- Iklan -
Berita

2,800 janji temu vaksinasi AstraZeneca dijadual semula bermula 17 Mei

Penjadualan semula itu adalah bagi memastikan tiada kesesakan di pusat vaksinasi di PWTC.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kira-kira 268,000 dos vaksin AstraZeneca diperuntukkan kepada penduduk Kuala Lumpur dan Selangor dalam program vaksinasi sukarela.
Kira-kira 268,000 dos vaksin AstraZeneca diperuntukkan kepada penduduk Kuala Lumpur dan Selangor dalam program vaksinasi sukarela.

Kira-kira 2,800 janji temu untuk vaksinasi vaksin AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Mei akan dijadualkan semula sebagai langkah berjaga-jaga dan demi memastikan pematuhan SOP yang lebih baik termasuk penjarakan fizikal memandangkan peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata langkah menjadualkan semula janji temu vaksinasi itu itu adalah untuk mengelakkan kesesakan di pusat vaksinasi.

“Kita ada 19,000 janji temu, jumlah ini akan dikurangkan kepada 16,200 janji temu.

“Lebih kurang 2,800 janji temu akan dijadualan semula kepada tarikh lain bermula 17 Mei hingga 23 Mei.

“Penjadualan semula ini akan diumumkan melalui notifikasi dari MySejahtera, bermula esok,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini.

Vaksin AstraZeneca kini diberikan di bawah program vaksinasi sukarela di mana penerima mendaftar vaksinasi Covid-19 di luar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sebanyak 268,600 slot telah diperuntukkan untuk penduduk Kuala Lumpur dan Selangor. Program vaksinasi dengan pilihan sukarela ini akan diperluaskan kerana vaksin AstraZeneca akan tiba di negara ini melalui inisiatif Covax.

Khairy yang merupakan menteri penyelaras PICK berkata sebanyak 19,718 dos AstraZeneca telah diberikan setakat ini, sementara lebih dari 60,000 penerima masih dalam senarai menunggu.