- Iklan -
Berita

Percubaan Zahid hidupkan semula Umno Selangor menerusi lantikan Putrajaya bakal gagal?

Bekas orang kuat parti tidak yakin Umno dapat bangkit semula sama ada di bandar atau luar bandar.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Umno disingkirkan dari Selangor pada pilihan raya negeri lalu, dan parti itu kini tinggal hanya dua kerusi DUN.
Umno disingkirkan dari Selangor pada pilihan raya negeri lalu, dan parti itu kini tinggal hanya dua kerusi DUN.

Tindakan Umno Selangor memulangkan semula jawatan ketua kampung dan menolak peranan dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu mengesahkan realiti yang menyelubungi parti itu sejak kalah teruk dalam dua pilihan raya: ia tiada lagi pengaruh di kawasan kampung dan bandar.

Dua bekas pemimpin Umno berkata ia merupakan pengakuan bahawa parti itu bukan sahaja tidak relevan di kawasan bandar, tetapi juga masih bergelut dalam mendapatkan semula pengaruhnya di kalangan penduduk luar bandar.

Umno Selangor baru-baru ini berkata akan mengosongkan 75 jawatan di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), sebaliknya akan mengisi lantikan pengerusi Komuniti Desa Madani (KDM) yang bakal diwujudkan di setiap kampung.

MPKK, yang diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, dijenamakan semula daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pada 2018, ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah Dr Mahathir Mohamad.

Manakala KDM bakal diwujudkan di setiap kampung oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di bawah Ahmad Zahid Hamidi, yang juga presiden parti tersebut, dengan lantikan terus dari Putrajaya.

Isham Jalil, antara pemimpin Umno yang disingkir sejak ia menjadi rakan kongsi PH, mengingatkan parti itu tentang pengaruhnya yang telah merosot di kawasan luar bandar. 

"Umno di bawah Zahid sedang kehilangan pengaruh di mana-mana, bukan sahaja di kawasan bandar, bahkan sekarang di kawasan luar bandar yang menjadi kubu kuatnya," bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu memberitahu MalaysiaNow.

Beliau mengakui masih ada "yang sukakan Umno".

"Tetapi mereka tidak sukakan Zahid dan orang-orangnya."

Langkah Umno mengosongkan MPKK ini berlaku beberapa bulan selepas keputusannya menolak kira-kira 20 lantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), dengan memberi alasan menghormati dominasi PH di kawasan bandar. 

Bagi pemerhati politik Azizi Safar, ia adalah pengakuan realistik nasib yang menimpa parti itu pada tahun lepas, yang menyaksikan calon Umno hanya menang dua daripada 12 kerusi yang ditandinginya di Selangor. 

"Tindakan Umno Selangor ini boleh ditafsir sebagai satu pengakuan oleh parti itu bahawa ia sudah tidak lagi relevan di kawasan bandar," kata Azizi, bekas setiausaha eksekutif Barisan Nasional Pulau Pinang.

Umno hanya menang 30 kerusi di enam negeri yang mengadakan pilihan raya negeri tahun lalu, sekaligus hilang kerusi yang pernah menjadi kubu kuatnya di sebalik sokongan kuat orang Melayu terhadap PAS dan Bersatu yang menaungi Perikatan Nasional.

Isham berkata tindakan Zahid mewujudkan KDM adalah untuk memberi tempat kepada penyokong-penyokongnya dalam Umno.

Ini membolehkan Zahid, yang menang tipis di Bagan Datuk pada pilihan raya umum lalu, menjamin kemenangannya pada pemilihan Umno 2026, dan terus menerajui parti itu pada PRU16 menerusi kerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP.

"Majoriti orang Melayu tidak menyokong formula Zahid dan Umno akan tewas di kawasan-kawasan Melayu. Umno akan bergantung kepada DAP untuk undi. Dan itu akan menjadi pengakhiran kepada Umno," katanya.

Azizi berkata tindakan menubuhkan KDM sebagai satu lagi struktur kuasa lain di kawasan kampung memberi isyarat bahawa "perpaduan" antara PH dan BN di peringkat persekutuan tidak wujud di peringkat akar umbi dan negeri.

Beliau menjangkakan konflik dan pertembungan berlaku antara MPKK dan KDM pada masa depan.

"Bolehkah kedua-dua badan ini saling melengkapi antara satu sama lain, atau kedua-dua akan bersaing hebat dalam merebut dan membina sokongan rakyat kepada parti masing-masing?" Ini tidak baik untuk kerajaan Madani," kata Azizi.

Sementara itu, bekas ahli majlis di Petaling Jaya, Mak Khuin Weng berkata, kawasan-kawasan bandar dipengaruhi oleh persatuan penduduk dan komuniti yang berbeza mempunyai struktur kuasa berbeza dengan kawasan kampung. 

"Sama ada Umno telah melepaskan pengaruh di bandar bergantung kepada betapa kuatnya pengaruh mereka dalam organisasi-organisasi ini. 

"Kuasa di bandar juga tertumpu kepada PBT yang berada di bawah PH. Satu-satunya cara PH boleh kehilangan kuasa di bandar ialah jika mereka gagal buat kerja. Umno tidak boleh mencabar mereka pada ketika ini," kata bekas calon bebas di kerusi DUN Bukit Gasing itu.

Umno kali terakhir berkuasa di Selangor pada 2008, ketika ia tumbang kepada Pakatan Rakyat, iaitu kerjasama politik longgar antara PKR, DAP dan PAS.