- Iklan -
Wacana

PRK Kuala Kubu Baharu: Kemenangan memihak PH?

Isu yang trending dan kecoh di dunia maya seakan terpisah dengan dunia realiti di lapangan.

Hisommudin Bakar
9 minit bacaan
Kongsi
Ilham Centre merumuskan bahawa parti PH diwakili DAP mempunyai sedikit kelebihan untuk mengekalkan kawasan Kuala Kubu Baharu.
Ilham Centre merumuskan bahawa parti PH diwakili DAP mempunyai sedikit kelebihan untuk mengekalkan kawasan Kuala Kubu Baharu.

Menjelang hari akhir kempen, majoriti responden menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ini sengit. Walaupun kempen berlangsung secara tertib dan sambutan pada kempen politik yang suram, peratusan keluar mengundi akan menjadi faktor utama kalah menang dua calon tumpuan dalam pilihan raya kecil ini iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), manakala calon-calon lain sukar mencabar.

Bagi mendalami kesan dan impak terhadap tingkah laku pengundi N6 Kuala Kubu Baharu, pihak Ilham Centre telah melakukan satu kajian secara tatap muka ini menggunakan teknik persampelan rawak berstrata.

Kajian lapangan ini melibatkan 404 responden yang merupakan pengundi berdaftar di sini mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti dengan jumlah nemurator seramai 17 orang sambil dibantu empat orang penyelia.

Data dikumpul menggunakan kaji selidik, observasi dan protokol temu bual separa berstruktur. Data kajian kemudiannya dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik. Ralat kesilapan (margin of error) yang ditentukan ialah 4.85% dengan tahap keyakinan (confidence level) sebanyak 95%.

Pertembungan politik lokaliti sengit, PH punyai sedikit kelebihan

Pada pilihan raya negeri (PRN) pada bulan Ogos 2023 lalu, dengan kehangatan bahang kempen dan suasana lebih rancak itupun hanya mampu mencatatkan 69.25% pengundi yang keluar mengundi.

Ini membayangkan menjadi tugas besar kepada jentera parti untuk memujuk, menggalak dan menggembleng usaha bagi memastikan seramai mungkin pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka. Tidak lain semua usaha ini adalah bertujuan untuk mencatat peratus keluar mengundi yang sama dengan PRN lepas atau lebih baik dari itu.

Tetapi dapatan kajian ini mendapati, peratusan pengundi yang keluar mungkin lebih rendah berbanding PRN ekoran sebahagian besar pengundi luar kawasan tidak pulang mengundi. Faktor cuaca pada hari kejadian juga memainkan peranan pada hari pengundian kelak.

Dengan kata lain, peratusan keluar mengundi akan lebih bergantung kepada pengundi yang berada di dalam kawasan pilihan raya. Fokus dalam menganalisa pihak yang ada kelebihan akan lebih menjurus kepada peratusan keluar mengikut kaum. Malah secara mikro lagi ianya akan membawa kepada persaingan peratus keluar mengundi mengikut lokaliti pusat daerah mengundi (PDM).

Terdapat 16 PDM di dalam kawasan PRK ini. Pada PRN lalu, PH menang disumbangkan melalui penguasaan di 13 PDM daripada keseluruhan PDM yang ada. PN pula hanya menang di 3 PDM sahaja. Menafsir strategi PN kali ini adalah lebih mudah untuk ditebak.

Dengan mengubah calon milik parti Gerakan kepada Bersatu, objektif kemenangan ialah dengan mengekalkan rentak dan pencapaian PRN terutama meraih undi etnik Melayu semaksima mungkin, dan cuba memecah di lokaliti PH menang tipis. Formula ini adalah menafikan magic number 14,862 undi milik PH dalam PRN lepas sebagai kunci kemenangan.

Pendekatan memilih mengekalkan rentak lepas kerana PN juga akur bahawa sukar untuk strategi ini meraih undi etnik Tionghua dengan pendekatan kempen jalur keras mereka.

Keadaan ini telah menjadikan politik lokaliti di kawasan Kuala Kubu Baharu sangat penting. Dalam konteks ini, melihat rekod pencapaian DAP mengikut setiap PDM yang agak konsisten sejak menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) membawa ke PRN 2023 menjadikan parti penyandang ada sedikit kelebihan. Ditambah pula berada dalam dua kerajaan, kerajaan negeri dan persekutuan, menambah beban untuk lawan untuk menafikan kemenangan parti penyandang.

Berbekalkan modal sama PRU dan PRN, PN meneruskan kempen dengan tema kaum dan agama. Namun dalam PRK kali ini kelihatan isu berkenaan sudah menjadi tepu dan sudah sampai ke siling. Kawasan bercampur seumpama Kuala Kubu Baharu ini, kempen jalur keras tidak efektif dan sesuai.

