- Iklan -
Berita

Agong mahu kemelut politik dihentikan ketika harungi pandemik, kata Anwar

Anwar berkata Agong mahu pemimpin parti politik bekerjasama dalam usaha harungi pandemik Covid-19.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim diemani Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam sidang media di pintu masuk Istana Negara. Gambar: Bernama
Presiden PKR Anwar Ibrahim diemani Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam sidang media di pintu masuk Istana Negara. Gambar: Bernama

Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berkata Yang di-Pertuan Agong menasihatkan pemimpin-pemimpin politik supaya berubah dan mengadakan persefahaman rentas parti dalam usaha negara melawan pandemik Covid-19.

“Yang di-Pertuan Agong beritahu tentang lunas-lunas Perlembagaan dalam mencari calon yang mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Tetapi bentuk politik harus berubah. Maknanya yang menang itu, tidak seperti apa yang pernah berlaku, tekan yang kalah. Perlu ada penggarap kekuatan semua parti dengan semangat persefahaman baru, muafakat baru berkerjasama mengharungi Covid-19 dan mengangkat ekonomi negara,” kata Anwar kepada pemberita selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Beliau berkata semua pemimpin parti politik menghadiri sesi mengadap Agong tersebut dan turut dihadiri timbalannya, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah

Anwar berkata Agong memberitahu pemimpin parti untuk muafakat dalam membentuk persefahaman bersama.

Sesi mengadap Agong hari ini diadakan susulan peletakan jawatan perdana menteri oleh Muhyiddin Yassin semalam sekali gus mengakhiri 18 bulan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Keputusan peletakan jawatan beliau itu diambil susulan kempen untuk menggulingkan kerajaan diketuai Anwar, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak digiatkan.

Kesemua 220 ahli Parlimen mempunyai tempoh sehingga 4 petang esok untuk menyerahkan calon pilihan mereka sebagai perdana menteri untuk menubuhkan kerajaan sebagai sebahagian usaha Agong melantik perdana menteri baru yang pada hematnya mempunyai sokongan majoriti.