- Iklan -
Kolum

Kesedaran Melayu 2024

Krisis KK Mart mungkin reda. Tetapi keresahan Bani Melayu Islam tidak akan reda.

Hishamuddin Rais
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Isi dan tema tulisan saya kali ini adalah tentang kesedaran Bani Melayu. 

Dari pemerhatian saya ada fakta dan babak yang sedang berlaku mungkin menjadikan tajuk ini tidak begitu tepat.

Apa yang sahih dan tepat ialah kesedaran Bani Melayu pada tahun 2024 ini amat berbeza dari kesedaran Bani Melayu 1969. 

Pada 1969 kesedaran Melayu lahir bila melihat tanah air mereka mula tergadai. Ini yang menimbulkan kemarahan Bani Melayu. Manifestasinya digambarkan pada Mei 13. 

Mei 13 adalah kesedaran Melayu dalam soal kuasa politik dan kuasa ekonomi.

Tahun 2024 saya perhatikan ada perbezaan yang jelas. 

Kesedaran Melayu 1969 didalangi oleh United Malays National Organisation, parti Bani Melayu yang menjual dasar ketuanan Melayu yang mula hilang kuasa selepas pilihan raya umum.

Kekalahan dalam PRU itu menimbulkan kesedaran. Manifestasinya ialah Mei 13.

Kesedaran ini halimunan. Tidak dapat dilihat. Tidak dapat dipegang. Kesedaran adalah konsep. Justeru kita wajib memahami konsep melalui babak, kejadian dan perlakuan.

Justeru kes KK Mart yang heboh di media sekarang ini pada hemat saya adalah manifestasi kesedaran Bani Melayu. Apa yang dilaporkan oleh media, portal berita atau TikTok tentang kes KK Mart ini hanyalah manifestasi.

Saban hari kita disumbat dengan berita manifestasi KK Mart. Ini bukan satu kesalahan tetapi pada hemat saya melihat, membaca dan membincangkan manifestasi saja tidak mencukupi. Ianya tidak ilmiah dan tidak saintifik untuk memahami kes KK Mart.

Membaca manifestasi tidak berjaya memahami keseluruhan sebab dan musabab. Gagal memahami kenapa terjadi begini dan bukan begitu.

Manifestasi hanya luaran yang mudah digambarkan. Mudah disensasikan. Mudah diguna untuk mengalih pandangan. Mudah melalaikan. Mudah menimbulkan pandangan serong dan salah.

Tuan empunya KK Mart duduk di hadapan sidang media minta maaf. Di sebelah kiri dan kanan ada Minah bertudung dan Mamat Melayu. Tuan pemilik KK Mart minta maaf sambil menangis mengesat air mata.

Ini mengingatkan kepada Neng Yatimah (1924-2016) pelakon air mata tahun 50-an dari Keris Filem Production.

Teater Tuan Empunya KK Mart meraba dada dan menangis ini dihampehkan oleh Bani Melayu.

Ini diikuti dengan bom molotov yang dilempar ke kedai KK Mart. Ini juga adalah manifestasi. 

Bom molotov ini bukan cerita kosong. Kalau bom ini tidak dipadamkan ianya akan membakar bangunan kedai.

Tapi bom ini masih lagi manifestasi walaupun satu Malaysia gempar. Satu Malaysia heboh ditambah pula dengan sidang akhbar ketua polis negara dikelilingi para gedeber dari Bukit Aman.

Ini juga teater. Ini juga manifestasi. Kesedaran Bani Melayu tidak "ambil pot" semua ini.

Jika semua ini teater, kika semua ini manifestasi, apa sebenarnya sedang berlaku?

Manifestasi kali ini adalah sambungan dari apa yang telah berlaku pada 1969. Perhatikan, kedua-dua manifestasi ini berlaku sesudah pilihan raya dijalankan.

Tahun 1969, Bani Melayu melihat Tanah Melayu tergadai pada Bani Cina. Tahun 2024 perkara yang sama berlaku. Kali ini lebih jelas. Kali ini lebih menakutkan.

Selepas PRU15. untuk pertama kalinya perdana menteri Malaysia bukan datang dari parti Melayu yang berteraskan Melayu. Ini bukan bermakna Anwar Ibrahim ini bukan Melayu. 

Dari takrifan, walaupun Anwar sama seperti Mahathir ada darah Mamak, Anwar tetap Melayu. Ini tidak perlu dipertikaikan.

Pada minggu dan bulan pertama sesudah Anwar menjadi PM kita dihebohkan dengan cerita kerajaan baru ini adalah didirikan hasil dari titah Agong.

Bagi saya, kerajaan ini adalah Kerajaan Titah. Disunat dan di-Islamkan dengan slogan Arab yang dipanggil Madani.

Parti majoriti dalam Kerajaan Titah adalah DAP. Ini parti yang dicap sebagai parti Cina walaupun parti ini ada ahli Melayu dan ada YB Melayu. 

Dalam politik parlimen, yang ramai akan menang. DAP dalam Kerajaan Titah memiliki majoriti YB – ertinya lebih ramai YB dari PKR. 

Justeru DAP dilihat dan dihebohkan sebagai lebih berkuasa dari PKR. Inilah latar belakang yang membawa bom molotov ke pintu KK Mart.