Pengundi Melayu Selangor berbeza dengan pengundi di jajaran majoriti Melayu seperti Kedah, Terengganu atau Kelantan. Kurang cermat dengan asakan naratif perkauman dan agama, dengan harapan pengundi Melayu kekal, tetapi dalam masa yang sama pengundi bukan Melayu makin menjauh.

Kempen PN lebih terarah di PDM majoriti Melayu seperti Bandar Utama Batang Kali (74%), Ampang Pechah (69%), Kampung Air Jernih dan Kerling (54%).

Bagi PH, PDM majoriti Cina iaitu Kampung Baharu Rasa (93%), Kampung Baharu Batang Kali (86%), Kampung Baharu Cina KKB (77%), Hulu Yam Lama (70%), Kampung Baharu Kerling (67%) dan Pekan Rasa (64%) menjadi deposit meyakinkan buat parti PH yang mewakili kerajaan perpaduan.

PDM India hanya dua iaitu di Ladang Nigel Gardner (63%) dan Lembah Beringin (53%). PDM majoriti Orang Asal hanya tertumpu di Pertak (89%).

PDM lainnya meyaksikan komposisi etnik bercampur dan hampir seimbang antara tiga etnik utama di sini.

Pada perspektif lain, PDM marginal yang sengit antara PH dan PN juga menjadi tumpuan dalam merebut sokongan. Titik tumpuan kempen banyak berpusat di Batu 30 Hulu Yam, Kerling, Kampung Air Jernih selain kawasan estet di PDM majoriti India tadi.

Secara umumnya, dengan pola sokongan yang tidak lari jauh dengan PRN, kesuraman suasana sambutan pengundi terhadap kempen, keputusan menjurus ke arah status quo di kerusi DUN Kuala Kubu Baharu ini.

Penduduk Kuala Kubu Baharu bakal menjalankan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka pada 11 Mei 2024.
Penduduk Kuala Kubu Baharu bakal menjalankan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka pada 11 Mei 2024.

Politik identiti berterusan, naratif garis kaum bentuk polarisasi undi

PRK ini sekali lagi meneruskan momentum politik identiti seperti yang ditunjukkan dengan ketara dalam PRU-15 November 2022 dan PRN 6 negeri Ogos 2023.

Walaupun pelbagai isu berbangkit sepanjang kempen seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kemudahan infrastruktur dan sebagainya, namun kecenderungan pengundian masih terikat dengan polarisasi kaum.

Pengundi etnik Melayu secara majoritinya mempamer sokongan kepada PN walaupun dalam masa sama mereka memberi kredit tinggi terhadap prestasi kerajaan Selangor (74% tahap kepuasan), prestasi Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai MB Selangor (70.8% tahap kepuasan), serta prestasi mendiang Adun Kuala Kubu Baharu daripada DAP sebelum ini (63% tahap kepuasan). Sokongan kepada PN majoritinya kerana sentimen "ethnoreligious", dengan dakwaan PN lebih beridentitikan Melayu-Islam.

Hanya segelintir pengundi Melayu yang mempamerkan sokongan kepada PH. Mereka berbeza pandangan dengan kelompok majoriti kerana mendakwa realiti politik negara perlu rentas etnik dan berkongsi kuasa mengikut demografi masyarakat majmuk Malaysia.

Mereka juga berhujah sejak sekian lama wakil rakyat Parlimen Hulu Selangor dan DUN-DUN dalam kawasan parlimen tersebut adalah daripada pelbagai bangsa, isu tersebut tidak pernah berbangkit sebelum ini.

Bagi pengundi etnik Cina, majoriti mempamerkan kecenderungan untuk memberi undi kepada PH. Walaupun ada beberapa isu yang menunjukkan mereka tidak berpuas hati terhadap kerajaan perpaduan seperti polisi cukai, pelarasan subsidi, harga barang dan sebagainya, namun mereka tidak mempunyai pilihan lain untuk tidak menyokong PH.

Ketidakpuasan hati mereka kepada PH tidak menunjukkan tanda-tanda mereka akan beralih sokongan kepada PN. Ini disebabkan faktor penolakan daripada PN tersebut lebih besar berbanding faktor tidak selesa dengan PH dan kerajaan perpaduan.

Mereka mendakwa pendekatan PN keras dan tidak lunak kepada komuniti Cina, banyak isu menyebabkan mereka menjarakkan diri daripada PN antaranya singgungan PAS terhadap sekolah vernakular.

