- Iklan -
Berita

Umno pakai isu stokin, DAP bela KK Mart, jurang dua parti terus melebar

Isu stokin 'Allah' adalah yang terbaru meletakkan Umno dan DAP masing-masing di dua kutub berbeza.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Dr Akmal Saleh dilihat sebagai jawapan Umno kepada beberapa watak dalam DAP seperti
Dr Akmal Saleh dilihat sebagai jawapan Umno kepada beberapa watak dalam DAP seperti

Hubungan antara DAP dan Umno yang sememangnya dingin di peringkat akar umbi walaupun berkongsi kuasa, kini bertambah buruk apabila beberapa isu melibatkan retorik perkauman didebatkan secara terbuka, termasuk episod stokin tertera kalimah Allah. 

Selain isu stokin, isu bak kut teh - hidangan Cina yang secara tradisi mengandungi babi - diangkat sebagai warisan negara dan  sekolah vernakular, memaksa DAP and Umno masing-masing kekal di dua kutub yang berbeza.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh seolah-olah menjadi jawapan parti Melayu itu kepada menteri-menteri yang kerap terpalit dengan isu perkauman, seperti pemimpin DAP Nga Kor Ming dan ahli politik Sarawak Tiong King Sing.

Ia mengesahkan anggapan yang percubaan pimpinan kanan Umno, khususnya Ahmad Zahid Hamidi, dalam menggambarkan DAP sebagai "kawan" untuk memastikan parti Melayu itu kekal berkuasa di Putrajaya, hanyalah usaha sia-sia. 

"Saya melihat Umno dan DAP mempunyai perbezaan fundamental dari segi pendekatan ideologinya yang tidak dibincangkan secara mendalam ketika mereka membentuk kerjasama," kata penganalisis Rabi'ah Aminudin dari Universiti Islam Antarabangsa. 

Umno dan DAP, dua parti utama Barisan Nasional dan Pakatan Harapan yang menjadi musuh ketat selama berdekad, bergabung membentuk kerajaan pusat selepas pilihan raya umum dua tahun lalu yang menyaksikan tiada antara tiga gabungan penting mendapat majoriti mudah. 

Sejak itu, memang ada beberapa pergeseran antara panglima Umno yang tidak puas hati dengan DAP.

Bagaimanapun isu stokin "Allah" meletakkan Umno dalam keadaan terhimpit, lebih-lebih lagi Akmal.

Apabila kecoh stokin "Allah" dijumpai dijual di rangkaian KK Mart, Akmal bergegas menjuarai isu itu dengan menyeru umat Islam memboikot kedai rangkaian serbaneka milik usahawan Cina itu.

Syarikat itu berkali-kali meminta maaf dan mengaku cuai kerana tidak memeriksa stokin tersebut, termasuk baru-baru ini selepas pemiliknya menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Kempen Pemuda Umno itu bagaimanapun hambar di sebalik keengganan PAS untuk menggunakan pengaruhnya dalam menyeru boikot. 

Parti Islam itu sebaliknya berkata syarikat itu perlu dihukum menurut undang-undang.

Bagi ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Umno perlu berpaut kepada isu lain supaya parti itu menarik sokongan orang Melayu.

Syed Abu Hussin, wakil rakyat Bersatu yang dilantik mengetuai sebuah jawatankuasa memantau bekalan makanan selepas berpaling tadah menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, memberi contoh masalah industri beras yang menjejaskan syarikat Melayu tetapi tidak mendapat perhatian.

"Sepatutnya Umno perlu menjadi juara dalam isu beras, sebab isu beras tidak ada komplikasi perbezaan pendapat bagi semua orang Melayu. Saya mengajak Akmal bersama-sama memperjuangkan isu beras dan selamatkan industri Melayu," tambahnya.

Biarpun dikritik kawan dan lawan, Akmal terus mempertahankan pendirian kerasnya dalam isu stokin "Allah".

Antara tindakannya ialah memuatnaik gambar memegang pedang di laman sosial dengan pesanan "tidak akan berganjak" dengan pendiriannya. 

"Biar mati berdiri daripada hidup melutut."

Di sebalik kecaman terhadap Akmal oleh pemimpin PH, DAP bangkit mempertahankan KK Mart, malah melancarkan kempen mengajak orang ramai berbelanja di rangakaian kedai itu sebagai tanda solidariti.

Rabi'ah berkata, perbezaan ideologi yang belum selesai antara Umno dan DAP itu akan menjadi penentu sama ada kerjasama politik antara BN dan PH diteruskan untuk apa-apa pilihan raya akan datang.

Menurutnya, wujud polarisasi jelas yang mana Umno cuba mewakili sentimen orang Melayu Islam, manakala DAP mempertahankan perniagaan yang diusahakan oleh kaum Cina.

Pemerhati politik Azizi Safar berkata dalam melawan kempen Pemuda Umno, DAP tiada pilihan melainkan mengambil pendirian tegas. 

"Ini supaya DAP tidak dilihat oleh penyokong-penyokongnya sebagai terlalu akur atau tunduk dengan kemahuan dan tindakan Umno," kata bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang itu. 

Pemerhati politik Melayu Ahmad Atory Hussain berkata pentadbiran Anwar tiada pilihan tetapi berusaha memastikan sokongan orang bukan Melayu kekal.

Katanya, kerajaan Anwar dilihat tidak mampu menguruskan isu-isu perkauman yang melanda negara. 
 
Akmal, menurut Atory, dilihat bersendirian dalam mengangkat "suara orang Melayu" dalam kerajaan.

"Daripada 148 kerusi Parlimen yang sokong Anwar, 73 Islam dan 75 bukan Islam. Jadi bagaimana Akmal nak dapat sokongan?"

Atory juga berkata pendirian Anwar untuk "diam" dalam beberapa isu sensitif boleh menjejaskan reputasi beliau di kalangan pengundi Melayu dan bukan Melayu. 

"Beliau dilihat cuba bertindak seperti berkecuali dan membiarkan isu-isu itu kekal berkeadaan 'status quo' atau pun decisionless (tiada keputusan). Tindakan ini bertujuan untuk menjaga kepentingan politik DAP agar terus menyokong beliau," katanya.