Untuk bandingan, mari kita lihat apa yang berlaku di Fiji pada tahun 2000. Krisis muncul bila seorang warga pendatang keturunan India dipilih menjadi perdana menteri. Ini menaikkan kemarahan bumiputera di sana. Soldadu nasionalis Bumiputra Fiji bangun dan merampas kuasa dari pendatang keturunan India.

Ini kesedaran Bani Fiji.

Di Malaysia, rampasan kuasa seperti ini tidak berlaku, tetapi taiko DAP, Lim Kit Siang berkata satu masa nanti Bani Cina boleh jadi perdana menteri.

Semua ini menimbulkan keresahan Bani Melayu. Ditambah pula dengan kes Kampung Baru Cina jadi warisan, sup tulang babi jadi makanan warisan, dan cadangan sosok bukan Islam dijemput hadir  dalam jawatankuasa mengenai Islam.

Bani Melayu terus merasakan tanah air mereka akan dirampas oleh pendatang sama seperti yang berlaku di Fiji.

Justeru dalam kes "stokin Allah", Bani Melayu merasa agama mereka dihina. Kalimah Allah hanya pencetus. 

Bani Melayu di Malaysia dari segi Perlembagaan diwajibkan menjadi Islam.

Justeru lebih tepat jika saya nyatakan secara hitam putih di sini, tahun 2024 berbeza dari tahun 1969. Tahun 1969 hanya kesedaran Melayu.

Tahun 2024 adalah Kesedaran Melayu Islam. Ada penambahan "Islam".

Kesedaran Melayu Islam inilah yang menjadi asas kemarahan Bani Melayu terhadap KK Mart. Stokin dengan kalimah Allah itu yang penyebab. Jika bukan stokin itu, pasti ada perkara lain yang akan menimbulkan kemarahan Bani Melayu.

Cakap-cakap dan kempen hidup harmoni dan berbilang kaum ini semua dihampehkan oleh kesedaran Bani Melayu.

Bani Melayu Islam terus tidak puas hati dengan apa yang berlaku sekarang.

Sekali imbas kita lihat bagaimana Ketua Pemuda United Malays National Organisation secara jelas melancarkan kempen boikot KK Mart. 

Adalah tepat dan benar isu KK Mart ini sedang dijadikan agenda untuk memperbaiki kemerosotan parti ketuanan Melayu ini di kalangan Bani Melayu.

Pemimpin parti ini sedang mengambil kesempatan untuk menjadi juara. Ini adalah hasil manifestasi dari Kesedaran Melayu yang telah beralih menjadi Kesedaran Melayu Islam.

Untuk meredakan keadaan, Kerajaan Titah menangkap dan memenjarakan dua sosok yang orang ramai tidak tahu hujung pangkal. Bicara dan penjara tergesa-gesa ini diharapkan akan meredakan keadaan.

Taktik tangkap penjara ini gagal. Kesedaran Melayu Islam makin membara. Bom molotov adalah buktinya.

Tup tup, tetiba kita diberitahu tuan empunya KK Mart akan dihadapkan ke mahkamah. Tetiba kita membaca Tuan Empunya KK Mart telah menyaman kilang pembekal. Tetiba kita terbaca KK Mart ini dalam proses hendak disenaraikan ke dalam Bursa Saham Kuala Lumpur. 

Semua ini adalah manifestasi baru. Ini adalah manifestasi politik dan ekonomi.

Justeru pandangan dan tulisan Karl Marx (1818-1883), ahli falsafah dan pakar ekonomi Jerman, adalah betul. Marx mentakrifkan pertembungan umat manusia ini adalah pertembungan kelas yang wujud hasil dari perebutan punca-punca ekonomi.

Kaum Marxist sedunia mengajukan semua kontradiksi yang berlaku di dunia ini adalah berpunca dari kontradiksi perebutan ekonomi.

Apa sangkut paut KK Mart dan Kesedaran Bani Melayu Islam dengan pandang kaum Marxist?

Ekonomi dan punca kekayaan inilah sebenarnya yang melahirkan semua manifestasi yang kita lihat berlaku dalam dunia ini. Politik di Amerika. Perang di Ukraine. Perang di Gaza. Perang di mana-mana sahaja, puncanya adalah ekonomi.

Kes KK Mart ini adalah manifestasi Kesedaran Bani Melayu Islam bahawa mereka terpinggir di segi ekonomi.

Ekonomi dalam negara ini masih di tangan Bani Cina. Dalam politik kuasa sebenar – kuasa hakiki – kuasa mutlak adalah kuasa ekonomi.

Bani Cina menguasai ekonomi di Tanah Melayu, maka yang berkuasa adalah Bani Cina.

Di belakang semua manifestasi ini adalah perebutan punca-punca ekonomi.

Buktinya, kita mula terbaca kempen BMF – "Buy Muslim First". Kita terbaca berita NGO pengguna Islam. Kita mula diberitahu bahawa kini telah wujud jaringan kedai runcit yang dimiliki oleh Bani Melayu Islam.

Boikot KK Mart – kedai runcit "kapir" – dan beli di kedai runcit Melayu Islam. Ini menjadi latar belakang boikot KK Mart.

Justeru sahih dan sah pandangan kaum Marxist dalam menganalisa apa yang sedang berlaku.

Krisis KK Mart ini mungkin reda. Tetapi keresahan Bani Melayu Islam tidak akan reda. Kesedaran Melayu Islam ini akan terus membara dan merebak.

Apakah ada jalan penyelesaian?

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.