- Iklan -
Berita

PM setuju RCI terhadap dakwaan Tommy Thomas, kata Zahid selepas tidak hadir perbicaraan rasuah

Gesaan penubuhan RCI oleh Zahid dilihat menjadi satu lagi usahanya untuk melepaskan diri daripada perbicaraan rasuah dan pengubahan wang yang dihadapi beliau.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan permintaan Umno untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan yang dilakukan bekas peguam negara Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi peguam negara, kehakiman dan keselamatan, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata perkara itu perlu dilakukan kerana semua institusi tersebut adalah benteng dalam mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Umno mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi selepas selesai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam tadi.

Zahid baru-baru ini dikritik hebat pengguna media sosial selepas masuk ke hospital, beberapa hari sebelum perbicaraan kes rasuahnya yang sudah ditangguhkan beberapa kali.

Dalam kenyataan itu Zahid turut berkata, Ismail turut bersetuju kerajaan pimpinannya hari ini bukan lagi bukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kerajaan terus menggunakan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan kerajaan Malaysia serta tidak lagi menggunakan penjenamaan kerajaan Perikatan Nasional.

“Memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara Parti Barisan Nasional (Umno, MCA, MIC dan PBRS), parti Perikatan Nasional (Bersatu, PAS dan Star), GPS dan PBS,” katanya.

Zahid merupakan pemimpin Umno yang giat berkempen untuk menggulingkan Muhyiddin Yassin sehingga bekas perdana menteri itu meletakkan jawatan.

Beliau bersama bekas perdana menteri Najib Razak turut didedahkan MalaysiaNow mendukung Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Kempen mereka untuk menggulingkan Muhyiddin berhasil selepas berjaya mendapatkan lebih 10 orang ahli Parlimen Umno menarik semula sokongan terhadap kerajaan PN dan perdana menteri.

Zahid, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu menteri dalam negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau turut berdepan tujuh lagi pertuduhan rasuah berupa wang tunai dengan pelbagai mata wang SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Berhubung pertuduhan mahkamah ini, MalaysiaNow turut mendedahkan secara eksklusif butiran bagaimana Zahid bertemu Muhyiddin untuk memujuknya campur tangan dalam usaha menggugurkan pertuduhan yang dihadapinya.

RCI yang digesa dilihat sebagai usaha akhir Zahid dan kluster mahkamah dalam Umno untuk menggugurkan kes mereka.

Ia juga dilihat bertujuan untuk menimbulkan keraguan seakan-akan wujud campur tangan politik dalam pendakwaan terhadap kluster mahkamah pada zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kluster mahkamah melibatkan beberapa pemimpin Umno termasuk Najib, Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim, Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin.

Perbicaraan Najib yang sedang berjalan ketika ini, melibatkan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion, selain 21 lagi pertuduhan berhubung kes pengubahan wang melibatkan dana bernilai RM4.3 bilion atau lebih dikenali kes 1MDB-Tanore.

Ahmad pula didakwa gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterimanya dari Najib bagi penyerahan cukai 2013 selain turut didakwa memberikan kenyataan palsu kepada badan pencegahan rasuah negara.

Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette didakwa mnerima rasuah RM2.2 juta daripada agen pelaburan sebagai tukaran pelaburan bernilai RM150 juta oleh Felcra ketika beliau menjadi pengerusi bukan eksekutifnya.

Azeez pula kini sedang merayu kes bagi 13 pertuduhan rasuah melibatkan RM5.2 juta dan pengubahan wang melibatkan kira-kira RM140 juta.

Kluster mahkamah atau digelar “kleptokrat” oleh Muhyiddin adalah punca beliau meletakkan jawatan selepas enggan melayan kehendak mereka untuk campur tangan urusan mahkamah.

Dalam perutusan terakhir beliau sebagai perdana menteri, Muhyiddin berkata beliau tidak akan sesekali bersekongkol dengan kleptokrat yang berusaha untuk menggulingkan beliau.

Malahan Muhyiddin berkata sebelum ini, syarat utama PN menyokong Ismail sebagai perdana menteri ialah kebebasan institusi kehakiman terus dipertahankan.