- Iklan -
Berita

Zuraida dakwa Guan Eng tolak dua kali permohonan KPKT bina rumah pekerja ladang Bestari Jaya

Pengumuman pembinaan PPR melibatkan penduduk India itu bertujuan meraih undi kaum itu menjelang PRK Kuala Kubu Baharu, kata Zuraida Kamarudin.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Nga Kor Ming bersama wakil penduduk selepas sidang media pembinaan lebih 200 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk bekas pekerja ladang di Bestari Jaya baru-baru ini. Gambar: KPKT
Nga Kor Ming bersama wakil penduduk selepas sidang media pembinaan lebih 200 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk bekas pekerja ladang di Bestari Jaya baru-baru ini. Gambar: KPKT

Bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) Zuraida Kamarudin mendedahkan sebuah projek perumahan untuk bekas pekerja ladang di Bestari Jaya yang diumumkan kerajaan baru-baru ini tidak dapat diteruskan kerana ditolak oleh bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Pada 6 Mei, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengumumkan pembinaan lebih 200 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk bekas pekerja ladang di Bestari Jaya.

Zuraida berkata ia sebahagian taktik meraih undi kaum India pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu.

“Ini disebabkan politik, dia (Nga) tahu undi orang India tidak bersama PH dan dia hendak tunjuk bahawa dia boleh menjadi juara untuk orang India.

“Saya nasihatkan penduduk untuk berhati-hati dengan janji kerajaan. Mereka pandai berjanji tapi belum tentu pandai buat,” tambahnya.

Menurut Zuraida, projek PPR itu bertujuan menyelesaikan masalah pemilikan rumah lebih 1,000 keluarga bekas pekerja ladang di Bestari Jaya, yang rata-rata membabitkan kaum India.

Ia membabitkan lima ladang iaitu Ladang Mary, Ladang Niger Garner, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak.

Projek itu mendapat kerjasama Berjaya Cooperation milik taikun Vincent Tan, yang menyalurkan sumbangan tanah di kawasan tersebut.

Zuraida berkata Berjaya pada awalnya tidak mahu melepaskan tanah itu dan mahukan rundingan terus dengan kerajaan untuk membangunkan PPR itu.

"Saya bercakap dengan Vincent Tan dan memaklumkan kerajaan mahu membuka tender untuk projek itu. Beliau bersetuju melepaskan tanah dan masuk tender," katanya.

Pada Januari 2019, Berjaya memaklumkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang sejak sekian lama memperjuangkan itu bahawa ia tiada masalah memberikan tanah tambahan seluas 20 ekar untuk tujuan tersebut.

Penyelaras PSM M Sivaranjani memberitahu MalaysiaNow, Zuraida dalam satu pertemuan dengan pekerja terbabit berkata Kementerian Kewangan menolak cadangan pembinaan PPR tersebut.

Menurut Zuraida, projek itu tertangguh selama 20 tahun, dan cuba dimulakan balik ketika beliau menjadi menteri KPKT di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang pertama dari 2018 hingga 2020.

Bagaimanapun, Zuraida berkata ia tidak diendahkan Lim.

“Saya perlu minta (bajet) dengan menteri kewangan (Lim Guan Eng). Saya kata ini keutamaan untuk rakyat namun beliau tidak bersetuju dan ia tidak dimasukkan dalam Bajet 2019," Zuraida memberitahu MalaysiaNow.

Zuraida berkata beliau kemudian mencuba lagi "untuk pusingan kedua" tapi masih tidak mendapat kelulusan Kementerian Kewangan ketika itu.

"Alasan yang diberikan ialah kerajaan tiada duit," kata bekas ahli Parlimen Ampang itu.

MalaysiaNow telah menghubungi Lim untuk mendapatkan respons.

Nga ketika mengumumkan projek itu berkata kerajaan mendapat kerjasama Berjaya Corporation untuk menyalurkan sumbangan tanah di kawasan tersebut.

Menurut laporan, PPR rumah teres setingkat itu bakal menelan belanja sebanyak RM75 juta, yang mana RM40 juta diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan manakala bakinya daripada kerajaan negeri Selangor.

Pemerhati dan penganalisis sebelum ini memberi gambaran bahawa pengundi India yang membentuk 18% pengundi di Kuala Kubu Baharu akan menjadi penentu (kingmaker) pada PRK kali ini, ketika undi Melayu masing-masing kekal bersama Perikatan Nasional (PN) dan PH.