- Iklan -
Berita

Saya tidak akan bersekongkol dengan kleptokrat, Muhyiddin jelaskan keputusan letak jawatan

Muhyiddin berkata peletakan jawatan tersebut adakan kerana ada pihak yang mengutamakan politik kuasa daripada kebajikan rakyat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin melambaikan tangan ketika kenderaan rasmi tiba di pintu utama Istana Negara pada jam 12.20 tengah hari untuk mengadap Agong.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin melambaikan tangan ketika kenderaan rasmi tiba di pintu utama Istana Negara pada jam 12.20 tengah hari untuk mengadap Agong.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak akan sesekali masuk campur dengan proses kehakiman bagi menyelamatkan ahli-ahli politik yang berdepan pelbagai rasuah.

Beliau berkata keputusan untuk meletakkan jawatan tertinggi negara itu adalah disebabkan sekumpulan yang mengutamakan kuasa politik berbanding kebajikan rakyat.

“Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa,”katanya merujuk sekumpulan ahli Parlimen Umno diketuai Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang bertindak mengumpul 15 ahli Parlimen untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Beliau berkata dirinya sudah tidak memiliki sokongan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen selepas penarikan sokongan ahli Parlimen yang bersekutu dengan Zahid selain penolakan terhadap tawaran untuk menjalankan persefahaman rentas parti kepada pembangkang.

“Inilah kehendak dalam Perlembagaan dan saya mesti patuh,” katanya sambil menambah beliau mengangkat sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan.

Beliau juga turut berkata prinsip yang dipegangnya tidak akan dikorbankan, dan mengenang bagaimana dipecat daripada jawatan oleh pentadbiran Najib kerana mempersoalkan penglibatan bekas perdana menteri itu dengan skandal 1MDB.

“Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah s.w.t. mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai perdana menteri.

“Namun, ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai perdana menteri dan saya reda dengan ketentuan ilahi.”

Terdahulu, Muhyiddin telah menyerahkan peletakan jawatan beliau dalam sesi mengadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah awal hari ini.

Beberapa jam kemudian, Istana Negara mengumumkan Muhyiddin sebagai perdana menteri caretaker.

Usul undi percaya terhadap Muhyiddin dijadualkan pada 7 September depan selepas beberapa ahli Parlimen yang bersekutu dengan Zahid menarik sokongan mereka terhadap beliau.

Muhyiddin berkata ketika itu beliau masih memiliki sokongan majoriti ahli parlimen.

Beliau turut berkata penentangan terhadap beliau oleh ahli Parlimen Umno tersebut adalah berikutan keengganan beliau untuk masuk campur dalam kes rasuah yang dihadapi mereka.