- Iklan -
Berita

'Roket' ganti 'keris' undang kemarahan Umno

Laporan polis dibuat Umno Hulu Selangor yang menyatakan tidak senang dengan imej tersebut biarpun DAP kini rakan parti Melayu itu.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Sepasang 'roket' DAP menggantikan keris pada logo Umno, mengundang kemarahan Umno Hulu Selangor walaupun parti itu berkempen untuk calon DAP pada PRK Kuala Kubu Baharu.
Sepasang 'roket' DAP menggantikan keris pada logo Umno, mengundang kemarahan Umno Hulu Selangor walaupun parti itu berkempen untuk calon DAP pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Sebuah sepanduk yang menggambarkan perpaduan antara Umno dan DAP dalam berdepan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu mengundang kemarahan Umno, yang mahu pihak polis mengambil tindakan.

Dalam laporannya, Naib Pengerusi Pemuda Umno Hulu Selangor, Rahimi Saliman Rahimi, mengadu "kurang senang" dengan imej dua keris pada logo Umno digantikan dengan dua roket DAP.

"Pengadu percaya pihak parti PN yang bertanding dalam PRK Kuala Kubu Baharu sengaja dengan niat jahat untuk mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan di kalangan rakyat dan atau pengundi termasuk ahli-ahli parti Umno dan DAP untuk meraih sokongan dalam PRK Kuala Kubu Baharu," katanya dalam laporan yang dilihat MalaysiaNow. 

Tambahnya lagi, pihaknya "merasa tidak senang dan marah dengan naratif yang ditimbulkan" oleh sepanduk tersebut, di samping berkata ia melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Sebelum ini, pimpinan tertinggi Umno menyeru ahli dan penyokongnya untuk membantu calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan, Pang Sock Tao, yang berdepan dengan penyaing utamanya dari PN, Khairul Azhari Saut.

Seruan itu berlawanan dengan pendirian MCA, rakan Umno dalam Barisan Nasional, yang enggan berkempen untuk DAP.

Bagaimanapun, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno perlu turun membantu DAP sebagai membalas budi parti itu yang sebelum ini membantu kempen BN.