahu mendapatkan kepercayaan segmen pengundi yang cuba disasarkan. 

Bagaimanapun, beliau tidak percaya kaum Cina akan mengundi PN dalam masa terdekat. 

Tetapi menurutnya, ada kemungkinan ramai penyokong PH tidak keluar mengundi untuk "menghukum" gabungan itu.

"Kebanyakan kaum Cina gusar dengan apa yang apa yang mereka anggap sebagai diskriminasi walaupun PH sepatutnya menjadi kerajaan yang reformis," kata Oh.

Pada PRN enam negeri tahun lalu, Gerakan hanya berjaya memenangi sebuah kerusi daripada 36 yang ditandinginya.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebelum ini tidak menafikan PN masih gagal meraih sokongan bukan Melayu.

"Kita harus cari jalan dan ikhtiar supaya bagaimana kita boleh menarik sokongan kaum Cina, India dan lain-lain," kata Muhyiddin pada konvensyen dihadiri wakil-wakil rakyat PN bulan lepas.

PRK Kuala Kubu Baharu, kerusi negeri yang terletak di bawah Hulu Selangor, akan diadakan pada 11 Mei ini susulan kematian penyandangnya dari PH, Lee Kee Hiong.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor bertukar tangan kepada PN pada PRU lepas. Bagaimanapun, PH mampu mengekalkan kemenangannnya di Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 4,119 undi pada PRN 6 negeri yang lalu. 

Aduan kaum Cina

Kekalahan PH di kerusi ini akan memberikan kesan besar kepada gabungan kerajaan itu, di sebalik beberapa isu seperti yang penarikan balik subsidi, kenaikan harga petrol, dan kontroversi berterusan tentang pengampunan diraja untuk Najib Razak.

Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mencuri tumpuan apabila menyebut amalan "feng shui" yang diguna pakai masyarakat Cina ketika menjelaskan kemasukan projek kerajaan bernilai RM5 juta di kawasan itu.

"Bukan semata-mata kerana PRK Kuala Kubu Baharu, kita pilih kawasan ini kerana tempat bertuah. Feng Shui ‘Ong’, ini tempat baik. Lawatan pertama kena tempat bertuah," kata Nga pada 18 April, dalam kenyataan yang disindir Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mempersoalkan apa kurangnya Muar sekiranya "feng shui" menjadi syarat menabur dana.

Menurut Hasnizan, beberapa isu yang menggusarkan kaum Cina di Kuala Kubu Baharu membabitkan hal ekonomi, antaranya peningkatan cukai dan pengenalan e-invoice oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

"Ramai daripada mereka ialah peniaga dan tidak berpuas hati dengan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dari 6% kepada 8%. 

"Peniaga kecil tidak suka kepada e-invoice yang akan dilaksanakan oleh kerajaan beberapa bulan lagi," katanya. 

Tambah Hasnizan, kes lepas tanpa bebas membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi turut membuatkan kaum Cina tidak berpuas hati dengan kerajaan.