PAS tidak ghairah berkempen, Umno mula menemui rentak

PRK di Kuala Kubu Baharu ini menyaksikan PAS tidak memobilisasi jentera mereka secara bersungguh-sungguh. Ini kerana pada hakikatnya, jentera PAS lah yang menjadi tunjang dan tulang belakang kepada PN.

Kali ini tidak nampak kelibat jentera PAS dari negeri-negeri lain selain Selangor berkubu di setiap PDM. Penyertaan PAS Selangor juga tidak agresif, menyumbang kepada suasana sebegini rupa.

Prestasi tiga wakil rakyat iaitu ahli parlimen, Adun Hulu Bernam dan Adun Batang Kali sudah menjadi pertikaian atas khidmat mereka selepas bergelar YB.

Isu YB PN tidak "perform" menjadi topik perbincangan pengundi di sini, tetapi kempen calon lain tidak memanfaatkan isu ini ke khalayak lebih luas.

Bagi jentera BN terutama Umno, kelihatan prestasi jentera kali ini lebih baik berbanding PRN lepas. Seakan menemui rentak dan membawa hujah yang lebih konstruktif meyakinkan pengundi putih mereka untuk penyokong calon PH kali ini.

Pemimpin Umno hanya mengurus ahli mereka agar menerima semangat kerajaan perpaduan dan kelangsungan parti itu dengan kerajaan demi kebaikan masa hadapan.

Sebilangan ahli Umno yang protes dalam pilihan raya lalu mulai kembali menerima hakikat Umno bersama PH. Faktor paling besar ialah mereka tidak mendapat apa-apa kelebihan bersama pembangkang di Selangor serta PN juga tidak menyantuni mereka pasca pilihan raya.

Pengundi India dan Orang Asal jadi rebutan

Menarik untuk PRK kali ini, isu berkait kepentingan dan kebajikan komuniti pengundi India menjadi titik fokus dan tumpuan kempen. Ini kerana walaupun berbekalkan hanya 18%, dalam keadaan majoriti etnik Melayu tersudut kepada PN, majoriti etnik Cina di pihak PH, maka pola pengundian kaum ini boleh menjadi penentu atau ‘kingmaker’ kemenangan antara parti yang bertanding.

Komuniti Orang Asli suku Temuan beriadah di perkampungan Orang Asli Abdul Razak Kuala Kubu Baharu.
Komuniti Orang Asli suku Temuan beriadah di perkampungan Orang Asli Abdul Razak Kuala Kubu Baharu.

Awal kempen bermula panas kerana muncul pemimpin mewakili komuniti India yang tidak bersama kerajaan muncul sama ada atas bentuk parti, badan bukan kerajaan ataupun kapasiti individu, menggesa pengundi India memboikot PRK atau mengundi calon selain calon PH sebagai isyarat protes.

Ini bagi menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan persekutuan hari ini yang seakan mengabaikan kebajikan masyarakat India. Tiadanya kepimpinan India dalam kabinet juga dipersoalkan.

Minggu pertama diasak, pengundi India seakan terkesan. Dalam kajian lapangan dan pemerhatian di PDM majoriti India, minggu kedua menyaksikan perubahan selepas pihak kerajaan perpaduan melakukan tawaran balas kepada penduduk di sini.

Pengumuman Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyelesaikan isu perumahan yang melibatkan nasib 1,250 ahli keluarga bekas pekerja di lima buah ladang iaitu Ladang Mary, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Bukit Tagar, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Minyak baru-baru ini dilihat menjadi "turning point" malah meredakan keadaan.

Penduduk yang ditawarkan penyelesaian ini nampaknya masih meletak kepercayaan kepada kerajaan sekaligus membayangkan ke mana arah undi mereka pada esok hari.

Bagi komuniti Orang Asal pula, jentera BN kelihatan efektif mendekati segmen pengundi ini. Walaupun wujud ketinggalan dari segi infrastruktur di kawasan perkampungan Orang Asal, tetapi kesetiaan kepada kerajaan tambahan kesukaran pihak lawan menembusi kumpulan ini memberikan sedikit kelebihan buat calon PH.

Dalam aksi meraih undi, politik keketuaan dan tradisi sangat dekat kepada segmen pengundi ini. Peranan Tok Batin masih terus relevan malah mempunyai fungsi yang begitu signifikan dalam menterjemah undi para pemilih.

Rata-rata Tok Batin yang ditemui menyampaikan hasrat siapapun yang dipilih mesti terus mesra, menyantuni dan tidak meminggirkan nasib Orang Asal terutama dalam soal pendidikan dan pembangunan infrastruktur.

