- Iklan -
Berita

PH, PN kekalkan sokongan di Kuala Kubu Baharu tetapi timbul persoalan mengenai keyakinan kepada pembangkang

Pilihan calon Melayu dan rasa kurang senang pengundi India masih tidak diterjemahkan kepada undi untuk PN.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Calon PH Pang Sock Tao berjaya mengekalkan majoriti agak selesa dengan menewaskan calon PN di Kuala Kubu Baharu.
Calon PH Pang Sock Tao berjaya mengekalkan majoriti agak selesa dengan menewaskan calon PN di Kuala Kubu Baharu.

Kegagalan Perikatan Nasional (PN) merampas kerusi negeri Kuala Kubu Baharu malam ini menimbulkan persoalan sama ada gabungan itu cukup meyakinkan dalam memainkan peranan sebagai blok pembangkang utama walaupun sokongan kepadanya tidak merosot, kata penganalisis.

Anis Anwar Suhaimi berkata, keputusan itu menunjukkan kepegunan sokongan pengundi dan ketidakmampuan PN untuk menarik sokongan tambahan rakyat, walaupun ia masih berjaya mengekalkan popularitinya di kalangan pengundi.

Anis berkata contoh jelas masalah dihadapi PN boleh dilihat pada keputusan undi awal melibatkan tentera dan polis.

Menurutnya, "garapan PN semakin berkurangan", berbeza dengan pilihan raya umum pada 2022 dan pilihan raya negeri tahun lepas yang memperlihatkan PN menjadi pilihat anggota beruniform.

"Secara tidak langsung, kerajaan telah memiliki rentak untuk membolehkan mereka mengatur gerakkan anggota badan beruniform mengikut hala tuju kerajaan," kata Anis dari badan penyelidik O2 Research Malaysia.

Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, menang dengan majoriti 3,869 selepas mendapat 14,000 undi, menewaskan calon PN, Khairul Azhari Saut yang mendapat 10,131 undi.

Walaupun majoriti kali ini sedikit merosot berbanding pada pilihan raya tahun lepas, iaitu 4,119 undi, ia tetap dianggap kemenangan selesa untuk PH di sebalik pelbagai isu yang meletakkan kerajaan dalam keadaan defensif.

Anis berkata walaupun PN meletakkan calon Melayu, ia tidak cukup untuk menarik tambahan pengundi Melayu. 

Sepanjang kempen dua minggu lalu, PN memainkan isu-isu kos sara hidup, antaranya Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dinaikkan daripada 6% kepada 8% oleh pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Mac lalu.

Namun kata Anis kempen-kempen media sosial yang dibantu pempengaruh sosial tidak dapat membantu kemenangan PN.

"Ini juga memberi indikasi betapa isu nasional sebagai kempen utama yang dibawa oleh PN tidak memadai tanpa mengangkat isu tempatan dan negeri secara setara," katanya.

Sebelum ini, persoalan juga timbul mengenai sokongan masyarakat India kepada PH selepas ramai pemimpin etnik tersebut menyatakan rasa tidak puas hati kepada gabungan berkenaan. Kaum India membentuk 18% pengundi di Kuala Kubu Baharu.

Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre berkata undi protes yang diharapkan PN daripada pengundi India tidak berlaku.

Katanya, PH mengekalkan trend penguasaan mereka daripada undi bukan Melayu.

"Selain pada itu, isu dan naratif dibawa PN kurang bersesuaian untuk pengundi Melayu Selangor dan juga kawasan kerusi bercampur seperti Kuala Kubu Bharu ini."

Hisomuddin berkata jentera Barisan Nasional yang dikerah Umno agak tersusun kali ini dan bekerja keras untuk merebut kembali kepercayaan ahli parti yang hilang pada pilihan raya lepas.

Anis berkata kemenangan PH di Kuala Kubu Baharu itu menunjukkan parti kerajaan berjaya mengekalkan motivasi pengundi mereka.

"Pengundi tegar Umno semasa PRU15 dan PRN berjaya dikekalkan untuk mengundi calon DAP dan pengundi PH juga masih berjaya digerakkan di sebalik prestasi ekonomi negara," katanya.

Pemerhati politik Azizi Safar pula berkata, keputusan di Kuala Kubu Baharu menunjukkan tiada perubahan dalam sokongan kepada PN dan PH sejak PRN lepas.

"Sokongan tidak berubah walaupun ada sedikit penurunan peratusan keluar mengundi. Cuma jelas pada pihak polis yang kini menyokong PH, mungkin kerana janji kerajaan untuk menaikkan gaji."

Azizi berkata di sebalik kekalahan PN itu, keputusan hari ini menunjukkan kerajaan campuran PH-BN masih tidak mampu mengurangkan sokongan PN walaupun setelah 18 bulan memerintah sebagai kerajaan persekutuan dan lapan bulan di Selangor.

"Pengaruh atau sokongan kepada PN masih utuh di Kuala Kubu Bharu dan mungkin juga bagi seluruh Selangor," kata Azizi, yang juga bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang.

Beliau turut menganggap penurunan majoriti dan sokongan selari dengan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah.