- Iklan -
Berita

Singapura digesa henti perdagangan senjata dengan Israel

Antara 2018 dan 2022, Singapura membeli senjata bernilai AS$73 juta dari Israel.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Kain rentang digantung sekumpulan aktivis pada 15 April, 2024 bagi menuntut kerajaan Singapura menghentikan perdagangan senjata dengan Israel.
Kain rentang digantung sekumpulan aktivis pada 15 April, 2024 bagi menuntut kerajaan Singapura menghentikan perdagangan senjata dengan Israel.

Sekumpulan aktivis mengadakan bantahan aman di Singapura semalam untuk menyeru kerajaan mereka menghentikan perdagangan senjata dengan Israel.

Ia diadakan sempena bantahan sedunia oleh kumpulanb A15 Action, yang berkempen untuk menamatkan apa-apa penglibatan yang boleh menjadikan sesebuah negara terpalit dengan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Dalam satu kenyataan kepada MalaysiaNow, kumpulan itu menyeru Singapura untuk membuktikan ia tidak memainkan apa-apa peranan dalam pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza, walaupun kerajaannya melahirkan simpati terhadap rakyat Palestin termasuk melalui bantuan kemanusiaan.

"Tindakan kemanusiaan sebegini akan terjejas dan tidak bermakna sekiranya Singapura terus membenarkan keganasan yang sememangnya menjadi punca bantuan kemanusiaan diperlukan," kata kenyataan itu.

Kumpulan itu menggesa pentadbiran Singapura yang bakal diterajui Lawrence Wong, menggantikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong bulan depan, untuk menghentikan sebarang aktiviti perdagangan senjata dengan Israel.

"Kami tidak mahu negara kami menyumbang wang terhadap penderitaan rakyat (Palestin) yang tidak bersalah. Rakyat Singapura telah menggunakan semua cara yang mungkin untuk didengari oleh kerajaan," katanya.

Singapura merupakan antara sebilangan kecil negara yang mempunyai hubungan ketenteraan dan diplomatik yang rapat dengan Israel.

Sistem pertahanan Singapura, yang berjiran dengan Indonesia dan Malaysia yang lantang menentang Israel, kerap disifatkan sebagai diinspirasikan Israel, termasuk mewajibkan latihan ketenteraan untuk rakyatnya.

Sejak serangan Oktober lalu, kerajaan Singapura mengkritik kempen pengeboman Israel di Gaza, pada masa sama mempertahankan "hak Israel".

Kempen pengeboman Israel setakat ini membunuh lebih 30,000 orang awam, menyebabkan rejim Zionis itu kini berdepan pelbagai tuduhan pembunuhan beramai-ramai di peringkat pengadilan antarabangsa.

Pada November lalu, Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan berkata Israel mesti menerima sebuah negara Palestin, dan rakyat Palestin pula harus mengiktiraf kewujudan negara Yahudi itu.

Pada Februari, Balakrishnan mengkritik kempen ketenteraan Israel dengan berkata ia "sudah melampau".

"Malapetaka di Gaza menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera untuk meringankan penderitaan tak terkata dialami orang awam dan membolehkan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka dengan segera."

Peranan dalam pembunuhan beramai-ramai

Bagaimanapun, A15 mempersoalkan kerajaan Singapura kerana meneruskan hubungan pertahanan dan perdagangan senjata dengan Israel.

"Selama bertahun-tahun, Singapura menjadi pemboleh melalui penjualan senjata, kerjasama industri pertahanan dan hubungan dua hala yang terjalin lama," katanya.

Antara 2018 dan 2022, Singapura mengimport senjata bernilai AS$73 juta dari Israel, katanya.

"Walaupun sebuah negara kecil, Singapura merupakan pengguna industri pertahanan Israel yang ke-10 terbesar; ia membeli peluru berpandu, dron, kereta kebal dan peranti elektronik lain yang dipasang pada jet pejuang dan kapal perangnya daripada pengeluar senjata Israel seperti IAI dan Elbit.

"Kerajaan kami memilih untuk melabur dalam penyelidikan bersama entiti Israel, dan Singapura telah terlibat dalam usaha sama untuk membangunkan dan memasarkan senjata seperti peluru berpandu - sebahagian daripadanya, seperti Matador, digunakan oleh tentera Israel di Gaza"

Tahun ini, pengeluar senjata Israel mengambil bahagian dalam Singapore Airshow dengan mempamerkan senjata sama yang kini dihalakan ke arah rakyat Palestin.

"Tidak boleh diterima apabila hasil titik peluh rakyat Singapura digunakan untuk membiayai pembunuhan beramai-ramai, dan kami terus menyediakan platform untuk pelaku keganasan tersebut."

Kumpulan A15 turut membantah sekatan ke atas rakyat Singapura yang mahu menyatakan kemarahan terhadap kempen pembunuhan beramai-ramai Israel.

"Rakyat Singapura cuba menganjurkan demonstrasi aman di Hong Lim Park, tetapi diberitahu bahawa pihak berkuasa akan tetap melarang hak kebebasan berhimpun yang sangat terhad ini," katanya, merujuk kepada "Speakers' Corner" yang sebelum ini menyaksikan perhimpunan pembangkang.