Namun, sedikit berbeza dengan anak muda Orang Asal yang mendapat pendedahan. Mereka sedikit berbelah bahagi dalam menyatakan sikap dan undi. Pada mereka, undi mereka tidak terikat dan berpaksi kepada pemimpin setempat lagi.

Berbanding generasi lebih berusia, pengundi dalam kalangan anak muda Melayu lebih ghairah mempamerkan sokongan terhadap PN. Sokongan ini bukan sepenuhnya kerana kempen PN di Kuala Kubu Baharu ini, tetapi berlaku secara organik rentetan momentum sejak PRU-15 dan PRN 6 negeri 2023 lalu.

Kecenderungan ini terbentuk kerana mereka mendakwa kesucian agama Islam dan hak-hak istimewa orang Melayu terancam di bawah kerajaan perpaduan, dalam masa sama mendakwa PN lebih dipercayai untuk memperjuangkan kesucian Islam dan nasib orang Melayu.

Majoriti anak-anak muda ini mendapat input politik melalui media sosial khususnya Tiktok dan sebagainya. Kempen PN menggunakan video pendek dan info-info grafik menerusi media sosial sejak PRU-15 lalu masih melekat dalam minda majoriti anak muda Melayu, inilah antara faktor besar sokongan mereka terhadap PN kukuh sehingga hari ini, khususnya di Kuala Kubu Baharu ini.

Hangat di dunia maya, suram di lapangan

Mengamati perjalanan kempen yang menjadi rukun sesuatu pilihan raya, ternyata kawasan Kuala Kubu Baharu lebih suram berbanding siri-siri PRK pasca PRU-15 yang lain.

Bagi pemerhati politik, perjalanan kempen PRK ini amat membosankan. Kempen fizikal calon menerima sambutan suam-suam kuku daripada pengundi awam. Parti terpaksa mengusung sendiri berbekalkan jentera sendiri bagi tujuan meramaikan majlis.

Sukar melihat himpunan ceramah besar mendapat sambutan penduduk tempatan. Yang ada, pelancong politik yang datang dari luar pada hujung minggu menjadi audiens ceramah politik. Hari biasa, pendukung parti saja yang memenuhi kerusi ceramah.

Pengundi atas pagar termasuk anak muda amat sukar dilihat di lokasi ceramah. Hari-hari kempen berlalu seolah-olah tiada pesta pilihan raya sedang berlangsung. Pengundi menjalani kehidupan seperti hari-hari biasa. Ironinya suasana tampak agak meriah di media sosial.

Ini membenarkan dapatan kajian ini yang mana media sosial kini mengungguli tangga teratas sumber pengundi mengikuti isu pilihan raya iaitu sebanyak 62%.

Televisyen dan radio di tangga kedua pada aras 15%. Jauh sekali jurang media sosial dengan medium informasi yang lain.

Isu yang menjadi trending dan kecoh di dunia maya seakan terpisah dengan dunia realiti di lapangan. Isu kelulusan calon, sekolah vernakular, calon meminjam ah long dan sebagainya ribut sekali di media sosial.

Di luar, isu itu seakan tidak dapat ditanggapi dengan jelas. Walaupun semua maklum, kecoh di dunia media sosial tidak semestinya melibatkan pengundi di kawasan pilihan raya, tetapi gema dan terjahan algoritma mampu membuat penetrasi dan sampai kepada akaun media sosial milik pengundi di kawasan ini.

Perang bendera, poster juga agak terbatas. Hanya calon PH kelihatan lebih menonjol berbanding yang lain. Pendek kata, pesta kali ini tidak semeriah PRN lepas. Isu pada kaca mata pengundi tetap meletakkan peningkatan kos sara hidup sebagai isu utama mereka dengan angka sebanyak 57%.

Lainnya lebih berkait dengan kebajikan (14%), peluang pekerjaan (8%), integriti kepimpinan (8%) dan infrastruktur (7%). Lain-lain seperti reformasi institusi, pendidikan masing-masing berada bawah 5%.

Hakikatnya, perang di dunia maya sudah tentu akan membentuk sikap pengundi di atas kotak undi nanti.

Dengan gabung jalin semua faktor yang dihuraikan di atas, kami merumuskan bahawa parti PH diwakili DAP mempunyai sedikit kelebihan untuk mengekalkan kawasan Kuala Kubu Baharu ini daripada jatuh ke tangan pihak lawan yang meletakkan objektif menawan 4-0 di dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor ini.

Hisommudin Bakar ialah Pengarah Eksekutif, Ilham Centre. Laporan ini disediakan bersama panel penyelidikan Ilham Centre yang turut terdiri daripada Mohd Yusri Ibrahim, Mohd Azlan Zainal dan Mohd Jalaluddin Hashim.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.