- Iklan -
Berita

Anwar mula bercakap tentang ‘kerajaan perpaduan’, ‘persefahaman baru’ supaya Zahid diterima PH

Presiden PKR perlu memujuk ahli Parlimen Pakatan Harapan ia adalah cara untuk melawan pandemik Covid-19.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.
Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sedang menggiatkan usaha menubuhkan apa yang disebut sebagai “kerajaan perpaduan” dan “persefahaman baru” dengan harapan dapat menenangkan kemarahan yang meluap dalam kalangan gabungannya berhubung kerjasama dengan sekumpulan ahli Parlimen yang bersekutu dengan bekas pemimpin Umno Najib Razak, kata seorang pemimpin utama PKR kepada MalaysiaNow.

Difahamkan, pasukan komunikasi dalam PKR digesa mempertingkatkan kempen media untuk menonjolkan keperluan untuk melihat keadaan ketika ini menjangkaui “skandal dan salahguna kuasa” dalam usaha menjalin kerjasama dengan ahli politik yang dianggap musuh oleh gabungan PH.

Setelah sesi mengadap di Istana Negara bersama pemimpin-pemimpin parti politik yang lain, Anwar tampil hari ini mengatakan Yang di-Pertuan Agong menasihatkan untuk mengadakan “persefahaman baru” supaya semua parti politik bekerjasama dalam usaha melawan pandemik Covid-19.

Namun sumber tersebut berkata penekanan presiden PKR itu terhadap sebahagian daripada apa yang dikatakan Agong adalah tidak mengejutkan.

“Matlamat utama adalah untuk pujuk mereka yang menentang kumpulan kleptokrat bahawa ini cara untuk maju ke depan, menggunakan istilah-istilah seperti ‘kerajaan perpaduan’ dan ‘persefahaman baru’,” kata sumber yang turut memegang jawatan dalam PKR itu kepada MalaysiaNow.

Istilah “kleptokrat” merujuk sekumpulan pemimpin Umno yang kini berdepan pelbagai pertuduhan rasuah diketuai Najib, bersama-sama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam menjalankan usaha menekan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sehingga meletakkan jawatan minggu ini.

Najib dan Zahid, yang kini berdepan ratusan pertuduhan rasuah termasuk mereka yang dikaitkan dengan skandal 1MDB mengumpul lebih dari sepuluh orang ahli-ahli Parlimen dari Umno untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Selain mereka berdua, kumpulan itu turut terdiri daripada ahli-ahli Parlimen yang kini menghadapi beberapa pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah, pengubahan wang dan mengelak cukai.

Terdahulu, Muhyiddin berkata beliau terpaksa meletakkan jawatan ekoran tindakan sekumpulan “kleptokrat” yang cuba mengganggu-gugat kestabilan pentadbirannya dan mahu kembali berkuasa.

“Ia nampaknya jadi satu ciuman kematian bagi PH, ketika ramai ahli Parlimen DAP sudah memberikan amaran berhubung kerjasama dengan Najib, orang utama dalam skandal 1MDB, bukan satu pilihan (dalam langkah politik mereka),” kata sumber PKR tersebut.

“Mereka sudah beritahu kami mereka akan kekal sebagai pembangkang sehingga pilihan raya akan datang berbanding ambil risiko hilang sokongan dari bank undi mereka,” tambahnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Damansara dari DAP Tony Pua secara terbuka memberi peringatan untuk menentang sebarang kerjasama dengan ahli-ahli Parlimen Umno sehingga dikecam rakan-rakannya dari PH.

Pua turut memberikan respons positif berhubung persefahaman baru rentas parti politik yang ditawarkan Muhyiddin di mana kerajaan PN berikrar untuk mengadakan beberapa pembaharuan sebagai tukaran sokongan daripada ahli Parlimen pembangkang dalam pembentangan usul undi percaya yang dijadualkan September depan.

Sumber PKR itu juga turut berkata usaha Anwar yang gagal mendapatkan sokongan daripada ahli-ahli Parlimen di luar gabungan perlu memujuk ahli-ahli Parlimen yang tetap “berdegil”.

“Majoriti yang sangat diperlukan beliau hanya boleh dicapai dengan pertolongan Zahid dan kumpulannya.

“Namun pakej tersebut mestilah dipersembahkan dengan baik kepada ahli Parlimen PH yang degil, untuk tunjukkan semua ini adalah sebahagian daripada ‘kerajaan perpaduan’ dan ‘persefahaman baru’ dalam mengharungi pandemik,” tambah sumber itu lagi.